Laporan, Ulasan & Analisis

Analisis Perlawanan Persahabatan Antarabangsa: Global Cebu FC mln Sabah. 23 Jan 2018

Keputusan Akhir perlawanan:   Global Cebu FC   5    Sabah  1

Venue: San Lazaro Leisure Park, Carmona.

 

Sabah turun dengan kesebelasan utama berikut:

Robson Rendy Rining (PG), Rawilson Batuil (KP), Mafry Balang, Randy Baruh, Jenius Karib, Elyas Sulaiman, Maxius Musa, Heo Jaenyeong, Azizan Nordin, Hector ‘Pito’ Ramos, Lee Gil Hoon

 

Gambaran Separuh Masa Pertama

Mempraktikkan formasi 4-4-2 di separuh masa pertama, Sabah bermain dengan corak hantaran pendek dan pantas dengan asakan tertumpu di sebelah kanan kawasan pasukan Global Cebu FC. Pemain pertahanan kiri Sabah dari Pitas, Jenius Karib bergandingan baik bersama Elyas Sulaiman di bahagian kiri yang mana hampir kesemua asakan bahaya Sabah di separuh masa pertama adalah berpunca daripada kombinasi mereka berdua.

Corak permainan tersebut begitu efektif apabila Sabah mendahului pasukan tuan rumah seawall minit ke-4 hasil jaringan Heo Jaenyeong. Beliau melakukan satu ‘high tap-in’ melalui satu ‘follow up’ apabila hantaran lintang paras pinggang daripada Jenius Karib tidak berjaya dikeluarkan dengan cermat oleh penjaga gol pasukan Global Cebu FC iaitu Florencio Badelic.

Sabah lebih mendominasi permainan namun kehilangan bola setiap kali hantaran ditujukan kepada penyerang baru dari Puerto Rico iaitu Hector ‘Pito’ Ramos. Hal ini sama ada beliau belum mendapat semula kecergasan beliau yang sebenar ataupun mungkin belum beradaptasi dengan iklim khatulistiwa di Asia Tenggara. Juga dikhuatiri beliau belum begitu serasi bersama pemain-pemain Sabah yang lain.

Di bahagian serangan, Lee Gil Hoon terpaksa seringkali turun untuk mendapatkan bola dan terlibat dengan begitu kerap dengan ‘ball possession’ pasukan Sabah. Kombinasi Heo-Lee-Elyas-Jenius-Azizan-Max begitu baik namun Pito sering tidak bersedia mahupun tidak berdaya untuk melakukan kawalan apabila umpanan terhasil melalui kombinasi tersebut.

Terlalu kurang diasak menyebabkan Robson Rendy Rining kurang bersedia untuk menepis sepakan lemah penyerang Global Cebu FC dari Sepanyol, Rufo Sanchez pada minit ke-30 yang terhasil melalui satu ‘break attack’ di sebelah kiri kotak penalti Sabah untuk menjadikan kedudukan 1-1. Jika PG Sabah itu lebih bersedia, gol tersebut tidak mungkin akan berlaku. Beliau kelihatan berada di luar kawasan di mana beliau sepatutnya berada.

Sabah kurang bernasib baik apabila Randy Baruh diarahkan keluar padang 10 minit selepas gol penyamaan dijaringkan oleh pasukan tuan rumah akibat mengangkat kaki terlalu tinggi sehingga terkena muka pemain lawan. Ketegangan berlaku seketika namun pengadil perlawanan dapat meregangkan para pemain dengan kadar segera.

Bermain dengan 10 orang tidak menampakkan kesan yang ketara kerana Sabah masih mampu mengatasi pasukan tuan rumah dari segi penguasaan bola. Sabah sepatutnya mendahului tuan rumah dengan 2-1 pada sekitar minit ke-45 menerusi jaringan Heo Jaenyeong sekali lagi namun pengadil membatalkan gol tersebut atas sebab yang tidak diketahui. Pada hemat admin, sepakan sudut ‘out-swinger’ daripada Elyas Sulaiman belum lagi melepasi garisan tepi ‘by-line’ pasukan Global Cebu FC sebelum dirembat masuk dengan cantik oleh Heo Jaenyeong. Berdasarkan kenyataan rasmi media Global Cebu FC, Heo berada dalam kedudukan ‘offside’ sebelum merembat masuk bola tersebut yang mana tidak masuk akal memandangkan terdapat seorang pemain tuan rumah yang berdiri di hadapan ke dua-dua ‘goalpost’ mereka.

Tamat separuh masa pertama, Sabah dan Global Cebu FC terikat satu sama.

Separuh Masa Ke-2

Bermain dengan 10 orang tidak begitu memberikan kesan yang teruk kepada pasukan Sabah. Namun perubahan taktikal dilakukan (mungkin secara automatic) dengan Azizan Nordin dan Heo Jaenyeong kerap turun di barisan pertahan untuk menjadikan formasi 5-3-1. Lee terpaksa turun di kawasan DMF dan CMF untuk menjana serangan namun ketumpulan Pito masih tidak membantu Sabah untuk menambahkan jaringan.

Dalam situasi ini, Heo Jaenyeong telah memainkan peranan penting sebagai ‘box to box player’ yang dengan tiada penat lelah berlari turun naik dari kotak penalti Sabah ke kotak penalti Global Cebu FC untuk tujuan menjana serangan. Hantaran lambung tepat beliau kepada Pito pada sekitar minit ke-55 permainan hampir menghadiahkan gol ke-2 Sabah namun percubaan kaki kiri dalam kotak penalti menerusi ‘half turn’ Pito hanya tersasar beberapa inci di sudut kanan pintu gol tuan rumah.

Pasukan Global Cebu FC yang hanya menanti peluang untuk membalas serangan berjaya memperolehi gol ke-2 mereka untuk mendahului Sabah 2-1 melalui Curt Jordan Dizon pada minit ke-67 iaitu beberapa minit selepas Ummareng Bacok menggantikan Maxius Musa di sebelah kanan kawasan tengah Sabah. Gol tersebut terhasil menerusi sepakan jarak jauh dengan kaki kiri bekas pemain Meralco Manila FC yang tinggi lampai itu.

Sekali lagi gol ke-2 Global Cebu FC menyaksikan Robson Rendy Rining kurang bersedia untuk melakukan tepisan. Beliau mempunya banyak masa untuk memerhatikan gerakan pemain-pemain pasukan tuan rumah namun tidak berjaya membaca sepakan jarak jauh Curt Jordan Dizon tersebut.

Tersentak dengan gol tersebut, Sabah terus melancarkan gerakan menarik dan bervariasi namun pada sekitar minit ke-70, Sabah sekali lagi kehilangan seorang pemain apabila Ummareng Bacok diperintahkan keluar padang setelah mengasari pemain pasukan tuan rumah. Insiden berpunca melalui gerakan cantik Sabah dari sebelah kiri yang mana ‘diagonal pass’ daripada Heo Jaenyeong sudah berjaya dikawal oleh Umai di sebelah kanan namun sejurus selepas ‘step over’ dilakukan oleh beliau, beliau kehilangan bola dan terpaksa melakukan terjahan keras terhadap pemain pertahanan Global Cebu FC. Sabah ketika itu bermain dengan hanya 9 orang dan ketinggalan dengan jaringan 2-1.

1 minit sebelum masa perlawanan sebenar tamat, kelalaian Robson Rendy Rining sekali lagi mendatangkan padah buat pasukan Sabah. Beliau tidak bersedia dan mengagak hantaran ‘back pass’ daripada Mafry Balang yang kelihatan cantik seakan-akan ‘banana curve kick’. Kebanyakan penyokong pasukan tuan rumah hanya terdiam menyaksikan gol tersebut dihasilkan kerana tidak menyangka gol seakan itu terhasil walaupun Sabah menunjukkan kawalan bola

Walaupun bermain dengan 9 pemain pada ketika itu, Sabah masih mampu menyerap asakan pasukan tuan rumah malah sempat melakukan beberapa asakan berbahaya melalui Leopold Alfonso Otong yang masuk menggantikan Elyas Sulaiman.

Pasukan Global Cebu FC menjaringkan dua gol pantas di masa kecederaan separuh masa ke-dua yang mana gol ke-4 mereka terhasil menerusi sepakan percuma cantik daripada Rufo Sanchez yang masuk di penjuru atas kiri pintu gol Sabah yang pada hemat admin, penjaga gol seperti David De Gea pun tidak mampu untuk tepis kerana sepakan tersebut sangat sempurna. Gol ke-5 pasukan Global Cebu FC pula merupakan satu-satunya gol melalui ‘defensive error’ pemain pertahanan Sabah yang menyebabkan Rufo Sanchez melengkapkan hatrik beliau pada perlawnaan tersebut.

Man Of The Match (Sabah): Heo Jaenyeong (gambar atas, kiri) telah banyak terlibat dalam proses menyerang dan bertahan Sabah. Gandingan bersama rakan senegara beliau, Lee Gil Hoon memang tidak boleh disangkal lagi.

Kredit gambar: Mailin Surat (Sabah FA).

 

Man Of The Match (Global Cebu FC): Rufo Sanchez (Atas) bermain cemerlang untuk pasukan beliau bagi memastikan kemenangan mereka. Beliau menjaringkan hatrik dalam perlawanan ini.

Kredit gambar: Global Cebu FC Official Fan Page.

 

Kesimpulan

Bermain dengan 9 orang pemain menentang 11 pemain pasukan yang berada di ‘ranking’ ke-10 kelab Asia Tenggara bukanlah satu tugas yang mudah ditambah lagi dengan prestasi penjaga gol Sabah, Rendy Rining yang boleh dikatakan masih belum berada di tahap begitu baik. Bagi admin, beliau mampu beraksi lebih baik daripada aksi kemarin.

Bayangan kesebelasan utama sudah kelihatan ketika ini walaupun Igor Cerina tidak diturunkan pada perlawanan kemarin. Ataupun adakah Igor Cerina akan terus berada di bangku simpanan? Admin mendapat tahu bahawa Igor bukanlah pemain kesukaan Jelius Ating dan kehadiran beliau bersama Sabah musim ini adalah bukan atas kehendak JA (walaupun terpaksa terima kerana Igor Cerina mempunya baki kontrak semusim bersama Sabah).

Boleh dikatakan Sabah sudah mempunyai ‘game fitness’ yang baik untuk mengharungi Liga Perdana 2018 mendatang ini. Admin tetap berpuas hati dengan persembahan mereka walaupun keputusan bukanlah berpihak kepada mereka.

B Oken Tacts @therhinostroops

Lihat juga analisis berikutnya..

[do_widget id=mh_magazine_lite_posts_focus-2]