Hasrat tuan rumah KL Sime Darby FC untuk mengalahkan Sabah di tempat sendiri tidak kesampaian setelah dua gol dalam tempoh 4 minit yang dihasilkan oleh Sabah melenyapkan angan-angan tersebut.
KL Sime Darby FC yang tidak bermain pada perlawanan 22 Julai lalu berikutan perlawanan mereka menentang UiTM FC ditangguhkan akibat hujan lebat di Shah Alam, berjaya menghasilkan jaringan menerusi ketua pasukan yang didatangkan dari Croatia, Mateo Roskam pada minit ke-18 melalui sepakan percuma yang ditanduk dengan baik oleh pemain tinggi lampai itu untuk menewaskan penjaga gol Sabah, Rozaimie Rohim.
Sabah mengatur asakan demi asakan selepas gol pendahuluan itu namun buntu untuk menghasilkan jaringan. Perlawanan separuh masa pertama berakhir dengan tuan rumah di hadapan 1 gol tanpa balas.
Sabah meneruskan asakan selepas separuh masa ke-dua bersambung namun sering dipatahkan oleh pertahanan pasukan tuan rumah. Tatkala seramai 110 penyokong yang datang menyaksikan perlawanan ini mengharapkan Sabah boleh menghasilkan sesuatu, Maxius Musa menghasilkan gol ke-5 peribadi beliau dalam kancah Liga Perdana 2016 apabila melonjak tinggi melepasi pemain pertahanan KL Sime Darby FC pada minit ke-75 menerusi sepakan percuma Dedi Kusnandar setelah Alto Linus dijatuhkan di luar kotak penalti dalam proses melakukan serangan.
Sabah yang bermain dengan begitu agresif tidak menunggu lama untuk menghasilkan gol ke-dua pada minit ke-79 apabila Dedi Kusnandar sekali lagi berjaya melakukan lorongan tepat dari tengah padang ke arah Leopold Alfonso dalam kotak penalti yang terlebih dahulu menewaskan dua pemain pertahanan KL Sime Darby FC sebelum melakukan rembatan leret kencang dengan menggunakan kaki kiri.
Sabah terus melakukan asakan selepas itu namun tidak berjaya menghasilkan gol tambahan sehingga tamat sepenuh masa perlawanan.
Perlawanan Sabah seterusnya adalah menentang Negeri Sembilan di Stadium Likas pada 02 Ogos 2016.
Bobby TRT
©sabahfootball4u