Laporan, Ulasan & Analisis

Analisis Perlawanan Sabah vs PKNS Selangor #LP2016 Match#14

Percaturan pemain yang pelik?

Sebelum wisel untuk bermulanya perlawanan ini, kebanyakan sudah memberi andaian bahawa Sabah akan mengalami kesukaran dalam mengawal permainan dan sekali gus melancarkan serangan. Ini kerana, percaturan yang dilakukan oleh jurulatih Sabah, Johnny Dominicus kelihatan agak pelik. Beliau telah merehatkan Everton Pedalada dan Stuart Wark untuk memberi ruang kepada Leopold Alphonso Otong dan Shafuan Adli Shaari mengemudi di bahagian tengah Sabah. Ini jelas suatu tindakan berani dan berisiko yang telah beliau lakukan.

Ketiadaan kelibat Rawilson Batuil pula telah diisi oleh Jenius Karib; ini tidak begitu memeranjatkan kerana sudah sedia maklum bahawa Acai boleh bermain di tempat yang ditinggalkan itu. Walaubagaimanpun kekurangan dari segi keserasian amat dirasai apabila pemain-pemain PKNS Selangor mudah untuk meloloskan diri dalam kotak penalti Sabah. Gol pertama dan  ke-3 PKNS dijaringkan akibat kesilapan mudah oleh pertahanan Sabah di kawasan tengah.

Sabah dikejutkan seawal minit ke-7 apa bila bola hasil sepakan sudut Nazrin Syamsul Bahri disambar baik dengan tandukan mudah oleh Juan Manuel Cobelli untuk gol pembukaan pasukan pelawat. Sabah cuba untuk mengatur serangan namun jarang sekali bola memasuki kawasan pertahanan PKNS. Lebih teruk lagi, Muamer Salibasic terpaksa turun ke bawah sehingga ‘defensive half’ untuk mendapatkan bola dan menjana serangan. Pasukan PKNS yang mempunyai keserasian baik di kalangan pemain, tidak mempunyai masalah untuk membolosi Rozaimie Rohim pada minit ke-20 apabila pemain import slot Asia buat skuad Semut Merah, Matias Nicholas Hadwa mudah menewaskan beliau dengan satu tandukan ‘chip’.

Gambar atas kiri; Pemain muda PKNS Selangor, Nazrin Syamsul banyak mengucar kacirkan pertahanan Sabah dengan hantaran kaki kiri beliau yang baik. Ihsan gambar: Augustine Jumat

Gambar atas kanan; Juan Manuel Cobelli menghadiahkan gol pertama buat Semut Merah pada minit ke-7. Ihsan gambar: Augustine Jumat

Johnny Dominicus yang sedar akan kekakuan pemain Sabah dalam melancarkan serangan, telahpun menggantikan Shafuan Adli Shaari untuk Everton Pedalada pada ketika permainan separuh masa pertama baru menuju separuh jalan. Kehadiran Everton memberi impak yang baik pada corak permainan Sabah dan mula merencanakan percubaan-percubaan jarak jauh. Walaubagaimanapun, sepakan beliau kebanyakan tersasar dan diselamatkan baik oleh penjaga gol PKNS, Norhaziq Aris. Sabah sedikit lega pada minit ke-27 apabila Maxius Musa merapatkan jurang gol dengan satu sepakan yang menerjah jaring selepas bola terkena kaki pemain pertahanan pasukan PKNS Selangor.  Perlawanan separuh masa pertama tamat dengan pelawat mendahului 2-1.

Bersambung separuh masa ke-dua, Sabah mula mempamerkan corak permainan garang namun kekebalan benteng pertahanan PKNS yang diketuai oleh Gonzalo Manuel Soto amat teguh dan sukar diganggu gugat. Percubaan-percubaan tepat melalui Maxius Musa dan Leopold pula tidak menggentarkan Noraziq Aris. Johnny akhirnya memasukan Stuart Wark untuk menggantikan Leopold namun kemasukannya tidak banyak membantu menjadikan keputusan lebih baik.

Ketika kebanyakan penyokong mengharapkan agar gol penyamaan dihasilkan oleh Sabah, Gabriel Guerra telah menambah luka hati mereka dengan menewaskan Rozaimie Rohim dengan mudah pada minit ke-65 akibat satu kesalahan remeh yang dilakukan oleh Igor Cerina. Kesalahan tersebut boleh disifatkan sebagai kurangnya komunikasi dan persefahaman di barisan 4 terakhir Sabah. Gabriel Guerra pada setakat ini sudahpun menghasilkan 3 gol menentang Sabah dalam 2 pertemuan, suatu rekod peribadi yang baik untuk beliau. Kedudukan kekal 3-1 memihak kepada pelawat hingga wisel penamat ditiupkan.

Perlu sediakan fizikal & mental vs Sime Darby FC

Pemain Sabah dilihat perlu memperbaiki persefahaman antara satu sama lain disamping perlu menambahkan lagi motivasi diri sebelum bertolak ke ibu negara untuk mengunjungi Sime Darby FC pada 25 Julai ini. Boleh disimpulkan di sini bahawa pemilihan kesebelasan utama yang baik amat memberi impak kepada corak dan rentak permainan Sabah.

Bobby pannaft.

©sabahfootball4u