Berita Terkini

Semut Merah lumpuhkan Badak di Likas

Ketempangan pasukan Sabah jelas dirasai apabila terpaksa mengalami kekalahan ke-dua berturut turut dalam tempoh masa 1 minggu namun kali ini tewas 1-3 kepada pasukan PKNS Selangor di Stadium Likas, Kota Kinabalu.

PKNS Selangor yang bermain sebagai satu unit terlebih dahulu menjaringkan gol pada seawal minit ke-7 menerusi Juan Manuel Cobelli apabila mudah menewaskan penjaga gol Sabah, Rozaimie Rohim dengan satu tandukan yang berpunca dari sepakan sudut Nazrin Syamsul Bahri. Pasukan Sabah cuba bangkit selepas itu namun kekebalan benteng pasukan pelawat yang dikemudi Nizam Abu Bakar dan Gonzalo Manuel Sotto menyebabkan serangan pasukan Sabah hanya terkandas di luar kotak penalti.

dedi pknssabah

Gambar atas; Dedi Kusnandar (tengah) sedang mengawal bola sambil dikawal rapat oleh Shahurain Abu Samah dan Khairu Azrin (kanan) sementara Everton Pedalada memerhati. Ihsan gambar: SAFA Official

PKNS Selangor sekali lagi menggegarkan jaring pasukan Sabah melalui Matias N. Hadwa pada minit ke-20. Pemain hebat berbangsa Iraq-Latin itu dengan mudah memperdayakan penjaga gol Sabah melalui satu tandukan lambung. Sabah bingkas menyerang lagi dan berjaya menghasilkan jaringan menerusi pemain kelahiran Keningau, Maxius Musa pada minit ke-27 melalui satu sepakan yang terlantun masuk ke gawang PKNS selepas terkena kaki pertahanan pelawat. Separuh masa pertama berakhir 2-1 memihak kepada PKNS.

Taktala penyokong Sabah mengharapkan pasukan kesayangan mereka boleh menyamakan kedudukan, Gabriel Guerra menjelmakan gol ke-3 pasukan pelawat hasil kelalaian benteng pasukan Sabah pada minit ke-65. Dengan kelincahan yang beliau miliki, beliau berjaya mencuri bola dari kaki pertahanan sebelum mudah menewaskan Rozaimie Rohim. Sabah seterusnya melakukan serangan dari jarak jauh namun tidak cukup untuk sekurang-kurangnya mendapatkan 1 mata buat memperbaiki lagi kedudukan dalam kancah Liga Perdana 2016.

Bobby pannaft.

©sabahfotball4u