Laporan, Ulasan & Analisis

Previu Matchday#14 Sabah vs PKNS Selangor, 22 Julai – 8.15pm!

Keyakinan Baru

Sabah akan turun melayan kunjungan Sang Semut Merah malam ini di Stadium Likas dengan keyakinan baru selepas kurang bernasib baik di Pasir Gudang pada 15 Julai menentang JDT II. Walaupun berbekalkan semangat yang baru, Sabah akan kelihatan tempang kerana bakal beraksi tanpa tonggak pertahanan utama, Rawilson Batuil berikutan dikenakan dua kad kuning pada perlawanan Jumaat lepas. Kehilangan beliau tidak meresahkan Johnny Dominicus memandangkan masih terdapat pemain yang boleh mengisi tempat tersebut seperti Randy Baruh, Jenius Karib, Badrul Affendy Fadzli, Dendy Lowa, dan Julamri Muhamad.

Semangat kesukanan para pemain Sabah yang lain pula dilihat berada pada tahap terbaik dengan 3 pemain yang baru menempatkan diri dalam pasukan; Muamer Salibasic, Everton Pedalada dan Stuart J.W Wark pada ketika ini ‘under pressure’ untuk memberikan sumbangan kepada majikan mereka. Walaupun mereka dalam proses adaptasi bersama Sabah namun mereka tetap berjanji akan memberikan impak yang baik untuk kedudukan lebih positif di penghujung saingan Liga Perdana 2016 kepada Sabah. Dengan kehadiran ke tiga-tiga pemain baru ini, Sabah dilihat lebih berkeupayaan menguasai dan memenangi perlawanan malam ini.

Persembahan Sabah dalam perlawanan-perlawanan yang lalu memberikan andaian bahawa pertemuan menentang PKNS Selangor malam ini dapat dikuasai Sabah, juga berpotensi untuk memenangi perlawanan tersebut! Walaubagaimanapun, PKNS mungkin akan tampil dengan semangat yang tinggi berikutan kekalahan 1-4 mereka terhadap Perak pada perlawanan terkini TM Piala Malaysia 2016.

sabah vs pkns selangor

Gambar atas; Everton Pedalada vs Gabriel Guerra, sandaran kedua-dua pasukan malam ini! Ihsan gambar: SAFA Official & PKNS FC Official

Kontra: PKNS Selangor dibarisi pemain-pemain yang hebat.

PKNS Selangor dibarisi oleh pemain yang tidak kurang hebatnya. Hal yang lebih menarik adalah, ketua pasukan Semut Merah ini digalas oleh Shahrul Azhar Ture yakni bekas pemain yang banyak berbakti buat Sabah. Sabah yang melepaskan Sharul Azhar Ture sebelum musim 2014/15 bermula telah membuka ruang buat pemain lipas kudung dari Tawau itu untuk menyertai PKNS Selangor sekali gus diberikan kepercayaan menggalas tugas sebagai ketua pasukan. Pendek kata, pencapaian Shahrul tampak lebih baik ketika berada di PKNS berbanding Sabah.

PKNS Selangor digeruni dengan kehebatan kelibat pemain import mereka. Antara yang perlu diberikan perhatian rapi oleh pemain pertahanan Sabah ialah Gabriel Guerra aka Gabi, Juan Manuel Cobelli, Gonzalo Soto dan Matias Hadwa. Untuk rekod, Gabi telahpun menjaringkan 40 gol dalam 50 penampilan beliau bersama PKNS Selangor.

Pasukan kendalian E.Elavarasan ini juga dibintangi oleh beberapa pemain tempatan serba boleh seperti Shahurain Abu Samah (ex N9) dan Khairu Azrin (ex Felda United), Nizam Abu Bakar dan Nazrin Syamsul Bahri (FUTD).

Revenge Platform

Sabah tewas 2-1 di tempat lawan pada perlawanan pusingan pertama menentang PKNS Selangor dengan gol tunggal Sabah dijaringkan oleh Prince Nnake. Perlawanan ini mungkin boleh dijadikan sebagai platform untuk membalas kekalahan tersebut tanpa mengambil kira kedudukan mereka dalam kancah Liga Perdana 2016.

Selamat berjuang untuk kedua-dua pasukan!

Bobby pannaft

©sabahfootball4u