Sabah FC meneruskan momentum kemenangan dalam saingan Liga Super 2023 apabila mudah menundukkan Kelantan United FC (KUFC) 3-1 di Likas malam tadi.
Perlawanan yang disaksikan oleh 12,500 orang penyokong di Likas itu menampakkan penguasaan penuh pasukan tuan rumah dengan mendahului KUFC 2-0 di babak pertama menerusi jaringan Darren Lok pada minit ke-22 dan Park Taesu pada minit ke-26.
Bersambung babak ke-2, Sabah FC tidak menunggu lama untuk menambah jaringan apabila Telmo Castanheira meletakkan Sabah FC 3-0 di hadapan kurang seminit selepas babak ke-dua bersambung.
Deretan peluang yang dicipta Sabah FC melalui Saddil Ramdani, Park Taesu, Darren Lok, Telmo Castanheira dan Kwang Min Ko selepas itu bagaimanapun tidak berjaya menemui jaring pasukan pelawat.

Dengan perlawanan mempunyai baki kira-kira dua minit untuk ditamatkan, pemain legenda, Indra Putra Mahayudin berjaya mengurangkan defisit jaringan buat KUFC apabila meledak dengan satu jaringan cantik jarak jauh melalui sepakan percuma yang menewaskan Khairul Fahmi Che Mat yang jarang menyentuh bola di sepanjang perlawanan.
Keputusan di Likas berkesudahan dengan Sabah FC memungut 3 mata penuh dan mencatatkan kemenangan ke-2 berturut-turut mereka.
Mari kita ikuti 6 fakta menarik perlawanan di antara Sabah FC dan KUFC ini.
1. Telmo Castanheira dan Darren Lok membuka akaun gol mereka dalam Liga Super 2023 bersama Sabah FC
Kedua-dua pemain ini berjaya mencatatkan nama sebagai penjaring gol buat Sabah FC dalam perlawanan semalam, yang juga merupakan debut gol buat mereka bersama Sabah FC musim ini.
2. Indra Putra Mahayudin menjaringkan gol ke-139 beliau sepanjang bermain dalam liga Malaysia
Peman veteran berumur 41 tahun ini merupakan pemenang kasut emas bagi Liga Super 2004 bersama Pahang dan Piala Malaysia edisi 2009 bersama Kelantan. Gol melalui sepakan percuma yang dihasilkan ketika menentang Sabah FC semalam merupkan gol peribadi ke-139 beliau di sepanjang penglibatan beliau dalam liga Malaysia.
3. Percubaan tepat pertama buat KUFC hanya hadir pada minit ke-64 permainan
Ternyata Sabah FC terlalu baik buat KUFC apabila hampir keseluruhan perlawanan didominasi mereka. Keadaan sukar bermain di Likas membuatkan mereka hanya mampu menghasilkan percubaan tepat ke arah gol pada minit ke-64 permainan menerusi penyerang gantian, Nik Azli Nik Alias yang tepat ke dakapan Khairul Fahmi Che Mat.
4. Sabah FC gagal mendapatkan clean sheet yang ke-dua berturut-turut
Kemenangan besar 4-0 ke atas PDRM FC minggu lalu memberi gambaran bahawa Sabah FC bakal mencatatkan keputusan yang hampir sama dalam perlawanan ini. Namun ramai yang tidak menyangka bahawa Sabah FC dibolosi di Likas semalam memandangkan penguasaan penuh dimiliki oleh The Rhinos.
5. Bekas pemain KUFC, Njoku Jacob tidak diturunkan dalam perlawanan ini
Mungkin ramai yang tidak mengetahui bahawan Njoku Jacob merupakan bekas penyerang berbisa buat KUFC. Untuk pengetahuan, penyerang dari Nigeria ini turut menjaringkan satu gol buat KUFC ketika bertandang ke Likas dalam saingan Piala FA musim lepas walaupun tewas dengan jaringan 2-1.
6. Gol penalti pertama Sabah FC musim ini
Sabah FC nampaknya tidak menunggu lama untuk mendapatkan sepakan penalti yang sekali gus dimanfaatkan sebaiknya oleh Darren Lok pada minit ke-22 permainan semalam. Tidak menjadi persoalan mengapa sepakan tersebut diberikan memandangkan Fauzan Fauzi jelas menolak Daniel Ting dari arah belakang ketika pemain pinjaman dari JDT itu cuba menanduk hantaran lintang Rizal Ghazali dari sebelah kanan.
Demikianlah 6 fakta menarik perlawanan ketika Sabah FC bertemu Kelantan United FC di Likas semalam.