Kenali 6 Pemain Utama KUFC yang bakal uji Sabah FC di Likas malam ini

Sabah FC bakal menghadapi Kelantan United FC (KUFC) dalam perlawanan ke-2 Liga Super 2023 di Stadium Likas pada pukul 8.15 malam ini.

Perlawanan sebelum ini menyaksikan Sabah FC menang mudah 4-0 ke atas PDRM FC sementara KUFC tumpas 1-0 di tangan Selangor FC. Perlawanan ini bakal berlangsung sengit dengan KUFC dahagakan kemenangan sulung sementara The Rhinos pula perlu meneruskan momentum kemenangan.

Kesebelasan utama Sabah FC ketika membenam PDRM FC 4-0 di Likas pada 25 Feb lepas.

Kedua-dua pasukan ini tidak mempunyai rekod pertemuan yang banyak. Dalam 2 pertemuan kedua-dua pasukan ini menyaksikan masing-masing beroleh satu kemenangan. Sabah FC pernah tewas 1-0 di Kota Bharu pada tahun 2019 dalam perlawanan pusingan pertama Piala FA dan menang 2-1 di Likas pada tahun 2022 dalam pertandingan yang sama.

Mari kita kenali 6 pemain utama pasukan KUFC yang perlu diberikan perhatian wajar oleh Sabah FC jika tidak ingin keciciran mata di Likas malam ini.

1. Yan Victor

Merupakan pemain pertahanan tinggi lampai dari Brazil yang berumur 28 tahun. Beliau pernah beraksi beberapa pasukan di Brazil dan Korea Selatan. Kewibawaan pemain ini terserlah apabila banyak menghalang serangan Selangor FC dalam perlawanan pertama Liga Super 2023 buat mereka di Stadium MBPJ.

2. Morgaro Gomis

Pemain berusia 37 tahun kelahiran Perancis ini telah banyak beraksi di liga Inggeris, Scotland dan Perancis. Beliau turut pernah beraksi bersama Kelantan sekitar tahun 2016 hingga 2018. Pemain defensive midfielder ini turut pernah menyarung jersi Senegal pada tahun 2009.

3. Ernist Batyrkanov

Beliau merupkan pemain kebangsaan Kyrgyzstan yang beraksi di posisi penyerang. Musim ini merupakan musim sulung beliau dalam liga Malaysia. Antara kelebihan yang dimiliki oleh pemain ini adalah ketinggian yang baik sebagai seorang penyerang dan penyudah yang lumayan tajam.

4. Devid De Santana Silva

Beliau merupakan pasangan Ernist Batyrkanov di bahagian serangan untuk pasukan KUFC. Gandingan kedua-dua pemain ini ketika menentang Selangor FC dilihat agak bahaya namun masih perlu fokus dari segi keserasian.

5. Khairu Azrin

Pemain ini tidak perlu diperkenalkan lagi di kalangan peminat sukan bola sepak tanah air. Pemain tengah asal Selangor ini pernah menyarung jersi PKNS Selangor, Melaka United FC, Felda United FC, Terengganu FC, Penang FC dan Kedah Darul Aman FC. Pengalaman beliau jelas menjadi tagihan KUFC.

6. Fauzan Fauzi

Pemain kelahiaran Negeri Sembilan ini cukup berpengalaman untuk dijadikan taruhan buat KUFC. Antara pasukan yang pernah diwakili beliau adalah Negeri Sembilan, PDRM, Kuala Lumpur City FC, Penang FC dan Melaka United FC. Tahun 2017 dan 2018 merupakan tahun gemilang buat pemain pertahanan kanan ini apabila tersenarai dalam pasukan kebangsaan B-23 Malaysia.

Demikianlah 6 nama besar pemain yang terdapat dalam pasukan Kelantan United FC ini. Selamat maju jaya buat kedua-dua pasukan ini.