Sabah FC akan berhadapan dengan pasukan Tampines Rovers FC dari Singpura dalam perlawanan persahabatan antarabangsa hari ini, bersamaan 18 Februari 2023, pada pukul 7.15 malam di Stadium Likas, Kota Kinabalu.
Setelah kembali daripada kem latihan di Thailand, pasukan Sabah FC telahpun mengadakan dua perlawanan persahabatan yang menyaksikan pasukan dengan jolokan The Rhinos itu menang besar 6-0 ke atas Geylang International FC dan menang 4-0 ke atas pasukan Melaka FC.
Apa yang menarik dalam kedua-dua perlawanan persahabatan yang lepas ini ialah, kesemua pemain import baru Sabah FC telah berjaya mencatatkan nama sebagai penjaring gol. Pemain yang dimaksudkan ialah Telmo Castanheira, Gabriel Peres, Njoku Jacob, Jailton Paraiba dan Saddil Ramdani (pemain import antarabangsa sedia kala).
Selain pemain import asing, pemain import tempatan juga turut menjaringkan gol buat Sabah FC ialah Stuart Wilkin, Darren Lok, Daniel Ting dan Amri Yahyah.
Kedatangan seorang lagi pemain import dari Korea Selatan, Ko Kwang-Min dilihat bakal menguatkan lagi pasukan Sabah FC untuk menghadapi Liga Malaysia 2023 dan Piala AFC 2023.
Menjelang perlawanan persahabatan yang dinanti-nanti ini, mari kita lihat 3 orang pemain pasukan Tampines Rovers FC yang harus diberikan perhatian wajar oleh para pasukan Sabah FC.
1. Boris Kopitovic (Penyerang)
Merupakan penyerang sensasi pasukan Tampines Rovers FC sejak tahun 2020 dengan rekod jaringan menakjubkan iaitu sebanyak 60 jaringan dalam 63 perlawanan untuk pasukan dari Singapura ini.
Antara kelebihan yang dimiliki pemain tinggi lampai ini ialah teknik kawalan bola yang baik dan kemahiran penyudah yang tajam dan tepat dari dalam kotak penalti lawan.
2. Faris Ramli (Pemain Tengah)
Nama Faris Ramli memang tidak asing lagi buat para penggemar bola sepak tempatan di Malaysia. Beliau merupakan antara tonggak penting pasukan LionsXII yang membolehkan pasukan jemputan itu menjulang piala Liga Super 2013 dan Piala FA 2015.
Antara pasukan di Malaysia yang pernah diwakili oleh pemain kebangsaan Singapura ini ialah PKNS Selangor, Terengganu dan Perlis FA. Sehingga setakat ini, Faris telahpun merekodkan sebanyak 86 penampilan bersama skuad kebangsaan The Lions.
3. Yasir Hanfi (Ketua Pasukan / Pemain Tengah)
Beliau merupakan ketua pasukan Tampines Rovers FC yang juga tidak asing dalam kancah Liga Malaysia. Beliau pernah bermain untuk pasukan LionsXII sepanjang tahun 2012 hingga 2013. Sejurus selepas itu, Yasir pernah berhijrah ke pasukan PDRM pada tahun 2017.
Pemain berpengalaman ini mencatatkan 41 penampilan bersama skuad kebangsaan Singapura sejak tahun 2012. Sudah pasti pengalaman yang dimiliki oleh sang ketua pasukan ini bakal memberi anjakan paradigma buat pasukan beliau.