Layangan Kad Kuning ke-2 Feroz mungkin atas 5 Faktor ini

Ramai sedia maklum bahawa dalam kebanyakan kes di mana apabila pemain pertahanan menyentuh bola terlebih dahulu sehingga menghalang pergerakan penyerang yang kemudiannya menyebabkan penyerang tersebut jatuh, itu bukanlah kesalahan pemain pertahanan.

Akan tetapi untuk insiden yang melibatkan Feroz Baharudin dan Saddil Ramdani dalam perlawanan Separuh Akhir 1 di Likas semalam, TRT rasakan layangan Kad Kuning daripada pengadil, Razlan Jofri Ali untuk Feroz adalah disebabkan oleh 5 faktor ini:

1. Kaki kiri Feroz diangkat tinggi – dikhuatiri merbahaya dan berpotensi akibatkan kecederaan teruk kepada Saddil

Memang betul kaki kanan Feroz menyentuh bola yang dimainkan Saddil akan tetapi beliau telah menaikkan kaki kiri hampir di aras pinggang Saddil dalam pada masa yang sama. Dalam pengamatan pengadil, ini mungkin seakan ‘serampang dua mata’ – yang mana jika sekiranya kaki kanan Feroz tidak berjaya clear bola, kaki kirinya sudah tersedia untuk memberhentikan larian Saddil. Ini mungkin back-up plan Feroz yang bijak tapi kurang bernasib baik kerana terpaksa memakan diri sendiri. Pengadil mungkin bagi Feroz ruang untuk refleksi diri. 

2. Feroz halang peluang Saddil untuk melakukan percubaan / assist kepada rakan sepasukan untuk potensi gol penyamaan dengan gesaan emosi

Saddil Ramdani on the run ke arah situasi 1 vs 1 dengan Penjaga Gol JDT, Farizal Marlias jika berjaya melepasi Feroz. Matthew Davies dan Shahrul Saad sudah pun lakukan 2 siri sliding tackle yang gagal menghalang Saddil dan berkemungkinan Feroz ada kegeraman yang tinggi untuk melakukan hadangan setelah melihat 2 tackle sebelumnya dari rakan sepasukan tidak berhasil menjatuhkan Saddil. Ini mungkin pada hemat pengadil lebih kepada emotion-driven tackle yang berbahaya. 

3. Kedudukan Pengadil vs Kedudukan DOKS – Pengadil ada perspektif yang jelas

Dalam sesi Press Conference selepas perlawanan, Datuk Ong Kim Swee (DOKS) mengatakan tidak melihat insiden tersebut sebagai suatu yang seharusnya Kad Kuning buat Feroz namun tidak membantah keputusan pengadil sebagai mana beliau tidak membantah apabila dilayangkan Kad Kuning kerana memasuki padang. TRT tidak begitu setuju dengan pernyataan tersebut kerana sudut pandangan DOKS berbeza dari sudut pandangan pengadil. DOKS berada di belakang Saddil sementara pengadil hampir selari dengan Feroz, yang mana dapat lebih melihat pergerakan dan tindakan Feroz.

DOKS pula terbatas hanya boleh melihat larian Saddil dari arah belakang dan tackle Feroz yang berjaya keluarkan bola. Jelas kedudukan itu tidak cukup untuk judge situasi sebab tidak begitu strategik untuk melihat insiden dari semua arah. Dari posisi DOKS, beliau tidak dapat melihat kaki kiri Feroz yang diangkat sampai ke aras pinggang Saddil tapi dari view pengadil, semua kelihatan.

4. Intensiti dan emosi perlawanan membuatkan pengadil ‘bermurah hati’ untuk layangkan kad

‘Suhu’ perlawanan yang makin meningkat akan buatkan pengadil bersikap tegas dan tidak akan teragak-agak melayangkan kad kepada pemain yang bermain kasar, berintensi untuk mencederakan pemain lawan (contohnya melakukan tackle yang kasar walaupun tidak berniat mencederakan) dan tackle yang semata mata menjatuhkan pemain lawan (orang panggil ini sebagai professional foul konon tapi selalunya akan dapat layangan Kad Kuning).

Secara ringkas, wajar untuk pengadil layangkan kad dengan harapan dapat kawal emosi dan kegeraman pemain. Tapi kalau sudah ada warning, masih bermain kasar maka memang buang padanglah jawabnya. Boleh jadi juga terdapat pengadil yang ‘terjangkit’ emosi yang dicetuskan para pemain yang bakal memberi padah kepada para pemain dengan mendapat layangan kad dengan mudah – harap tidak berlaku di dalam Liga Malaysia.

5. Feroz ada pilihan lain untuk memberhentikan pergerakan Saddil

Feroz boleh memilih untuk melakukan body check atau body contact terhadap Saddil daripada buat sliding tackle tinggi yang bahaya, tidak kiralah tindakan tersebut mengakibatkan kecederaan atau tidak. Kalau tidak cedera pun, dia boleh dikategorikan sebagai near miss.

Sekurang-kurangnya dengan lakukan sentuhan badan ke badan, Feroz masih boleh gagalkan gerakan Saddil tanpa dapat Kad Kuning tambahan pula JDT ketika itu bukan dalam keadaan tertekan yakni sudah mendahului 1-0. 

Sekian 5 faktor yang mungkin menjadi alasan pengadil untuk memberikan layangan Kad Kuning ke-2 buat Feroz Baharudin dalam perlawanan menentang Sabah FC semalam. Anda mungkin ada pandangan berbeza namun itulah lumrah bola sepak, sentiasa ada hal yang boleh menjadi topik perbincangan.

Apapun TRT ucapkan tahniah buat Feroz yang berjaya membantu JDT II menjuarai Liga Premier 2022 dan dengan kehebatan anak jati Johor ini, ia diberikan kepercayaan menggantikan tempat Shane Lowry yang mengalami kecederaan. Diharap agar Feroz boleh membantu skuad kebangsaan di masa akan datang.