Sabah FC berhasil mencipta hatrik kemenangan dalam 3 perlawanan terakhir Liga Super 2022 mereka apabila menang tipis 1-0 ke atas Sarawak United FC di Kuching semalam.
Sorotan kronologi perlawanan
Sabah FC yang berkunjung di Stadium Negeri di Kuching, Sarawak itu menurunkan kesebelasan utama yang terdiri daripada Khairul Fahmi Che Mat (Penjaga Gol), Jackson De Souza, Dominic Tan, Rawilson Batuil, Rizal Ghazali, Tommy Mawat Bada, Saddil Ramdani, Park Taesu, Baddrol Bakhtiar (Ketua Pasukan), Taiki Kagayama dan Neto Pessoa.
Pasukan Sabah FC mendominasi perlawanan sejak wisel penamat ditiupkan dan seharusnya boleh membuka tirai jaringan seawal 35 saat permainan namun tandukan Taiki Kagayama hasil lintangan Saddil Ramdani pula sedikit tinggi melepasi palang gol pasukan tuan rumah.
Seminit berselang, Sabah FC sekali lagi hampir berjaya mencipta jaringan namun percubaan lencong kaki kiri dan kawasan kiri kotak penalti Sarawak United FC menerusi Saddil Ramdani berjaya dikeluarkan.
Sabah FC seterusnya berpeluang melakukan jaringan menerusi 2 percubaan 1 lawan 1 daripada Tommy Mawat Bada serta percubaan-percubaan merbahaya lain daripada Baddrol Bakhtiar, Neto Pessoa, Saddil Ramdani dan Park Taesu namun terpaksa akur untuk mengakhiri babak pertama dengan terikat tanpa sebarang gol.
Bersambung di babak ke-2, Sarawak United FC tampil lebih garang dengan mengimbangi penguasaan perlawanan dan mempunyai percubaan yang hampir memberikan keceriaan buat penyokong mereka menerusi percubaan Stuart Wark, Lee Chang Hoon, Uche Agba dan Francis Kone namun ketumpulan penyudah pemain-pemain Sarawak United FC ini bagaimanapun menidakkan mereka daripada membukai tirai jaringan.
Sabah FC akhirnya memecahkan kebuntuan pada minit ke-81 apabila Baddrol Bakhtiar dengan tenang menewaskan Sharbinee Alawi menerusi sepakan penalti yang diberikan pengadil selepas Neto Pessoa dikasari oleh Stuart Wark di dalam kotak penalti dalam proses mendapatkan bola hantaran Rawilson Batuil.
Suhu perlawanan kelihatan bertambah lebih panas sejurus selepas jaringan itu terhasil dengan beberapa layangan kad kuning diberikan pengadil kepada pemain-pemain pasukan pelawat dan tuan rumah sebelum wisel penamat perlawanan sepenuh masa ditiupkan.
Ikuti 6 fakta menarik perlawanan
1. Sabah FC mencatatkan kemenangan ke-3 berturut-turut dan kini berada di kedudukan ke-2 Liga Super 2022 dengan 9 mata, 3 mata di belakang pendahulu liga, Johor Darul Ta’azim FC.
2. Kemenangan di tempat lawan yang ke-2 berturut-turut diraih Sabah FC – suatu yang jarang berlaku jika dibandingkan dengan prestasi dalam liga sebelum ini.
3. Baddrol Bakhtiar mencatat gol peribadi pertama buat Sabah FC untuk musim 2022 yang juga merupakan gol penalti pertama Sabah FC musim ini.
4. Tommy Mawat Bada hadir dan beraksi mantap di Stadium Negeri Kuching namun datang sebagai lawan – sempat mendapat seruan boo daripada “miak Sarawak kediri”.
5. Taiki Kagayama mengharungi separuh masa ke-2 dengan balutan kain putih di kepala selepas berlaga dengan pemain Sarawak United FC ketika menanduk sepakan percuma Baddrol Bakhtiar – semangat kental yang harus dicontohi.
6. Sarawak United FC menjaringkan 1 gol selepas Sabah FC mendahului 1-0 namun gol tersebut tidak dikira kerana Khairul Fahmi Che Mat jelas dikasari terlebih dahulu – ini telah mengundang marah penyokong Sarawak United FC di dalam mahupun luar stadium.