Previu Perlawanan

Pertembungan “Borneo Derby”: Sabah FC siap sedia catat kemenangan berganda – DOKS

KUCHING: Menjelang pertemuan antara Sabah FC menentang Sarawak United FC malam esok dilihat sangat penting sekali gus menentukan gelaran sebagai pemenang ‘Borneo Derby’.

Pengendalinya Datuk Ong Kim Swee, berkata ini merupakan satu perlawanan lebih mencabar apabila sejarah perlawanan sebelum ini kerap kali mendatangkan keputusan yang cukup tipis.

Katanya The Rhinos perlu bersedia menunjukkan komitmen tinggi sekaligus mengekalkan momentum kemenangan selepas berjaya menewaskan Melaka United FC bagi menghasilkan keputusan positif malam esok.

“Kita bermain di tempat lawan lebih-lebih lagi berhadapan tuan rumah Sarawak United. Ini sudah tentu memberi kelebihan kepada mereka.

“Pertemuan malam esok dilihat sangat penting untuk kedua-dua pasukan kerana skuad badak ingin meneruskan rentak kemenangan manakala Sarawak United pula ingin mencatat kemenangan pertama selepas hanya mampu mencuri 1 mata dalam tiga perlawanan Liga Super.

“Kemungkinan besar barisan pemain yang diturunkan pada malam esok adalah sama seperti yang diturunkan ketika menewaskan Melaka United FC dan berharap dapat mencapai matlamat mengutip tiga mata penting malam esok,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam satu kenyataan media yang dikeluarkan hari ini.

Kim Swee berkata Sabah FC ingin meneruskan rentak kemenangan berganda dengan matlamat membawa balik mata selepas perlawanan esok.

“Kita ingatkan agar semua pemain menggalas tugas serta fokus kepada perlawanan penting dengan tidak mengulangi kesilapan sehingga memghasilkan keputusan yang mengecewakan malam esok,” katanya.

Sumber: Media Sabah FC