Perlawanan persahabatan di antara Sabah FC dan pasukan Malaysia B-23 tahun semalam berkesudahan dengan keputusan seri 1-1 dengan kedua-dua pasukan hanya berjaya menghasilkan jaringan di 10 minit terakhir perlawanan.
Pasukan pelawat, Malaysia B-23 bagaimanapun mengejutkan pasukan tuan rumah terlebih dahulu pada minit ke-82 menerusi gol sepakan percuma jarak 20 meter T.Saravanan yang menewaskan Damien Lim.
Tersentak dengan jaringan pasukan kendalian Brad Maloney itu, pasukan Sabah FC bangkit menyamakan kedudukan empat minit berselang menerusi jaringan jarak dekat Stuart Wilkin hasil situasi kelam kabut dalam kotak penalti Malaysia B-23 susulan lontaran jarak jauh Nazirul Naim.
Berikut merupakan 5 perkara menarik perlawanan tersebut:
1. Aksi pertama Jackson De Souza bersama Sabah FC
Pemain pertahanan tengah dari Brazil ini berjaya menunjukkan aksi pertama bersama Sabah FC dalam perlawanan menentang Malaysia B-23 semalam selepas dimasukkan menggantikan Amri Yahya di sekitar minit ke-60 permainan.
Pemain ini tidak menunggu lama untuk memperagakan aksi pertahanan yang kemas serta hantaran jauh yang tepat ke arah pemain sayap dan penyerang Sabah FC. Kelebihan yang dimiliki oleh bekas pemain Sao Paulo dan Internacional ini jelas terdapat pada ketinggian serta keupayaan aerial challenge beliau.
2. Taiki Kagayama dan Neto Pessoa tidak mendapat minit beraksi
Pemain dari Jepun, Taiki Kagayama dan Neto Pessoa tidak berkesempatan menunjukkan aksi pertama mereka bersama Sabah FC dalam perlawanan semalam. Kagayama difahamkan masih dalam proses pemulihan akibat kecederaan ketika latihan pertama bersama pasukan Sabah FC pada rabu.
Neto Pesso pula berkemungkinan masih belum diberikan minit aksi berikutan baru sampai ke ibu negeri untuk menjalani latihan dan tidak selamat melihat dari tahap kecergasan.
3. 5 Pemain asal Sabah beraksi untuk pasukan Malaysia B-23
Pasukan Malaysia B-23 tahun semalam dibarisi oleh 5 pemain muda dari Sabah. Mereka yang dimaksudkan ialah Azhad Harraz Arman, Abdul Hanafie Tokyo, Nuriezkhan Isa Japar, Harith Naem Jaineh dan Gerald Gadit.
Kesemua pemain yang disebutkan ini telah menunjukkan aksi yang cukup memberansangkan terutama sekali Harith Naem dan Azhad Harraz yang telah 3 kali berjaya melakukan percubaan berbahaya ke gawang gol Sabah FC.
4. Sabah FC tanpa sebarang kemenangan selepas 3 perlawanan persahabtan
Perlawanan menentang pasukan Malaysia B-23 itu merupakan perlawanan persahabatan yang ke-3 buat pasukan Sabah FC. Walaupun keputusan tidaklah dianggap penting dalam perlawanan persahabatan tersebut namun kebanyakan penyokong berfikiran bahawa keputusan yang baik juga turut memberi gambaran keserasian dan kesediaan pasukan menjelang sepak mula Liga Super 2022.
Untuk rekod, pasukan Sabah FC masih belum mencatat sebarang kemenangan dalam 3 perlawanan persahabatan mereka yang mana mereka seri 1-1 menentang Kinabalu Jaguar FC pada 15 Januari, tewas 0-1 di tangan Kuching City FC pada 29 Januari dan seri 1-1 menentang pasukan kebangsaan B-23 tahun semalam.
5. Stuart Wilkin jaringkan gol pertama buat Sabah FC
Stuart Wilkin menjadi bualan ramai di kalangan penyokong pasukan Sabah FC semalam dengan aksi baik yang ditunjukkan oleh pemain berdarah kacukan Malaysia-British itu. Tidak keterlaluan juga untuk gelaran Man Of The Match dianugerahkan kepada pemain tengah pinjaman dari JDT ini.
Gol yang dijaringkan Stuart Wilkin semalam merupakan gol peribadi pertama beliau untuk pasukan Sabah FC setakat ini.