3 Perkara menarik menjelang perlawanan Sabah FC vs Malaysia B-23 malam ini

Sabah FC akan menerima kunjungan pasukan B-23 kebangsaan Malaysia dalam perlawanan persahabatan di Stadium Likas pada pukul 8.15 malam ini.

Penonton dan penyokong yang tidak berkesempatan turun ke ibu negeri untuk menyaksikan perlawanan ini di stadium boleh melanggan pay-per-view untuk menyaksikan perlawanan ini secara langsung melalui laman Facebook rasmi Sabah FC.

Berikut merupakan 3 perkara menarik menjelang perlawanan di antara Sabah FC dan Malaysia B-23 malam ini:

1. Persiapan Sabah FC untuk hadapi Liga Super 2022 dan Malaysia B-23 untuk kejohanan B-23 AFF 2022

Ini merupakan kesempatan terbaik untuk pasukan Sabah FC melakukan persiapan menjelang sepak mula Liga Super 2022 yang dijangka bermula pada 5 Mac depan.

Sebagi rekod, ini merupakan perlawanan persahabatan yang ke-3 buat Sabah FC setakat ini dengan 2 perlawanan sebelumnya membabitkan pasukan Kinabalu Jaguar FC dan Kuching City FC.

Bagi pasukan Malaysia B-23 pula, ini merupakan perlawanan persahabatan pertama mereka sebagai persiapan menghadapi kejuaraan B-23 AFF 2022. Pasukan kendalian Brad Maloney ini akan meneruskan perlawanan persahabatan selanjutnya pada 10 Feb depan bertemu dengan juara Piala Malaysia 2021, Kuala Lumpur City FC.

2. Tiga pemain import baru Sabah FC sudah berlatih bersama pasukan

Kedatangan 3 pemain import yang baru minggu ini di Kota Kinabalu merupakan satu perkembangan positif bagi menguatkan lagi pasukan Sabah FC di semua bahagian iaitu sama ada di bahagian serangan, tengah mahupun pertahanan. Tiga pemain import yang dimaksudkan ini ialah Neto Pessoa (penyerang dari Brazil), Jackson De Souza (pertahanan tengah dari Brazil) dan Taiki Kagayama (pemain tengah dari Jepun).

Apapun, kelibat bekas pemain pasukan Inter Turku (pasukan liga Finland), Taiki Kagayama mungkin tidak kelihatan malam ini berikutan kecederaan yang dialami beliau ketika turun menjalan latihan sulung bersama Sabah FC, empat hari lepas.

3. Misi catatkan keputusan baik selepas menjalani 2 perlawanan persahabatan sebelum ini

Sabah FC sudah menjalani 2 perlawanan persahabtan sebelum ini namun keputusan yang diperolehi tidaklah menyebelahi mereka. Pada 15 Januari 2022, Sabah FC hanya sekadar seri 1-1 dengan pasukan Kinabalu Jaguar FC di Likas dan tumpas 0-1 di tangan Kuching City FC di venue yang sama pada 29 Januari.

Semua memahami bahawa keputusan perlawanan tesebut bukanlah ukuran sejauh mana kemampuan Sabah FC musim ini namun lebih bertujuan untuk mengenal pasti bahagian yang lemah di samping mengeratkan persefahaman dalam kalangan pemain.

Sabah FC bakal mengambil bahagian dalam kejohanan Piala Sabah Maju Jaya 2022 pada 12 Febuari ini yang turut melibatkan 3 pasukan luar iaitu Kedah Darul Aman FC, Kelantan FC dan Sarawak United FC.