Sang Badak mudah jinakkan Sang Kancil di Likas

Sabah FC meneruskan rentak cemerlang dalam saingan Liga Super 2021 apabila mudah menundukkan Melaka United FC 3-1 dalam perlawanan ke-12 yang berlangsung di Stadium Likas malam tadi.

Dengan kekalahan 0-1 PJ City FC di tangan Perak FC, pasukan Sabah FC berjaya melonjak satu anak tangga iaitu dari kedudukan ke-8 ke kedudukan ke-7 dengan berkongsi 16 mata bersama Kuala Lumpur City FC yang menghuni tangga ke-6 dengan pasukan ibukota itu mempunyai sedikit kelebihan dari segi perbezaan gol.

Separuh Masa Pertama

Pengendali pasukan Sabah FC, Kurniawan Dwi Yulianto telah menurunkan barisan kesebelasan utama yang terdiri daripada Robson Rendy Rining (PG), Risto Mitrevski (KP), Rawilson Batuil, Alto Linus, Randy Baruh, Azzizan Nordin, Park Taesu, Saddil Ramdani, Amri Yahyah, Levy Madinda dan Sam Johnson.

Sementara pasukan Melaka United FC, kendalian Zainal Abidin Hassan pula membariskan pemain utama yang terdiri daripada Norazlan Razali (PG), Razman Roslan (KP), Manuel Ott, Wan Amirul Afiq, Faris Shah Rosli, Jang Suk Won, Sony Norde, Stefan Nicolic, Alex Dos Santos Goncalves, S. Kumaahran dan Wan Zaharulnizam Wan Zakaria.

Sabah FC mengasak kubu pasukan Melaka United FC sejak wisel ditiupkan pengadil dan tidak menunggu lama untuk menggegarkan jaring Melaka United FC apabila Amri Yahyah menanduk masuk sepakan sudut yang diambil oleh Saddil Ramdani pada minit ke-6 di sebelah kiri gawang gol pelawat.

Walaubagaimanapun, pasukan Melaka United FC mengancam gawang gol Sabah FC seminit sejurus selepas itu melalui Sony Norde yang melepaskan rembatan kencang dari luar kotak penalti Sabah FC namun sedikit tersasar di penjuru atas kiri gawang gol.

Seminit berselang, kini giliran Sam Johnson pula untuk menguji kewibawaan Norazlan Razali apabila melakukan rembatan kencang dari luar kotak penalti yang bagaimanapun sedikit tersasar sipih di sebelah kanan gawang pelawat.

Gol ke-dua buat Sabah FC akhirnya hadir pada minit ke-16 menerusi Azzizan Nordin yang bijak melepaskan diri dari kekangan Razman Roslan sebelum merembat cantik dari dalam kotak penalti Melaka United FC untuk gol peribadi pertama pemain kelahiran Bongawan itu musim ini.

Melaka United FC yang tersentak dengan 2 gol awal pasukan Sabah FC itu cuba bangkit memperkemaskan gerakan untuk sekurang-kurangnya mengimbangi penguasaan bola namun masih buntu mendapatkan sebarang percubaan tepat pertama mereka.

Sabah FC pula apapun mempunyai beberapa peluang terbaik untuk menambah jaringan sebelum wisel penamat separuh masa pertama ditiupkan menerusi percubaan-percubaan Saddil Ramdani, Levy Madinda, Sam Johnson dan Amri Yahyah namun tidak diterjemahkan kepada gol.

Separuh Masa Ke-2

Sebaik wisel separuh masa ke-2 ditiupkan Zulkarnain Zakaria, Sabah FC tidak menunggu lama untuk menggandakan kelebihan jaringan apabila meledak gol ke-3 mereka pada minit ke-46 hasil satu tendangan akrobatik mengelirukan daripada Amri Yahyah dari dalam kotak penalti Melaka United FC yang membuat Norazlan Razali tergamam dan terbisu seribu bahasa.

Gerakan gol ke-3 Sabah FC menerusi Amri Yahyah tersebut dimulai oleh Alto Linus yang melintangkan bola buat Sam Johnson sebelum pemain Liberia itu melorongkan buat Park Taesu yang tidak semena-mena menghasilkan bantuan jaringan ke-4 peribadi buat pemain veteran dari Tanjung Karang itu.

Pasukan Melaka United FC yang tertekan dengan gol ke-3 Sabah FC itu seterusnya bertindak balas dengan menyusun gerak balas sistematik dan hasilnya hampir membolosi gawang tuan rumah pada minit ke-59 apabila sepakan percuma jarak 20 meter daripada Sony Norde terkena benteng dan melantun keluar padang walaupun Robson Rendy Rining sudahpun tertewas.

Usaha keras pasukan Melaka United FC untuk mendapatkan gol akhirnya berhasil apabila Fakrullah Rosli yang masuk menggantikan Alex Dos Santos Goncalves berjaya memanfaatkan kecuaian dakapan bola Robson Rendy Rining pada minit ke-66 untuk merapatkan jurang jaringan.

Kedua-dua pasukan saling mengasak untuk mendapatkan gol tambahan selepas itu namun akur dengan keputusan muktamad 3-1 yang berpihak kepada Sabah FC sekaligus pasukan yang gah dengan timangan Sang Badak itu meraih 3 mata penuh.

Perlawanan Ke-13: Sabah FC Menentang Kedah Darul Aman FC

Pasukan Sabah FC bakal melayani kunjungan Kedah Darul Aman FC, yang tewas 0-1 di tangan JDT FC dalam perlawanan ke-12 yang lepas, di Stadium Likas pada 8 Mei ini sebelum menjalani tempoh rehat panjang bagi memberikan laluan buat perlawanan-perlawanan bola sepak antarabangsa.

Misi Sabah FC untuk membolot 9 mata penuh daripada 3 perlawanan di laman sendiri kini sudahpun hampir 70% tercapai.

Sang Badak semakin buas, kini buku bertemu ruas!