Sabah FC berjaya mengenepikan cabaran pasukan Perak FC dalam perlawanan ke-11 Liga Super 2021 apabila bangkit ketinggalan 0-1 untuk menang 2-1 dalam perlawanan yang berlangsung penuh dramatik di Stadium Likas malam tadi.
Barisan Pemain Sabah FC & Perak FC
Pasti ramai yang terkejut dengan percaturan pasukan Sabah FC semalam apabila Kurniawan Dwi Yulianto tidak menurunkan Sam Johnson dan Levy Madinda dalam barisan kesebelasan utama.
Sebaliknya, KDY menurunkan barisan utama yang terdiri daripada Robson Rendy Rining, Rawilson Batuil, Alto Linus, Randy Baruh, Azzizan Nordin, Syukri Baharun, Park Taesu, Maxsius Musa, Saddil Ramdani dan Amri Yahyah.
Pasukan Perak FC pula turut merehatkan dua pemain import mereka iaitu Sergio Aguero dan Rianderson Da Costa Morais. Barisan kesebelasan utama pasukan Perak FC terdiri daripada Hafizul Hakim, Nazirul Naim, Shahrul Saad, Amirul Azhan, Leandro Dos Santos Oliveira, Shakir Hamzah, Kenny Pallraj, Guilherme De Paula, Idris Ahmad, J. Partiban, dan Izzuddin Roslan.
Separuh Masa Pertama
Kedua-dua pasukan memulakan permainan dengan rentak berhati-hati di permulaan babak pertama dengan keadaan padang yang sedikit licin berikutan keadaan hujan di awal petang semalam sehinggalah percubaan pertama Sabah FC muncul pada minit ke-20 menerusi Saddil Ramdani yang mendada hantaran lintang Amri Yahyah sebelum melepaskan sepak voli rendah yang tepat ke dakapan Hafizul Hakim.
Tidak sampai seminit berselang, serangan Sabah FC nyaris membuahkan hasil apabila Amri Yahyah hampir dapat melakukan tandukan terbang tepat ke atas bola lintangan cantik Azzizan Nordin.
Pasukan Perak FC akhirnya berjaya menggegarkan jaring pasukan Sabah FC pada minit ke-27 menerusi sepakan percuma cantik daripada pemain sayap kiri, Nazirul Naim yang mengelirukan penjaga gawang Sabah FC, Robson Rendy Rining untuk meletakkan pelawat satu gol di hadapan.
Alto Linus hampir menyamakan kedudukan buat pasukan Sabah FC pada minit ke-29 apabila berjaya melepaskan rembatan kencang dari jarak 40 meter yang mujur berjaya ditepis keluar oleh Hafizul Hakim.
Sabah FC yang telah menggandakan intensiti serangan sekali lagi hampir untuk menyamakan kedudukan pada minit ke-41 namun hantaran lintang menarik daripada Amri Yahyah berjaya dikeluarkan dengan cemerlang oleh pertahanan Perak FC yang diketuai oleh Shahrul Saad.
Maxsius Musa mempunyai peluang terbaik untuk menyamakan kedudukan di masa kecederaan separuh masa pertama namun rembatannya yang hanya berhadapan dengan penjaga gol terlalu tinggi untuk babak pertama berakhir dengan Perak FC mendahului tuan rumah 1-0.
Separuh Masa Ke-2
Pasukan Sabah FC telah membuat 2 pertukaran pemain secara serentak apabila mengeluarkan Azzizan Nordin dan Maxsius Musa untuk memberikan ruang buat Sam Johnson dan Levy Madinda untuk beraksi di separuh masa ke-2. Perak FC turut memasukkan Rianderson Da Costa Morais dan Sergio Aguero sebelum sepak mula separuh masa ke-2.
Perak FC seharusnya boleh menggandakan kelebihan mereka pada minit ke-47 perlawanan apabila Guilherme De Paula yang hanya berhadapan dengan Robson Rendy Rining tidak berjaya untuk melakukan penyudah tepat ke arah gawang gol Sabah FC.
Gol yang dinanti-nantikan Sabah FC akhirnya muncul pada minit ke-65 apabila Amri Yahyah yang mendapat hantaran lintang Alto Linus berjaya melakukan sepakan half-volley kaki kiri di dalam kotak penalti yang membuatkan Hafizul Hakim tergamam.
Perak FC yang menyedari harus memburu gol setelah ditekan oleh Sabah FC hampir berjaya mendapatkan gol ke-2 menerusi sepakan percuma jarak 30 meter daripada Leandro Dos Santos pada minit ke-70 namun Robson Rendy Rining berajaya menyelamatkan gawang dengan satu diving save.
Pasukan Sabah FC yang dahagakan jaringan akhirnya berjaya mendapatkan gol ke-2 melalui Levy Madinda yang bijak menewaskan Hafizul Hakim menerusi sepakan percuma leret pada jarak 30 meter dari luar kotak penalti Perak FC sekaligus memberikan keceriaan buat lebih kurang 1800 orang yang hadir menyaksikan perlawanan semalam.
Perak FC cuba bertindak balas untuk menyamakan kedudukan sejurus selepas itu bagaimanapun tidak berjaya kerana keampuhan benteng Sabah FC yang diketuai Risto Mitrevski. Perlawanan berakhir dengan Sabah FC menang 2-1 ke atas Perak FC di Likas.
Pusingan Pertama Liga Super 2021 Berakhir
Dengan selesainya perlawanan menentang Perak FC semalam maka berakhirlah pusingan pertama bagi Liga Super 2021 yang turut menyaksikan Sabah FC berada di kedudukan ke-8 daripada 12 pasukan dan peluang untuk berada di kelompok 5 teratas begitu terbuka.
Pasukan Sabah FC akan meneruskan saingan pusingan ke-2 Liga Super 2021, yakni perlawanan ke-12 pada 5 Mei ini yang mana skuad bimbingan Kurniawan Dwi Yulianto akan melayani kunjungan Melaka United FC di Likas.