Laporan, Ulasan & Analisis

Sabah FC sekat hasrat Selangor FC untuk raih 3 mata di laman sendiri

Impian Selangor FC untuk mendapatkan kemenangan ke-3 berturut-turut mereka menemui jalan buntu di Stadium MBPJ selepas diikat seri 2-2 oleh Sabah FC dalam perlawanan Liga Super 2021 yang ke-10.

Pasukan Sabah FC menurunkan barisan kesebelasan utama yang terdiri daripada Rozaimie Rohim (Penjaga Gol), Risto Mitrevski (Ketua Pasukan), Rawilson Batuil, Alto Linus, Randy Baruh, Azzizan Nordin, Park Taesu, Syukri Baharun, Saddil Ramdani, Amri Yahyah dan Sam Johnson.

Pasukan Selangor FC pula menurunkan barisan kesebelasan utama mereka yang dibarisi oleh Khairul Azahan (Penjaga Gol), Brendan Gan (Ketua Pasukan), Safuwan Baharudin, Sharul Nazeem, Manuel Konrad, Arunasalam Namatevan, Muhairi Ajmal, Alif Haiqal, Danial Asri, Jordan Ayimbila dan Ifedayo Olusegun.

Separuh Masa Pertama

Separuh masa pertama menjadi milik penuh Sabah FC dengan 6 percubaan ke arah gawang Selangor FC dan 1 daripadanya berjaya diterjemahkan kepada gol. Pasukan Selangor FC pula hanya berjaya menghasilkan 1 percubaan lemah dari luar kotak penalti menerusi Muhairi Ajmal.

Penguasaan bola di bahagian tengah terlihat lebih menyebelahi kepada Sabah FC dengan anggaran peratusan penguasaan sebanyak 60%. Kombinasi hantaran panjang dan pendek yang dimulai dari kawasan pertahanan ke kawasan tengah merupakan antara penyumbang kepada kelebihan ball possession Sabah FC ini.

Selangor FC di separuh masa pertama dilihat sukar memasuki kawasan kotak penalti Sabah FC dan menyaksikan Rozaimie Rohim tidak begitu teruji. Mungkin faktor kawalan ketat terhadap Ifedayo Olusegun telah menyebabkan mereka kehilangan bola sejurus berada di kawasan attacking third.

Tiada hantaran lintang yang baik dari sebelah kanan sayap Selangor FC. Yang ada hanyalah hantaran meliar dari A. Namathevan. Namun begitu, Jordan Ayimbila yang bermain sebagai Left Back telah berjaya membuat 2 hantaran lintang di sebelah kiri dengan baik namun tidak berjaya menemui Ifedayo Olusegun.

Sabah FC sebaliknya menampakkan peranan 2 pemain Wing Back mereka iaitu Randy Baruh dan Alto Linus dengan kedua-dua pemain ini kerap melakukan larian overlap yang berakhir dengan hantaran silang. Alto Linus berjaya melakukan 1 assist kepada gol Amri Yahyah pada minit ke-31 sementara Randy Baruh pula berjaya melakukan 1 percubaan kaki kiri dari luar kotak penalti pada minit ke-20 yang memaksa Khairul Azahan bertindak cemerlang melayangkan badan menepis percubaan lencong tersebut.

Menerusi satu hantaran lolos Alto Linus, Azzizan Nordin seharusnya boleh meletakkan Sabah FC satu gol di hadapan pada minit ke-26 namun percubaan dalam situasi satu lawan satu dengan penjaga gol Selangor FC itu tersasar jauh di sebelah kiri pintu gol. Apapun 5 minit selepas itu, Amri Yahyah menceriakan penyokong Sabah FC dengan satu gol yang menarik selepas sekali lagi menerima lorongan dari Alto Linus.

Pada minit ke-37 dan ke-47 menyaksikan Saddil Ramdani boleh menambah jaringan buat Sabah FC namun percubaan beliau tersasar sedikit dari gawang gol pasukan Selangor FC. Separuh masa pertama tamat dengan Sabah FC mendahului pasukan tuan rumah, Selangor FC dengan satu gol tanpa balas.

Separuh Masa Ke-2

Seperti yang dijangkakan, Selangor FC telah menggandakan asakan ke kubu pelawat di separuh masa ke-2 namun Sabah FC terlebih dahulu mencemaskan gawang gol pasukan Selangor FC menerusi 2 percubaan tepat pemain gantian, Maxsius Musa yang masing-masing dibantu oleh Azzizan Nordin dan Randy Baruh.

Kemasukan pemain seperti Norhakim Hassan, Shahrel Fikri, Syahmi Safari dan Hein Htet Aung telah memberikan impak besar ke atas serangan pasukan Selangor FC yang mana menjadi tajam dan sering masuk ke dalam kotak penalti Sabah FC untuk memberi bahaya.

Ternyata dengan keluarnya Amri Yahyah dan Azzizan Nordin di separuh masa ke-2 telah mengurangkan cengkaman penguasaan bola di kawasan tengah pasukan Sabah FC dan membuatkan terlalu banyak ruang untuk Selangor FC melakukan serangan.

Hasilnya pada minit ke-57, satu hantaran lintang Norhakim Hassan tidak berjaya dikeluarkan dengan sempurna oleh Rozaimie Rohim yang membolehkan penjaring terbanyak Selangor FC, Ifedayo Olusegun melakukan tolakan mudah untuk jaringan penyamaan.

Serangan bertali arus daripada Selangor FC akhirnya membuahkan hasil pada minit ke-72 setelah kombinasi Shahrel Fikri dan Ifedayo Olusegun telah berjaya memperdaya barisan pertahanan Sabah FC untuk gol ke-2 yang terhasil menerusi placing shot mudah daripada Ifedayo Olusegun sendiri.

Pasukan Selangor FC terlalu lalai mengasak kubu Sabah FC untuk menambah jaringan sehingga membiarkan diri mereka tersentak dengan gol penyamaan Bobby Gonzales pada minit ke-88 yang tercetus melalui sepakan sudut Saddil Ramdani dan tandukan cut back Park Taesu.

Kedua-dua pasukan bagaimanapun buntu untuk menghasilkan sebarang gol walaupun pengadil perlawanan melanjutkan tempoh masa kecederaan hingga 7 minit.

Tamat perlawanan di Stadium MBPJ, Kelana Jaya dengan keputusan seri dua sama.

Pasukan Sabah FC akan menghadapi pasukan Perak FC pada 2 Mei depan di Stadium Likas dalam perlawanan ke-11 Liga Super 2021.