Sabah FC akan bertandang ke Stadium Majlis Bandaraya Petaling Jaya di Kelana Jaya dalam perlawanan ke-10 Liga Super 2021 menentang pasukan Selangor FC pada esok bersamaan 23 April, pukul 10 malam.
Rekod pertemuan Selangor FC dan Sabah FC
Dalam 3 pertemuan terakhir di antara Sabah FC dan Selangor FC nampak sedikit menyebelahi Sabah FC dengan 2 kemenangan ketika saingan Piala Malaysia 2018 dan kemenangan 2-1 Selangor FC ketika saingan Liga Super 2020.
Kesemua 3 perlawanan yang mempertemukan kedua-dua pasukan ini berakhir dengan keputusan 2-1. Misalnya dalam perlawanan peringkat kumpulan Piala Malaysia 2018, Sabah FC menewaskan Selangor FC dengan jaringan 2-1 di Likas dan Shah Alam sementara ketika saingan Liga Super 2020, Sabah FC tewas 1-2 kepada Selangor FC di Likas menerusi 2 jaringan minit akhir pelawat menerusi Ifedayo Olesegun setelah Rodoljub Paunovic meletakkan Sabah FC di hadapan.
Kedua-dua pasukan ini hanya bertemu sebanyak sekali dalam saingan Liga Super 2020 memandangkan liga melabuhkan tirai dengan hanya 1 pusingan sahaja.
Prestasi terkini Selangor FC
Pasukan Selangor FC membuktikan bahawa mereka merupakan antara pencabar kejuaraan Liga Super 2021 atau sekurang-kurangnya pencabar tempat automatik ke kejuaraan AFC apabila kini berada di kedudukan ke-5 liga dengan 14 mata yang dikutip hasil 4 kemenangan, 2 seri dan 3 kekalahan.
Pasukan dengan gelaran The Red Giant ini muncul pasukan ke-2 yang mempunyai jumlah jaringan terbanyak iaitu dengan 15 gol selepas JDT yang telahpun menyumbat sebanyak 23 jaringan. Meskipun dapat menghasilkan jaringan yang banyak, pasukan kendalian Karsten Neitzel dari Jerman ini turut mempunyai jumlah bolos yang banyak iaitu dengan jumlah 13 gol.
Bermain di kandang sendiri nampaknya tidak begitu memberi jaminan kemenangan buat Selangor FC kerana mereka telah tewas 2 kali di Stadium MBPJ iaitu tewas 0-2 kepada Penang FC dan tewas 1-2 di tangan Kedah Darul Aman FC dalam perlawanan sebelumnya.
Prestasi semasa Selangor FC ialah M-K-S-S-K-M-K-M-M sementara pasukan Sabah FC dengan prestasi S-K-K-K-M-S-K-S-M.
Pemain tumpuan Selangor FC
Pemain yang memberikan impak cukup besar kepada pasukan Selangor FC sudah pasti penyerang sensasi mereka dari Nigeria iaitu Ifedayo Olusegun yang kini sudah pun meledak sebanyak 7 gol dari 9 jumlah permainan. Pemain ini berada 2 gol di belakang pendahulu penjaring terbanyak Liga Super 2021 iaitu Bergson Da Silva dari JDT.
Selain Ifedayo Olusegun, Selangor FC turut mempunyai pemain yang berkeupayaan menjaringkan gol termasuklah Shahrel Fikri, Oliver Buff, Brendan Gan, Muhairi Ajmal, Syahmi Safari, Manuel Conrad, Norhakim Hassan dan Wan Zack Haikal.
Benteng pasukan Selangor FC turut ditunjangi oleh pemain pertahanan yang tidak asing dalam Liga Malaysia iaitu Safuwan Baharudin dari Singapura, Tim Heubach dari Jerman dan pemain muda dan bertenaga dari Ghana, Jordan Ayimbila.
Cara Terengganu FC, Penang FC dan Kedah Darul Aman FC tewaskan Selangor FC
Pasukan Selangor FC dilihat buntu untuk mendapatkan jaringan setelah 3 pasukan ini mengunci penggerak utama jentera tengah mereka yang diketuai oleh Brendan Gan dan Oliver Buff, yang menggagalkan mereka melakukan hantaran hantaran berkualiti kepada barisan penyerang mereka.
Selain itu, keupayaan ketiga-tiga pasukan ini untuk mematikan serangan Selangor FC sebelum melepasi kawasan attacking third merupakan antara faktor yang menyebabkan sukar buat Selangor FC menghasilkan jaringan.
Ketiga-tiga pasukan ini turut berjaya mengikat kemas pergerakan penyerang berbisa Selangor FC, Ifedayo Olusegun yang berhasil menyukarkan penyerang ini melakukan percubaan mahupun membawa bola ke kawasan kotak penalti.
Kesimpulannya, Sabah FC boleh melakukan hal yang sama jika ingin mencuri 3 mata dari Stadium MBPJ esok.