Sabah FC radu rata UiTM FC 4-0 di Likas, Ketahui 11 fakta menarik perlawanan

Sabah FC memanfaatkan peluang beraksi di laman sendiri dan menepati andaian ramai apabila menang mudah dan bergaya 4-0 ke atas pasukan UiTM FC dalam perlawanan ke-9 Liga Super 2021 di Stadium Likas semalam.

Ikuti Soroton Perlawanan Tersebut

Pasukan Sabah FC telah menurunkan barisan kesebelasan utama yang terdiri daripada Robson Rendy Rining (Penjaga Gol), Risto Mitrevski (Ketua Pasukan), Randy Baruh, Alto Linus, Park Taesu, Syukri Baharun, Levy Clement Madinda, Saddil Ramdani, Hamran Peter, Amri Yahyah dan Sam Johnson.

Pasukan UiTM FC yang melakukan rombakan dari segi barisan pemain telah menurunkan Dominik Picak (Penjaga Gol), Afif Asyraf (Ketua Pasukan), Rafie Mat Yaacob, Nazirul Hasif, Alif Najmi, Syafiq Al-Hafiz, Dirga Surdi, Faizal Arif, Khairul Izuan Rosli, Ariff Ar-Rasyid dan Nana Poku.

Bermain dalam keadaan padang dan cuaca yang baik, Sabah FC memulakan aksi dengan garang apabila mendapatkan percubaan seawal minit ke-3 permainan menerusi Saddil Ramdani namun percubaan yang seakan-akan sebuah hantaran itu berjaya dikeluarkan oleh benteng pertahanan pasukan UiTM FC.

Pasukan Sabah FC hampir membolosi gawang pelawat pada minit ke-8 apabila tandukan kilas Sam Johnson hasil hantaran sepakan sudut Levy Madina tersasar hanya beberapa inci di sebelah kiri tiang gol pasukan UiTM FC.

Percubaan pertama pasukan UiTM FC hadir pada minit ke-15 menerusi Shafiq Al-Hafiz hasil rebound sepakan percuma Khairul Izuan namun percubaan beliau terlalu tinggi melepas gawang gol Sabah FC.

2 minit berselang, Sabah FC hampir membolosi gawang UiTM FC menerusi tandukan Sam Johson yang menerima hantaran lintang Alto Linus namun kali ini tandukan tepat tersebut berjaya ditepis keluar oleh Dominik Picak.

Sabah FC akhirnya berjaya memecahkan kebuntuan pada minit ke-28 menerusi Sam Johnson yang bijak menempatkan diri beliau di posisi tepat selepas melakukan satu tap-in mudah hasil bola muntah dari dakapan Dominik Picak yang menyelamatkan tandukan Amri Yahyah daripada hantaran lintang Alto Linus di sebelah kanan gawang UiTM FC.

Gol ke-2 Sabah FC hadir pada minit ke-41 hasil rembatan kencang dari luar kotak penalti Saddil Ramdani yang menyempurnakan lay out daripada Sam Johnson susulan hantaran leret Levy Madinda kepada penyerang dari Liberia itu. Separuh masa pertama tamat dengan Sabah FC mendahului UiTM FC dengan 2 gol tanpa balas.

Bersambung di babak ke-2, Sabah FC tidak menunggu lama untuk menambah jaringan apabila meledak gol ke-3 menerusi Park Taesu yang melakukan gerakan satu-dua bersama dengan Saddil Ramdani dan melakukan rembatan jarak dekat mudah yang memperdaya keseluruhan pemain UiTM FC termasuklah penjaga gol mereka, Dominik Picak.

Pasukan Sabah FC hampir menambah derita UiTM FC pada minit ke-71 namun percubaan Maxsius Musa hasil sepakan percuma jarak 30 meter berjaya dikeluarkan dengan cemerlang oleh Dominik Picak.

Seterusnya UiTM FC hampir berjaya mendapatkan gol pertama mereka pada minit ke-74 namun percubaan kencang kaki kiri daripada Afif Asyraf berjaya ditepis keluar oleh Robson Rendy Rining.

Sabah FC akhirnya melengkapkan kemenangan mereka menerusi Bobby Gonzales pada minit ke-86 menerusi gerakan break attack menarik yang dimulai oleh Rawilson Batuil yang melorongkan bola buat Maxsius Musa yang melakukan larian pantas ke hujung kotak penalti kanan UiTM FC sebelum melorongkan bola kepada Azzizan Nordin yang seterusnya mengumpan buat Saddil Ramdani yang melakukan back-heel kepada Bobby Gonzales dan mudah buat penyerang veteran itu melakukan placing shot di sebelah kanan gawang UiTM FC.

Sabah FC dilihat masih ingin menambah jumlah jaringan sejurus selepas itu namun terpaksa berpuas hati dengan keputusan penuh menang empat gol kosong ke atas UiTM FC.

Mari pula ikuti 11 fakta menarik perlawanan di antara Sabah FC dan UiTM FC seperti berikut:

1. Saddil Ramdani sebagai Man Of The Match rata-rata penyokong Sabah FC dengan 1 gol dan 2 bantuan gol. Kedua-dua bantuan gol Saddil Ramdani adalah bertaraf dunia.

2. Clean sheet yang ke-2 buat Robson Rendy Rining. Kali pertama beliau tidak dibolosi ialah ketika seri tanpa jaringan dengan pasukan Kuala Lumpur City FC di Cheras.

3. Park Taesu berjaya menjaringkan gol pertama buat Sabah FC untuk musim 2021. Gol yang dihasilkan oleh Park Taesu adalah kombinasi sensasi bersama Saddil Ramdani dan menjadi calon kuat untuk gol terbaik minggu ini.

4. Kombinasi Sam Johnson dan Saddil Ramdani sekali lagi menghasilkan jaringan di luar kotak penalti selepas kali terakhir mereka melakukannya pada perlawanan menentang Penang FC pada perlawanan ke-8 Liga Super 2021 di Stadium Bandaraya. Lihat butiran perlawanan tersebut di: Sabah FC tamatkan rentetan 3 kemenangan berturut-turut Penang FC di Stadium Bandaraya

5. Azzizan Nordin, Rawilson Batuil dan Maxsius Musa tidak disenaraikan dalam kesebelasan utama namun dimasukkan di separuh masa ke-2. Kemasukan pemain-pemain ini berjaya mengekalkan momentum kuat Sabah FC untuk menambah 2 lagi jaringan di babak ke-2 perlawanan.

6. Pemain muda berusia 21 tahun dari Labuan, Nureizkhan Isa Japar membuat penampilan sulung buat Sabah FC setelah dimasukkan menggantikan Syukri Baharun pada minit ke-78. Pemain ini berjaya menghasilkan 1 percubaan dan 2 hantaran berkualiti di sepanjang 12 minit aksi beliau di dalam padang.

7. Penyerang veteran dan berpengalaman, Bobby Gonzales telah berhasil membuka akaun jaringan beliau untuk Sabah FC musim ini selepas meledak gol ke-4 Sabah FC pada minit ke-86.

8. UiTM FC turun di Likas tanpa 2 tonggak asing mereka iaitu Victor Nirenold dari Perancis dan Abou Bakr Al-Mel dari Lubnan. Ini telah memberi impak yang sangat dirasai apabila UiTM FC gagal merencana gerakan dan percubaan yang lebih berkualiti.

9. Kemenangan ini merupakan ke-2 dan juga kemenangan terbesar Sabah FC untuk setakat 9 perlawanan Liga Super 2021. 3 mata penuh pertama mereka dihasilkan ketika menewaskan Terengganu FC 2-1 di Likas.

10. Ini merupakan kekalahan 4-0 kali ke-dua buat UiTM FC selepas tewas dengan jumlah jaringan yang sama kepada JDT pada perlawanan ke-3 Liga Super 2021 di Stadium UiTM Shah Alam.

11. Sabah FC melonjak 2 anak tangga Liga Super 2021 dari kedudukan ke-10 ke kedudukan ke-8 dengan kini mengutip 9 mata, berkongsi mata dengan Perak FC di tangga ke-9 namun mempunyai defisit jaringan yang lebih baik. Kedudukan ini bagaimanapun dilihat bakal berubah bergantung kepada keputusan perlawanan Melaka United FC dengan Selangor FC di Stadium Hang Jebat malam ini.

Sabah FC selepas ini akan berkunjung ke Stadium MBPJ pada 23 April depan untuk berdepan Selangor FC dalam perlawanan ke-11 Liga Super 2021.