Sabah FC akan melayani kunjungan pasukan UiTM FC pada pukul 9.15 malam esok bersamaan 17 April 2021 di Stadium Likas, Kota Kinabalu dalam perlawanan ke-9 Liga Super 2021.
Prestasi Semasa UiTM FC
Tidak banyak yang boleh diperkatakan berkenaan prestasi pasukan UiTM FC musim ini. Mereka berada di kedudukan tercorot liga dengan hanya berjaya mengutip 1 mata hasil 1 seri dan 7 kekalahan dalam 8 perlawanan yang mereka harungi.
Pasukan dengan gelaran The Lions Troops hanya berjaya menghasilkan 3 gol dalam 8 perlawanan dan memiliki jumlah bolos terbesar dalam liga iaitu sebanyak 16 gol.
3 Gol yang dihasilkan UiTM FC adalah menerusi Fauzi Latif ketika tewas 1-2 kepada Terengganu FC dalam perlawanan pembukaan Liga Super 2021 dan 2 lagi sumbangan gol pemain import dari Ghana, Nana Poku ketika tewas 3-2 di tangan Perak FC pada perlawanan yang ke-7 liga.
Akibat prestasi hambar ini, pihak pengurusan UiTM FC telah memutuskan untuk merehatkan pengendali pasukan, Frank Bernhardt dan memberikan ruang buat Reduan Abdullah untuk mengambil alih.
Prestasi UiTM FC di bawah kendalian Reduan Abdullah bagaimanapun tidak menunjukkan keputusan yang positif akan tetapi sudah pasti terdapat perubahan suasana yang lebih baik di dalam pasukan ini.
Prestasi UiTM FC dalam Liga Super 2021 setakat 8 perlawanan adalah K-K-K-S-K-K-K-K.
Prestasi Sabah FC
Sabah FC memulakan kempen Liga Super 2021 dengan mengutip 1 mata dari Stadium Hang Jebat ketika seri 1-1 dengan pasukan Melaka United FC walaupun pada 2 perlawanan awal mereka bermain dengan hanya 1 pemain asing iaitu Park Taesu.
Sabah FC seterusnya tewas dalam 3 perlawanan berikutnya yang turut mendesak barisan pengurusan memberikan amaran buat Kurniawan Dwi Yulianto untuk memperbaiki mutu dan prestasi pasukan dalam beberapa perlawanan kehadapan.
Berbekalkan semangat kental dan ingin menang, Sabah FC akhirnya berjaya mendapatkan 3 mata penuh pertama mereka selepas menundukkan ego Terengganu FC di Likas yang sekali gus menamatkan rekod tanpa kalah pasukan dari pantai timur semenanjung Malaysia kendalian Nafuzi Zain itu.
Menewaskan pasukan Terengganu FC itu tampat menjadi penyuntik semangat buat para pemain Sabah FC dan menjadi titik tolak kebangkitan dan corak permainan yang lebih meyakinkan.
Sabah FC bagaimana pun meraih 2 keputusan seri dan 1 kekalahan selepas kemenangan ke atas Terengganu FC pada perlawanan ke-5 liga.
Prestasi pasukan Sabah FC untuk setakat 8 perlawanan adalah S-K-K-K-M-S-K-S.
Pemain Tumpuan UiTM FC
Pemain tumpuan utama pasukan UiTM FC sudah pasti penyerang dari Ghana iaitu Nana Poku yang sudahpun menjaringkan 2 gol yakni sama banyak jumlahnya dengan jaringan penyerang import Sabah FC dari Gabon, Levy Clement Madinda dan penyerang kebangsaan Indonesia, Saddil Ramdani.
Gerakan-gerakan kreatif dan berbahaya pasukan UiTM FC sering dimulai oleh penyerang dari Lubnan, Abou Bakr Al-Mel dan bekas penyerang Terengganu FC, Khairul Izuan Rosli. Di samping mereka, UiTM FC juga memiliki bekas pemain PKNP FC (kini Perak FC 2), Kuzaimie Piee, dan pemain kelahiran Sabah, Dirga Surdi yang berpotensi memberikan ancaman ke gawang gol Sabah FC.
Jika Sabah FC dapat mengunci setiap gerakan para pemain yang disebutkan ini, nescaya sukar buat UiTM FC untuk mendapatkan jaringan mahupun mencuri mata di Likas malam esok.