Sabah FC membawa pulang 1 mata berharga dari Stadium Bandaraya, Pulau Pinang setelah seri 1-1 dengan pasukan Penang FC dalam perlawanan ke-8 Liga Super 2021 semalam.
Kronologi Perlawanan
Sabah FC turun menentang pasukan Penang FC dengan menurunkan pemain kesebelasan utama yang terdiri daripada Robson Rendy Rining (PG), Risto Mitrevski (Ketua Pasukan), Randy Baruh, Dendy Lowa, Alto Linus, Levy Clement Madinda, Hamran Peter, Saddil Ramdani, Park Taesu dan Bobby Gonzales.
Kelibat Rawilson Batuil, Azzizan Nordin, Mafry Balang dan Maxsius Musa tiada dalam perlawanan menentang pasukan Penang FC ini.
Pasukan Penang FC pula menurunkan barisan terkuat mereka yang terdiri daripada pemain import dari Brazil, Anselmo Aruda Da Silva (Casagrande), Ryuji Utomo dari Indonesia, Sheriddin Boboev dari Tajikistan, David Rowley pemain berdarah campuran British-Australia-Malaysia, Rafael Vitor pemain pertahanan dari Brazil, pemain berpengalaman di bek kiri iaitu Azmi Muslim dan pemain sayang kanan lincah, Al-Hafiz Harun.
Kedua-dua pasukan memulakan aksi di babak pertama dengan kondisi hujan lebat yang menyukarkan sedikit penguasaan bola. Bagaimanapun pasukan Sabah FC berjaya melakukan percubaan pertama menerusi sepakan first timer Bobby Gonzales yang melepasi gawang gol Penang FC pada minit ke-4.
2 Minit berselang menyaksikan percubaan bahaya kaki kiri Saddil Ramdani berjaya dikeluarkan oleh pemain pertahanan Penang FC. Sejurus selepas itu pasukan Penang FC berjaya melakukan percubaan menerusi Al-Hafiz Harun dan Sheriddin Boboev.
Dendy Lowa yang mengalami kecederaan terpaksa dikeluarkan pada minit ke-35 untuk memberikan ruang buat Syukri Baharun beraksi. Kemasukan pemain muda dari Kunak itu telah memberikan suntikan baru di bahagian tengah Sabah FC dan memaksa Park Taesu berada di kawasan pertahanan bergandingan bersama Risto Mitrevski.
Bersambung di babak ke-2, Sabah FC berjaya melakukan percubaan tepat ke arah gawang Penang FC menerusi sepakan kaki kanan Hamran Peter pada minit ke-48.
Sabah FC akhirnya berjaya menembusi gawang Penang FC selepas satu percubaan jarak jauh Saddil Ramdani gagal diselamatkan oleh penjaga gol Penang FC pada minit ke-51. Gerakan tersebut adalah hasil daripada dominasi tengah Sabah FC dan gerakan satu-dua Saddil dan Sam Johnson.
Pasukan Penang FC menggandakan usaha untuk menyamakan kedudukan dan hanya berhasil membolosi gawang gol Sabah FC pada minit ke-85 hasil tandukan Casagrande yang gagal diselamatkan dengan sempurna oleh Robson Rendy Rining.
Perlawanan sepenuh masa berkesudahan dengan Penang FC 1 dan Sabah FC 1.
Dengan keputusan seri dalam perlawanan ini, Sabah FC masih kekal berada di tangga ke-10 Liga Super 2021 dengan 6 mata sementara itu Penang FC di tangga ke-4 dengan 15 mata.
Perlawanan Sabah FC seterusnya ialah menentang pasukan UiTM FC pada 17 April ini di Stadium Likas, Kota Kinabalu.