Sabah FC akan melayani kunjungan pasukan Johor Darul Ta’azim FC (JDT) dalam perlawanan ke-7 Liga Super 2021 di Stadium Likas, Kota Kinabalu pada pukul 8.15 malam ini.
Perlawanan ini dijangka berlaku cukup sengit dengan Sabah FC dahagakan kemenangan sementara JDT pula ingin kekalkan momentum tanpa kalah mereka.
Rekod pertemuan Sabah FC dan JDT
Kedua-dua pasukan ini hanya pernah bertemu sebanyak 2 kali. Pertemuan terakhir menyaksikan Sabah FC (Sabah FA ketika itu) tewas 4-1 di Stadium Sultan Ibrahim dalam perlawanan Liga Super 2020.
Pertemuan pertama kedua-dua pasukan ini menyaksikan Sabah tewas tipis 1-2 dalam saingan Piala FA 2018 selepas perlawanan 90 minit sepenuh masa berakhir dengan kedudukan terikat 1-1 di Likas.
Barisan pemain JDT
JDT dibarisi oleh para pemain yang terkemuka di negara. Kesemua pemain tempat merupakan pemain kebangsaan mahupun bekas pemain kebangsaan.
Pemain import pasukan JDT yang terdiri daripada Gonzalo Cabrera, Leandro Velasquez, Bergson Da Silva, Harris Harun dan Mauricio merupakan antara tonggak yang perlu diberikan perhatian penuh selain Matthew Davies, La’Vere Corbin Ong, Mohamadou Sumareh dan Afiq Fazail.
Ketiadaan Safawi Rasid yang mengalami kecederaan langsung tidak memberikan apa-apa impak terhadap pasukan JDT.
Prestasi Sabah FC dan JDT
Pasukan JDT merupakan pendahulu Liga Super 2021 dengan mengutip 14 mata hasil 4 kemenangan dan 2 seri dalam 6 perlawanan yang telah mereka lalui.
Sabah FC pula ketika ini berada di kedudukan ke-8 Liga Super 2021 dengan 5 mata selepas mengharungi 6 perlawanan. Kemenangan pertama mereka diraih di Likas pada perlawanan ke-5 bertemu pasukan Terengganu FC.
Pasukan JDT sudahpun menyumbat 14 gol dan bolos sebanyak 3 gol sementara Sabah FC pula hanya berjaya menghasilkan 4 gol dan bolos 7.
Ketajaman serangan pasukan JDT ini merupakan suatu yang harus dipandang serius oleh pasukan Sabah FC jikalau ingin mendapatkan keputusan yang baik.
Tiada laluan mudah buat JDT di Likas
Meskipun berada di kelompok bawah Liga Super 2021, Sabah FC seharusnya tidak boleh dipandang rendah. Mereka sebelum ini telah menghancurkan rekod tanpa kalah Terengganu FC di Likas pada perlawanan ke-5 liga.
Likas pasti akan menjadi laluan yang sukar buat mana-mana pasukan yang bertandang menentang Sabah FC. Nantikan apakah yang bakal ditempuh JDT di Likas malam ini!