Analisis Taktikal

Terbongkar! 3 kunci untuk tumbangkan KL City FC

Sabah FC akan bertandang ke Stadium Bola Sepak KL di Cheras untuk berhadapan dengan pasukan KL City FC (KLCFC) dalam perlawanan ke-6 Liga Super 2021 pada 3 April depan.

Pasukan bimbingan Bojan Hodak ini mempunyai kekuatan yang tersendiri. Mereka ketika ini menduduki tangga ke-6 Liga Super 2021 hasil 2 kemenangan, 1 seri dan 2 kekalahan. Kemenangan besar 3-0 ke atas Perak FC merupakan kemenangan paling besar KLCFC setakat ini.

Kegagalan Perak FC untuk mengenalpasti kekuatan dan kelemahan yang dimiliki KLCFC terbukti membawa padah buat mereka selepas kecundang 3 gol tanpa balas di tangan pasukan The City Boys itu.

Soalnya, mahukah Sabah FC mendapat nasib yang sama dengan Perak FC itu? Pasti tidak. Jadi untuk tidak ingin dipukul kalah, Sabah FC perlu ketahui 3 kunci penting yang mampu melonglaikan pasukan KLCFC ini.

1. Pertahanan WAJIB mengikat Dominique Da Sylva

3 Gol dalam 5 perlawanan yang dihasilkan oleh penyerang dari Mauritania ini cukup untuk membuktikan bahawa beliau harus diawasi dan dikawal seketat yang mungkin. Kini separuh daripada jumlah gol keseluruhan pasukan KLCFC disumbangkan oleh beliau.

Tiada cara yang lebih ampuh untuk mengelakkan Dominique menjaringkan gol pada perlawanan 3 April nanti selain mengunci setiap pergerakan beliau. Risto Mitrevski yang mempunyai fizikal baik dilihat perlu merantai setiap gerak geri penyerang berbisa ini.

Selain Risto, pemain pertahanan yang lain seperti Rawilson Batuil juga harus sentiasa peka terhadap ancaman daripada Dominique ini dan wajib kekalkan komunikasi mutual bersama Risto. Perlawanan ini dijangkakan berlangsung dengan banyak perlanggaran fizikal.

2. Pemain Defensive Midfielder HARUS kekang pergerakan Romel Morales dan Paulo Josue

Seperti yang dilakukan oleh para pemain tengah Sabah FC ketika menewaskan Terengganu FC 2-1 di Likas pada perlawanan ke-5, demikian jugalah harus mereka lakukan ketika aksi menentang KLCFC kelak. Dengan itu, Park Taesu harus sekali lagi perlu ditugaskan untuk berada sedikit ke atas, iaitu beraksi sebagai Defensive Midfielder, untuk mengawal ketat Romel Morales.

Sementara itu, Levy Madinda dan Syukri Baharun harus pastikan Paulo Josue tidak bebas bergerak untuk memberikan umpanan-umpanan baik kepada Dominique Da Sylva. Harus diingat bahawa gandingan Romel Morales, Paulo Josue dan Dominique telah merobek gawang Sabah FC sebanyak 4 kali dalam perlawanan pra musim 2021 ini.

3. Arahkan serangan ke arah Nik Shahrul Azim dan Irfan Zakaria

Berdasarkan analisis kasar, gandingan pertahanan Daniel Ting dan Giancarlo Gallifuoco agak sukar ditembusi di bahagian pertahanan kiri pasukan KLCFC. Akan tetapi, pertahanan di sebelah kanan yang dikawal oleh Nik Shahrul Azim dan Irfan Zakaria mempunyai sedikit kerapuhan.

Oleh itu, serangan haruslah ditumpukan ke bahagian ini atau kemana-mana bahagian yang mana 2 pemain ini diletakkan agar bola dapa diloloskan ke dalam kotak penalti mereka dan membuka peluang buat penyerang Sabah FC.

Semoga risikan amatur ini bermanfaat buat pasukan Sabah FC!