Laporan, Ulasan & Analisis

Sabah FC musnahkan rekod tanpa kalah Terengganu FC di Likas, 10 pemerhatian menarik perlawanan

Sabah FC membuktikan bahawa mereka merupakan antara pencabar hebat dalam saingan Liga Super 2021 apabila berjaya memusnahkan rekod tanpa kalah Terengganu FC dengan kemenangan 2-1 di Likas semalam.

Kronologi Perlawanan

Sabah FC telah menurunkan barisan kesebelasan utama yang terdiri daripada Robson Rendy Rining (PG), Rawilson Batuil (KP), Risto Mitrevski, Dendy Lowa, Alto Linus, Park Taesu, Syukri Baharun, Levy Madinda, Maxsius Musa, Saddil Ramdani dan Sam Johnson.

Barisan kesebelasan utama pasukan Sabah FC dalam pertemuan menentang Terengganu FC semalam.

Dengan barisan kesebelasan utama ini, pemain berstatus bintang dari Selangor, Amri Yahyah terpaksa direhatkan. Park Taesu pula diberikan tugas untuk menggalas tugas sebagai Defensive Midfielder dengan kerjasama Syukri Baharun dan Levy Madinda di bahagian tengah.

Pasukan Terengganu FC memulai perlawanan dengan agak agresif apabila berjaya menghasilkan 2 percubaan awal menerusi Makan Konate dan Faisal Halim.

Pasukan Sabah FC pula bertindak balas dengan percubaan Dendy Lowa yang berjaya ditepis oleh penjaga gol Terengganu FC pada minit ke-35. Sabah FC sepatutnya dihadiahkan sepakan penalti beberapa minit sebelum itu apabila Maxsius Musa ditarik oleh pemain pertahanan Terengganu FC di dalam kotak penalti.

Sabah FC akhirnya berjaya mendapatkan gol yang selayaknya mereka perolehi selepas Levy Madinda menyempurnakan sepakan penalti pada minit ke-38 yang terhasil selepas tandukan Park Taesu terkena tangan pemain pertahanan pelawat.

Sabah FC tidak menunggu lama untuk menggandakan kelebihan bermain di laman sendiri apabila menyumbat gol ke-2 menerusi pemain import dari Liberia, Sam Johnson pada minit ke-41 menerusi satu penyudah tenang dari jarak dekat hasil cut back daripada Levy Madinda melalui satu gerakan serangan terancang.

Levy Madinda meraikan jaringan yang terhasil menerusi sepakan penalti mudah pada minit ke-38.

Bersambung babak ke-2, pasukan Sabah FC mempunyai 3 peluang terbaik untuk menambah jaringan namun percubaan melalui Saddil Ramdani dan Park Taesu gagal diterjemahkan kepada gol.

Pasukan Terengganu FC yang tertekan menghasilkan jaringan akhirnya berjaya mendapatkan gol sagu hati menerusi Jordan Mintah yang bijak melakukan penyudah setelah mendapat lorongan tepat daripada Faisal Halim.

Perlawanan yang sedikit dicorakkan oleh insiden luar dan dalam padang itu akhirnya tamat dengan Sabah FC menang 2-1 sekali gus mendapatkan kemenangan pertama selepas 5 perlawanan yang dilalui.

Ikuti 10 pemerhatian menarik sepanjang perlawanan Sabah FC menentang Terengganu FC

1. Park Taesu tunjukkan impak baik bermain di posisi DMF

2. Risto Mitrevski tunjukkan kekebalan di benteng pertahanan bersama Rawilson Batuil

3. Levy Madinda hasilkan 1 jaringan dan 1 bantuan jaringan

4. Sam Johnson membuka akaun gol dalam Liga Super 2021 apabila hasilkan gol pertama bersama Sabah FC dalam perlawanan ini

5. Saddil Ramdani banyak kucar kacirkan pertahanan Terengganu FC dan buktikan yang beliau merupakan pemain yang harus diberikan perhatian

6. Maxsius Musa, Levy Madinda dan Rawilson Batuil dikeluarkan di separuh masa ke-2

7. Terengganu FC mempunyai 1 gol yang dibatalkan selepas Jordan Mintah dikatakan mengasari Robson Rendy dalam proses melonjak tinggi untuk membuat tandukan ke arah gawang Sabah FC di separuh masa ke-2.

8. Kelincahan ayam tambatan tempatan Terengganu FC, Faisal Halim dan Faiz Nasir antara faktor penting yang menguatkan pasukan Sang Penyu pada musim ini

9. Terengganu FC turun tanpa kelibat penyerang dari Brazil, David Da Silva. Ini turut memberikan kesan kepada kualiti serangan mereka ketika bertemu Sabah FC.

10. Terdapat insiden luar padang yang melibatkan barisan kejurulatihan Terengganu FC dan layangan kad kuning pengadil perlawanan kepada salah seorang dari mereka.