Pasukan Sabah FC bakal bertemu pasukan Melaka United FC di Stadium Hang Jebat pada pukul 9 malam ini. Perlawanan ini merupakan perlawanan pertama buat kedua-dua pasukan dalam saingan Liga Super 2021.
Mari ketahui beberapa fakta menarik menjelang pertemuan Sang Kancil dan Sang Badak ini.
Rekod Pertemuan
Pertemuan terakhir kedua-dua pasukan adalah ketika perlawanan Liga Super 2020 di Likas yang menyaksikan Sabah FC (Sabah FA ketika itu) menang 3-2 hasil 2 gol Dennis Buschening dan 1 gol Rodoljub Paunovic.
Dalam saingan Liga Premier 2016 menyaksikan pasukan Melaka United mempunyai reputasi baik dengan menewaskan Sabah 3-0 di Hang Jebat dan seri 2-2 di Likas.
Barisan Pemain
Pasukan tuan rumah, Melaka United FC dilihat mempunyai kelebihan di atas kertas apabila memiliki barisan pemain import lengkap sementara pasukan Sabah FC pula hanya dibarisi oleh seorang tonggak asing iaitu Park Taesu.
Pasukan Melaka United bakal menyenaraikan barisan 5 pemain import yang terdiri daripada Manuel Ott, Sony Norde, Stefan Nikolic, Jang Suk-Won dan Alex Goncalves.
Taktikal
Pasukan Melaka United FC dibarisi oleh 2 orang penyerang import tinggi lampai iaitu Alex Goncalves dan Stefen Nikolic. Sudah pasti bola akan ditujukan ke arah mereka untuk sama ada diterjemahkan terus dalam bentuk jaringan mahupun akan menjadi target man untuk memberikan ruang buat rakan lain melakukan percubaan.
Mengetahui kelebihan fizikal di bahagian hadapan, pasukan Melaka United FC dijangka akan lebih kerap mengarahkan bola secara terus ke dalam kotak penalti dalam bentuk hantaran lintang dan lambungan lolos.
Gandingan Sony Norde dan pemain tengah dari Filipina, Manuel Ott sudah pasti harus diawasi oleh pasukan Sabah FC kerana kualiti hantaran daripada pemain ini berada pada paras kualiti tersendiri.
Di bahagian pertahan, Melaka United FC memiliki 3 tonggak utama yang terdiri daripada Khairul Helmi Johari, Razman Roslan dan Jang Suk-Won. Ini merupakan tembok yang harus ditembusi sebelum berhadapan dengan Khairul Fahmi Che Mat di posisi penjaga gol.
Taktikal Sabah FC
Sabah FC bakal mempunyai perancangan dan taktikal tersendiri dalam menyerap kekuatan yang dimiliki Melaka United FC dalam perlawanan ini.
Taktikal Sabah FC tidak akan dibincangkan secara terbuka di sini. Apapun perancangan yang dibuat oleh Kurniawan Dwi Yulianto malam ini diharap akan dapat memberikan keputusan dan impak yang positif.
Adakah Sang Badak akan termakan helah Sang Kancil? Nyatakan prediksi anda untuk perlawanan ini.