Perlawanan Pra-Musim 2021 Sabah FC: Bukan keputusan yang penting, tapi..

Sabah FC telahpun menjalani 2 perlawanan persahabatan di Semenanjung Malaysia iaitu menentang pasukan Sarawak United FC pada 21 Feb dan Kuala Lumpur United FC semalam (23 Feb 2021).

Dalam perlawanan perlawanan persahabatan tersebut, Sabah FC hanya sekadar seri 1-1 dengan pasukan Sarawak United FC dan tewas 4-1 di tangan pasukan Kuala Lumpur United FC.

Hasil keputusan yang ‘kurang memberansangkan’ itu, maka terdapatlah banyak suara-suara sumbang yang mengatakan hal negatif atau tidak suportif kepada pasukan Sabah FC.

Ternyata suara seperti itu hanyalah datang daripada mulut orang yang baru sahaja mengenal bola sepak ataupun mereka yang hanya melihat bola sepak sebagai satu hiburan dan bukannya kerana minat serta cinta mendalam kepada pasukan mereka. Tapi tidak mengapa. Perkara seumpama ini adalah normal yakni tidak kiralah bola sepak di peringkat domestik mahupun di peringkat antarabangsa.

Untuk perlawanan persahabatan yang dilalui Sabah FC, keputusan bukanlah yang terpenting. Akan tetapi 3 hal ini jauh lebih bermanfaat.

1. Untuk mengenalpasti bahagian yang lemah dan perlukan penambahbaikan

Dalam suatu perlawanan pra-musim atau persahabatan, ia penting untuk mengetahui sejauh mana tahap persediaan setiap pemain untuk menghadapi saingan sebenar. Jika didapati terdapat bahagian yang perlu diperbaiki segera maka barisan kejurulatihan bakal memberikan penekanan khusus untuk bahagian tersebut.

Sebagai contoh, jika melalui perlawanan persahabatan barisan pelatih melihat bahawa terdapat kelemahan dari segi hantaran lintang dan hantaran lolos, maka latihan yang lebih akan terarah kepada bahagian tersebut.

Mengenalpasti kelemahan di sesuatu bahagian ini tidak dapat dilihat dengan mudah ketika latihan. Perlawanan menentang pasukan yang tidak setaraf juga bakal tidak memperlihatkan kelemahan. Akan tetapi jika menentang pasukan yang kompetatif, pasti kelemahan akan terlihat dengan lebih mudah.

2. Kenalpasti formasi dan barisan pemain terbaik

Ketika perlawanan persahabatan, jurulatih selalunya akan melakukan eksperimentasi di mana bakal menggunakan formasi yang berbeza-beza dan melihat sejauh mana keberkesanan formasi tersebut. Selain formasi, para pemain juga bakal diletakkan ke posisi yang bukan menjadi posisi utama mereka untuk melihat sejauh mana fleksibiliti mereka.

Dengan mengenal pasti formasi dan pemain terbaik, jurulatih bakal menggunakannya dalam perlawanan sebenar kelak. Contohnya, dalam 2 perlawanan yang lepas, Kurniawan Dwi Yulianto telah menggunakan formasi 3-5-2 yang menyaksikan Sabah FC menggunakan Park Taesu, Rawilson Batuil dan Dendy Lowa sebagai pertahanan tengah.

Ia kelihatan sangat berkesan ketika menentang pasukan Sarawak United FC yang mana Sabah FC bertahan dengan cukup baik, mempunyai barisan tengah yang kompak dan mempunyai serangan bertali arus dan merbahaya kepada kubu SUFC.

Namun di perlawanan yang ke-2, penggunaan formasi 3-5-2 tampak kurang berkesan kerana pasukan KL United FC mempunyai rangkaian serangan yang ramai dianggotai pemain import. Jadi disinilah pelatih akan menentukan formasi dan percaturan yang tepat untuk setiap pasukan yang mereka hadapi. Pendek kata, analisis terhadap pasukan yang dihadapi itu harus dilakukan sebelum memilih formasi dan barisan pemain yang sesuai.

3. Kenalpasti corak permainan dan taktikal terbaik

Corak permainan dan taktikal lebih kepada pola serangan, bertahan dan bagaimana bola tersebut dimainkan. Perlawanan uji cuba seperti ini penting untuk pelatih mengetahui corak permainan dan taktikal yang sesuai untuk pasukan berdasarkan barisan pemain yang dimiliki.

Ball possession game atau Tiki Taka, permainan hantaran pendek, permainan hantaran jauh, quick counter attack, Park the bus dan high presss merupakan antara jenis corak permainan dan taktikal dalam bola sepak.

Untuk perlawanan menentang pasukan Sarawak United FC, Sabah FC banyak menerapkan high press dan ball possession game yang telah membolehkan mereka mendapat penguasaan bola yang lebih baik.

Menentang pasukan Kuala Lumpur United FC pula, KDY telah mencuba banyak strategi untuk menyerap tekanan yang diberikan. Pendek kata, perlawanan persahabatan ini merupakan medan untuk menguji sebanyak mana taktikal permainan yang sesuai dengan pasukan.

Kesimpulan

2 Perlawanan persahabatan yang dilalui Sabah FC cukup bermakna dalam menyediakan pasukan untuk menghadapi saingan Liga Super 2021 yang bakal dimulai pada 6 Mac depan.

Harus diketahui bahawa pasukan Sabah FC dalam 2 perlawanan ini tidak dianggotai oleh 4 pemain import sementara pasukan lawan pula dilengkapi oleh kesemua pemain asing mereka. Ini penting untuk para pelatih mengetahui keupayaan terkini para pemain lokal Sabah FC.

4 Daripada 5 gol yang dilepaskan Sabah FC dalam 2 perlawanan persahabatan tersebut adalah melalui situasi bola mati yang mana 3 daripadanya ialah sepakan penalti dan 1 darinya ialah melalui sepakan sudut.

Ini merupakan suatu yang positif dari segi kualiti pertahanan Sabah FC untuk menidakkan gerakan open play namun harus lebih berhati-hati untuk tidak melakukan kekasaran ketika bertahan.