Kenali Pemain Anda

7 Perkara berkenaan Saddil Ramdani yang tidak diketahui ramai

Saddil Ramdani kini menjadi sebutan ramai untuk mengisi slot kuota pemain import Asia Tenggara buat Sabah FC. Bagaimana kesudahan spekulasi ini? Apa yang pasti Saddil Ramdani kini dalam proses akhir perpindahan dari kelab asal beliau di Indonesia, Bhayangkara FC ke Sabah FC [menurut sumber].

Pasti sudah ramai mengetahui kualiti yang dimiliki oleh pemain kebangsaan Indonesia ini, jadi hal tersebut tidaklah dicoretkan di sini. Skil individu, kelajuan, kelincahan dan kekuatan sepakan kaki kiri ala Safawi Rasid milik Saddil merupakan antara faktor yang menyebabkan Kurniawan Dwi Yulianto (KDY) menginginkan pemain ini sejak musim 2020.

Apakah musim 2021 ini KDY bakal bergabung dengan Saddil Ramdani dalam mengemudi cabaran Sabah FC di ajang kompetisi kasta tertinggi Liga Malaysia (Liga Super Malaysia)? Auranya ternyata kuat sekali karena penulisnya artikel ini langsung teraplikasi bahasa Indonesianya.

Ramai yang mengetahui perihal luaran Saddil Ramdani namun ada terdapat sisi pemain berusia 22 tahun ini yang belum diketahui oleh kebanyakan penyokong bola sepak di Malaysia amnya dan Sabah khususnya yakni proses bagaimana Saddil pergi dari zero to hero.

TRT akan bawakan kepada anda 7 perkara mengenai Saddil Ramdani yang pasti belum anda ketahui sebelum ini. Mari ikuti bersama.

1. Lahir dalam keluarga yang cukup sederhana dan dibesarkan hanya oleh ibunya sejak kecil di sebuah kota yang sepi

Saddil Ramdani dilahirkan dalam keluarga yang serba sederhana di daerah Muna, Sulawesi Tenggara pada 2 Januari 1999. Tempat kelahiran Saddil ini betul-betul berada pada Selat Buton. Pasti Saddil Ramdani boleh bertutur dalam bahasa Buton kan? Amat menarik kerana Sabah juga turut didiami oleh masyarakat dari suku Buton.

Saddil sejak kecil lagi hanya dibesarkan oleh ibunya memandangkan ibu bapanya telah bercerai. Anak lelaki dari 4 orang adik beradik ini telah meminati bola sepak sejak kecil lagi iaitu di peringkat sekolah rendah dan berazam membantu menaik taraf kehidupan keluarga beliau dengan karier dalam bola sepak sebagai batu loncatan.

2. Pernah meminta ibu untuk belikan bola p berharga 15 ribu rupiah namun ditolak – Saddil kecewa

Minat yang mendalam Saddil Ramdani terhadap bola sepak begitu terserlah bilamana ketika berumur 10 tahun, beliau pernah merasa kecewa kerana tidak dibelikan bola yang berharga 15 ribu rupiah oleh ibunya.

Dengan kehidupan yang serba mencabar di Raha (kota utama di daerah Muna), ibu Saddil mengatakan bahawa jumlah wang sebanyak itu harus lebih baik digunakan untuk membeli beras. Mulanya ibu Saddil menyifatkan karier di atas padang itu tidak menjanjikan wang untuk menyara hidup. Perkara tersebut amat membuatkan Saddil sedih.

3. Pernah menjual Jambu Air tanpa pengetahuan ibu hanya untuk membeli kasut bola

Menurut sumber, ketika masih di sekolah rendah, Saddil Ramdani sempat berikhtiar secara sendiri bagi mendapatkan wang untuk membeli sepasang kasut bola.

Antara yang dilakukan Saddil ialah dengan memetik Jambu Air bersama neneknya dan menjualnya tanpa pengetahuan ibunya. Comel bukan? Pasti Saddil kini sudah boleh membahagiakan ibunya kan?

4. Sering berpindah sekolah untuk dapat menonjolkan bakat dalam bola sepak sejak sekolah dasar di sekitar Sulawesi Tenggara

Saddil Ramdani pada awalnya bersekolah di Napabalano dan seterusnya melanjutkan persekolahan di kota Kendari (ibu negeri Sulawesi Tenggara). Di kota Kendari, Saddil Ramdani banyak mengikuti pertandingan bola sepak misalnya ketika menjuarai Bupati Cup Konawe Selatan pada tahun 2012 bersama pasukan SSB Sinar Abadi dan johan pertandingan Porda Kota Kendari pada tahun yang sama.

Jumlah wang tunai kira-kira 5 juta rupiah hasil daripada kemenangan tersebut telah Saddil berikan langsung kepada ibunya. Ibu Saddil sempat menangis kerana melihat perjuangan anaknya itu untuk mencari wang.

Dikatakan juga menurut sumber bahawa Saddil sanggup meninggalkan kelas di sekolah untuk menjalani latihan bola sepak. Inilah titik tolak kepercayaan ibu Saddil terhadapnya dan mula menyokong usaha murni Saddil untuk menjadi pemain bola sepak profesional.

Saddil Ramdani turut mengharumkan nama sekolah menengah beliau, SMA 4 Kendari, apabila menjuarai LPI Peringkat SMA Se-Kota Kendari pada tahun 2015 di Stadium Lakidende. Itu juga merupakan gelaran pertama sekolah tersebut sejak adanya kejohanan bola sepak seperti itu.

5. Beranikan diri untuk pindah ke Malang, Jawa Timur demi minat kepada bola sepak

Saddil Ramdani mengorak langkah berani untuk berpidah dari SMA 4 Kendari ke SMA Negeri 7 Malang, Jawa Timur kerana telah mendapat biasiswa daripada Aji Santoso International Football Academy (ASIFA) untuk meneruskan persekolahan dan latihan bola sepak moden.

Untuk keberlangsungan minat kepada bola sepak, Saddil Ramdani telah menyahut cabaran tersebut walaupun terpaksa berjauhan daripada keluarga di Sulawesi Tenggara selama lebih kurang 2 tahun.

Hasil daripada latihan dan pendidikan bola sepak moden di ASIFA serta kombinasi bakat semulajadi beliau telah membolehkan Saddil Ramdani direkrut oleh pasukan Liga 1 Indonesia, Persela Lamongan dan beraksi buat pasukan dengan nama timangan Laskar Joko Tingkir dari tahun 2016 hingga 2018.

Selain beraksi buat pasukan dari negeri yang sinonim dengan Pecel Lele itu, Saddil Ramdani turut mewakili pasukan B-19 dan B-22 kebangsaan Indonesia.

Tahun 2019 nampaknya merupakan tahun pertama dalam karier bola sepak Saddil Ramdani di tanah asing iaitu ketika menyarung jersi Pahang dalam saingan Liga Super.

Setelah berakhirnya kontrak bersama Pahang, Saddil Ramdani kembali ke tanah air dan menandatangani kontrak bersama Bhayangkara FC. Apapun disebabkan pandemik COVID-19, Liga 1 Indonesia masih belum pasti akan diteruskan dan ini lagi menguatkan lagi keinginan Saddil untuk beraksi di luar Indonesia.

6. Turut meminati sukan Badminton namun memilih bola sepak sebagai karier

Menurut sumber, minat Saddil Ramdani terhadap sukan Badminton juga boleh tahan tinggi namun beliau memilih untuk tetap dengan motif asal karier iaitu untuk menjadi pemain bola sepak profesional, yang kini beliau sedang jalani.

Jika Saddil Ramdani meneruskan minat dalam sukan Badminton, mungkin kini beliau sudahpun berada dalam skuad kebangsaan Indonesia bersama rakan senegeri (Sulawesi Tenggara), Apriyani Rahayu yang kini berpasangan dengan bintang Badminton Manado, Sulawesi Utara, Greysia Polii.

7. Saddil Ramdani fokus ke arah memajukan diri dan mengembangkan karier untuk kebahagian keluarga beliau sebelum berfikir untuk pacaran dan bernikah

Menurut satu wawancara amatir di laman sosial bersama rakan sepasukan di Bhayangkara FC iaitu Adam Alis Setyono, Saddil Ramdani menegaskan bahawa fokus beliau bukanlah ke arah berpacaran ketika ini malah tugas utama beliau adalah untuk memajukan diri dan keluarga terlebih dahulu. Menurut Saddil, anak lelaki harus bertanggungjawab dalam membela nasib orang tua.

Nah pasti ramai yang teruja bahkan tidak percaya setelah mengetahui fakta rare dari Saddil Ramdani ini kan? Jika ingin mengongsikan keterujaan ini, silahkan share artikel ini kepada teman-teman dan rakan penyokong bola sepak Sabah FC yang lain.

Dengan aksi Liga Super 2021 bakal bermula kurang 3 minggu dari sekarang, sama-sama kita harapkan dan doakan agar proses mempersatukan Sabah FC dan Saddil Ramdani ini dapat berjalan dengan lancar.