Rumour Has It

Kenali penyerang prolifik yang bakal sertai Sabah FC ini

Tatkala Sabah FC sudahpun mengikat 2 pemain import sebelum ini iaitu Park Taesu (kuota Asia) dan Dennis Buschening (kuota ASEAN), pasti ramai yang ternanti-nanti sampai tidak tidur lena akan siapakah 3 lagi pemain yang bakal diikat.

Menurut pemerhatian di laman media sosial, majoriti penyokong Sabah FC begitu tidak keruan dek kerana menyaksikan seakan-akan pasukan dengan jolokan The Rhinos itu tidak menunjukkan sebarang inisiatif untuk mendapatkan pemain import.

Jikalau anda, ya anda yang tengah membaca artikel singkat ini berfikiran sedemikian rupa, ketahuilah bahawa anda salah. Kenapa? Ini kerana pasukan Sabah FC sebenarnya telah giat mengenal pasti pemain import terbaik untuk dibawa ke Bumi Di Bawah Bayu ini sejak awal tertubuhnya kelab itu.

Memandangkan masih terdapat 3 lagi slot yang belum terisi untuk pemain import antarabangsa di dalam skuad Sabah FC, barisan pengurusan telah pun mengenal pasti beberapa pemain yang disifatkan mampu menggalas cabaran Sang Badak dalam saingan Liga Super 2021 kelak.

Berikut merupakan beberapa bayangan dan perincian pemain yang bakal dibawa masuk itu:

1. Penyerang dari Jamaica

  • Penyerang prolifik dan berkaliber
  • Sangat dikenali dalam kancah USL Championship – nama dan sumbangan beliau mungkin tidak akan terlupakan kerana kini memegang satu (1) rekod di USL Championship yang masih belum terpadamkan
  • Pernah mewakili sebuah kelab di MLS
  • Mewakili negara beliau dalam perlawanan persahabatan antarabangsa dan CONCACAF Nation League
  • Bukannya Junior Flemmings yang pernah terlintas di fikiran anda sebelum ini

Siapakah pemain tersebut? Mari isi hari-hari anda untuk meneka dan mengenalpasti pemain tersebut.

Masih ada 2 orang lagi kan? Ya, kami akan membawakannya kepada anda esok dan pada hari-hari seterusnya. Orang Sabah bilang tamaha bah kalau semua sekali gus dalam sehari. So one by one.

Kongsikan untuk sebarkan debaran dan detak jantung yang kian terasa ini.