Sport Science - Sains Sukan

5 Perkara ini jelaskan kenapa Sains Sukan penting dalam Bola Sepak

Pasti ramai yang memikirkan bahawa prestasi cemerlang sesebuah pasukan itu hanyalah dipengaruhi oleh keberkesanan taktikal permainan dan kualiti barisan pemain semata-mata.

Hanya segelintir sahaja yang menyedari bahawa faktor aplikasi Sains Sukan juga tidak kurang pentingnya malah memainkan peranan yang sangat besar. Umpama akar yang menyokong pokok berdiri, begitulah peranan penting Sains Sukan dalam bola sepak.

Dalam artikel ini, TRT akan mengupas serba ringkas tentang 5 fungsi dan peranan utama Sains Sukan dalam bola sepak.

1. Tingkatkan Prestasi Ketika Latihan Dan Perlawanan

Penekanan Sains Sukan dalam proses latihan sesebuah pasukan bukanlah menjurus kepada taktikal permainan akan tetapi lebih kepada konsistensi pelaksanaan latihan berpasukan. Kekerapan melakukan latihan akan menjadikan para pemain mudah hadam taktikal daripada jurulatih. Bak kata pepatah “ala bisa tegal biasa”. Orang Sabah bilang, “kalau balik-balik buat, tutup mata pun buli buat sudah lain kali”.

Seperti yang dilakukan oleh pasukan JDT, mereka menjalani latihan hampir setiap hari untuk meningkatkan kecergasan serta memastikan konsistensi aplikasi taktikal daripada jurulatih. Sebab itulah jika melihat mereka bermain, terlalu jelas perbezaan kecergasan para pemain mereka dan nampak lebih teratur permainan mereka jika dibandingkan dengan pasukan lain.

2. Kurangkan Risiko Kecederaan Pemain

Mengaplikasikan Sains Sukan dalam bola sepak turut membantu para pemain agar tidak mudah mendapat kecederaan dan seterusnya meningkatkan potensi mereka untuk kerap kali diturunkan.

Ini dapat dilakukan dengan mempelajari dan mempraktikkan cara membuat larian, lompatan, tendangan, postur badan dan sebagainya agar lebih argonomik dan meminimakan pendedahan pemain kepada kecederaan.

3. Diet Seimbang Pemain

Selepas latihan dan perlawanan kompetatif, pasti para pemain akan mengalami keletihan akibat penggunaan tenaga yang banyak. Untuk mendapatkan semula kondisi fizikal seperti sedia kala, makanan yang seimbang dan sesuai haruslah diberikan. Ya, seharusnya diberikan oleh pakar diet pasukan dan bukan membiarkan pemain keluar dengan memakan Nasi Katok, McDonalds dan sebagainya.

Seperti yang dipraktikkan di JDT, mereka mempunyai tukang masak khas untuk para pemain mendapat pemulihan sepenuhnya melalui makanan berkualiti dan seimbang selepas setiap aktiviti fizikal dilakukan termasuklah latihan dan perlawanan. Kesannya amatlah bermanfaat dan anda boleh saksikan sendiri bagaimana ampuhnya kecergasan fizikal dan agiliti para pemain mereka.

4. Data Analisis Untuk Tentukan Pemain Kesebelasan Utama

Untuk tetapkan satu squad depth atau penanda aras kondisi pemain yang layak bermain untuk sesebuah pasukan, data kecergasan melalui kaedah Sains Sukan amatlah penting. Ini vital untuk memastikan pemain-pemain yang diturunkan menepati tahap kecergasan yang diperlukan dalam perlawanan kompetatif liga tertinggi seperti Liga Super di Malaysia misalnya.

Antara contoh mudah lalah dengan melakukan ujian Beep dan Wingate dan hanya pemain yang dapat melepasi tahap yang diperlukan sahaja boleh melayakkan mereka bermain untuk sesebuah pasukan.

5. Improvisasi Fisiologi Dan Psikologi

Faktor fisiologi dan psikologi amat memainkan peranan penting dalam bolasepak. Fisiologi termasuklah proses pemulihan pemain setelah mengalami kekejangan otot, latihan-latihan khas untuk mendapatkan semula kecergasan serta persediaan fizikal sebelum menghadapi perlawanan.

Bagi psikologi pula, ia hanyalah morale boost kepada para pemain sebelum perlawanan. Ini merangkumi kata-kata semangat agar tidak gentar dalam menghadapi pasukan yang ditentang. Jika lemah dari segi psikologi, kita sudah kalah sebelum sepak mula dimulakan.