Berita Terkini

CEO Umum Ketua Jurulatih Sabah FC, mari kenali Lucas Kalang Laeng

Setelah nama Lucas Kalang Laeng diumumkan sebagai Ketua Jurulatih skuad Sabah FC bagi menghadapi saingan Liga Super 2021 sebentar tadi, pasti ramai yang tertanya-tanya akan siapakah gerangan peribadi yang dinyatakan itu. Oleh itu, mari ikuti info serba ringkas mengenai beliau.

Butiran Ringkas Peribadi

Lucas Kalang Laeng merupakan anak kelahiran Long Julan Pelutan, Baram, Miri, Sarawak yang berbangsa Kenyah sementara isteri beliau berbangsa Kayan yang berasal dari Long Atip, Baram, Miri, Sarawak. Jurulatih yang berumur 63 tahun ini bagaimanapun menetap di Kuching, Sarawak atas tuntutan kerja.

Pengalaman Dalam Bola Sepak

Lucas Kalang Laeng merupakan bekas pemain bola sepak negeri Sarawak yang pernah menabur bakti buat pasukan dengan gelaran Ngap Sayot itu dari sekitar tahun 1980 ke 1990.

Selepas mengakhiri kerjaya sebagai pemain bola sepak, beliau seterusnya membantu Ketua Jurulatih pasukan negeri Sarawak, Alan Vest di sekitar musim 90an sebagai penolong jurulatih.

Sepanjang membimbing skuad Sarawak, mereka telah berjaya muncul juara Liga Perdana 1997, juara Piala FA 1992, juara Piala Sumbangsih 1993 serta naib juara Piala FA 1996.

Pengalaman yang beliau miliki ini telah digunakan sepenuhnya untuk membangun bola sepak di negeri Sarawak dari peringkat akar umbi.

Kelayakan

Pasti tidak ramai jurulatih di Malaysia ketika ini yang mempunyai latar belakang akademik seperti yang dimiliki oleh Lucas Kalang Laeng. Ini kerana, beliau memiliki Ijazah Sarjana Muda Sains Sukan daripada Universiti Malaya.

Kombinasi Sains Sukan dan taktikal dalam bola sepak sudah pasti akan memberikan suntikan tambahan ke atas ketajaman dan keampuhan skuad Sabah dalam saingan Liga Super 2021 nanti.

Selain mempunyai pengalaman sebagai pemain bolasepak, jurulatih dan mencungkil bakat muda dalam bola sepak, Lucas Kalang Laeng juga turut mempunyai pengalaman dalam bidang pengurusan memandangkan beliau pernah menerajui kepimpinan Majlis Sukan Negeri Sarawak (MSNS) selaku pengarah pada tahun 2014.

Antara sebab utama pemilihan Lucas Kalang Laeng sebagai Ketua Jurulatih pasukan Sabah untuk musim 2021 adalah kerana beliau memiliki lesen Diploma Kejurulatihan Profesional AFC (Diploma Pro AFC) yang merupakan tahap tertinggi bagi mana-mana akreditasi kejurulatihan yang dikeluarkan oleh Konfiderasi Bola Sepak Asia (AFC).

Lucas Kalang Laeng mempunyai talian rapat dengan pasukan Perth Glory di Australia. Adakah berkemungkinan terdapat pemain dari negara itu dibawa masuk ke dalam pasukan Sabah nanti? Sama-sama kita saksikan.