Sabah akan turun di Stadium Sultan Ibrahim malam ini bagi melaksanakan misi untuk membenam ego Johor Darul Takzim (JDT) dalam perlawanan ke-10 CIMB Liga Super 2020 yang mungkin ramai menjangkakan kemenangan mudah buat The Southern Tiger itu.
Prestasi JDT
Pasukan ini bukanlah pasukan yang asing dalam arena Bolasepak Malaysia dan Asia Tenggara. Pencapaian pasukan dari selatan Semenanjung Malaysia ini teramatlah baik dalam beberapa tahun kebelakangan ini.
Pasukan ini merupakan juara bertahan Liga Super yang sudah merekodkan 7 kemenangan dan 2 seri dalam 9 perlawanan yang dilalui mereka. Ini telah meletakkan mereka di tangga yang teratas dengan 23 mata, 6 mata mendahului pasukan di tangga ke-2, Perak.
Kemenangan menentang Sabah dalam perlawanan kali ini bakal mengesahkan kejuaraan Liga Super kali yang ke-7 buat mereka.
Pasukan ini dibarisi oleh semua pemain kebangsaan dan bintang import yang berkualiti. Pemain seperti Safawi Rasid, Diogo Santo, Leandro Velasquez, Gonzalo Cabrera, Natxo Insa, Corbin Ong dan ramai lagi sudah pasti bakal menguji kekebalan benteng Sabah.
Kemenangan 7-0 ke atas Perak dan 6-1 ke atas Selangor sudah pasti menggerikan bagi semua pasukan dalam Liga Super 2020 namun PJ City FC telah menunjukkan bahawa bola itu bulat, apa-apa boleh terjadi apabila mereka berjaya mengikat JDT 2-2 dalam perlawanan terakhir mereka.
Prestasi Sabah
Sabah baru sahaja berjaya melarikan diri dari zon penyingkiran selepas menumbangkan Melaka United 3-2 di Likas dalam perlawanan ke-8 minggu lepas.
Kemenangan tersebut dikecapi hasil usaha dan semangat juang yang tinggi daripada para pemain Sabah yang menghasilkan gol kemenangan walaupun ketinggalan sebanyak 2 kali.
3 mata daripada 2 perlawanan terakhir Sabah kali ini sudah cukup untuk mengekalkan kedudukan mereka dalam saingan Liga Super musim hadapan.
Sabah ketika ini berjaya menghasilkan 2 kemenangan, 3 seri dan 4 kekalahan daripada 9 perlawanan yang dilalui mereka.
Kembalinya Dennis Buschening dalam barisan kesebelasan utama Sabah telah mencetuskan kebangkitan Sabah apabila meledak 2 gol ketika Sabah menumpaskan Melaka United 3-2 di Likas dalam perlawanan ke-9.
Rekod Petemuan JDT vs Sabah
Kedua-dua pasukan ini baru bertemu sebanyak sekali iaitu ketika siangan Pusingan Ke-2 Piala FA 2018 di Likas yang mana menyaksikan Sabah tumpas 1-2 walaupun mendahului 1-0 menerusi jaringan Lee Gil Hoon.
Perlawanan 90 minit berkesudahan dengan Sabah dan JDT terikat 1-1 namun jaringan Gonzalo Cabrera pada masa tambahan 30 minit telah menghantar JDT ke peringkat seterusnya.