Laporan, Ulasan & Analisis

Nda apa, ada 5 game lagi bah!

Selepas CIMB Liga Super 2020 disambung semula, nampaknya prestasi pasukan Sabah kendalian Kurniawan Dwi Yulianto masih belum mendapat rentak sebenar selepas tumpas 1-2 kepada Selangor FC di Stadium Likas malam tadi.

Namun harus diingat bahawa ini bukanlah titik noktah perjuangan mereka musim ini memandangkan masih terdapat 5 perlawanan CIMB Liga Super 2020 yang perlu diharungi.

Barisan Pemain Sabah

Sabah kelihatan begitu ambitious dalam perlawanan ini dengan menurunkan Dennis Buschening sebagai pemain kesebelasan utama dan merehatkan Rodoljub Paunovic sebagai pemain simpanan.

Ini merupakan kali pertama Roki tidak diturunkan dalam senarai barisan utama Sabah sejak kedatangan penyerang dari Serbia itu di Bumi Di Bawah Bayu pada musim 2017.

Pemain kesebelasan utama Sabah yang lainnya dalam perlawanan ini ialah Wan Azraie, Rawilson Batuil, Park Taesu, Zubir Azmi, Randy Baruh, Azzizan Nordin, Alto Linus, Maxsius Musa, Petrus Shitembi dan Kassy Guy Gnabouyou.

Boleh dikatakan bahawa barisan ini merupakan barisan terkuat Sabah jika dan hanya jika Rodoljub Paunovic dimasukkan ke dalam senarai 11 pemain awal Sabah dalam perlawanan semalam.

Separuh Masa Pertama

Separuh masa pertama menyaksikan penguasaan permainan yang lebih baik daripada pemain Selangor didikan B. Sathianathan walaupun peluang yang dimiliki mereka tidaklah sebaik yang dimiliki Sabah.

Sabah mempunyai 2 peluang yang sepatutnya boleh diterjemahkan kepada jaringan di babak pertama namun peluang yang dimiliki oleh Gnabouyou dan Buschening dipersiakan begitu saja.

Sabah menumpukan serangan mereka di sebelah kiri pintu gol Selangor dengan Randy Baruh dan Maxsius Musa kerap kali berjaya melakukan hantaran lintang dari kawasan tersebut namun tiada penyudah yang dibuat terhadap hantaran tersebut.

Selangor yang mempunyai corak permainan lebih tersusun, turut memiliki beberapa peluang baik di babak pertama namun tidak dapat dimanfaatkan oleh Rufino Segovia dan Olusegun.

Kepantasan Wing Back negara, Syami Safari di sebelah kanan sering menguji kekebalan benteng kiri Sabah, Zubir Azmi.

Babak Ke-2

Di Separuh masa ke-2, pasukan Selangor kelihatan bermain lebih compose dan harus diakui bermain lebih baik daripada persembahan yang ditampilkan mereka di separuh masa pertama. Sabah pula bermain lebih bertahan secara 1 unit di babak ini.

Walaupun diasak bertalu-talu di babak ke-2, Sabah sempat mendahului Selangor 1-0 di hadapan menerusi sentuhan pertama Rodoljub Paunovic yang masuk menggantikan Alto Linus pada minit ke-63.

Gandingan paling manang setakat ini bossku. Masih boleh hasilkan jaringan untuk Sabah.

Gol tersebut terhasil selepas lorongan Petrus Shitembi berjaya menemui Dennis Buschening yang melakukan lay out kepada Rodoljub Paunovic di sudut kanan kotak penalti sebelum merembat kencang melepasi penjaga gol Selangor, Khairul Azhan pada minit ke-65.

7 minit berselang akhirnya pasukan pelawat, Selangor berjaya menghasilkan gol penyamaan menerusi Ifedayo Olusegun selepas bola tumbukan Wan Azraie jatuh betul-betul kepada Olusegun yang dengan mudah melakukan tolakan masuk ke dalam gawang Sabah.

Selangor seterusnya mendapatkan gol ke-2 yang juga merupakan gol kemenangan mereka selepas Olusegun melakukan rembatan leret yang walaupun lemah namun sudah cukup untuk menewaskan Wan Azraie yang hanya mampu melihat bola bergolek ke dalam gawang.

Sabah pula sepatutnya boleh menyalahkan diri sendiri kerana hantaran lintang jarak dekat dalam kotak penalti Selangor di minit akhir melalui Ummareng Bacok tidak berjaya dieksekusi dengan sempurna walaupun Roki sudah berada pada kedudukan baik untuk menerima hantaran tersebut.

Tamat perlawanan dengan Sabah tewas buat kali pertama di Likas musim ini yang turut bermakna bahawa Likas tidak lagi merupakan stadium keramat.

Sabah kekal di tangga yang ke-11

Sabah kini kekal berada di tangga ke-11 CIMB Liga Super 2020 dengan 5 mata dan dengan hanya 5 baki perlawanan. Secara matematik, Sabah masih mempunyai peluang untuk kekal di dalam liga musim hadapan.

Untuk kekal beraksi dalam Liga Super 2021, Sabah perlulah memenangi sebanyak perlawanan yang mungkin dalam 5 perlawanan terakhir mereka ini nanti.