Sabah bertemu Terengganu FC malam ini!

Sabah akan berkunjung ke Kuala Terengganu malam ini untuk berdepan skuad Terengganu FC di Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin, Gong Badak, buat kali pertama selepas Liga Malaysia ditangguhkan selama lebih 5 bulan ekoran pandemik COVID-19.

Perlawanan yang sudah pasti amat dinanti-nantikan oleh semua peminat bolasepak di Sabah ini akan disiarkan secara langsung di unifi TV Saluran 701-705, aplikasi unifi playTV dan saluran YouTube rasmi unifi.

Untuk pengetahuan, format Liga Super telahpun diubah dan bakal menyaksikan kesemua pasukan akan hanya menjalani satu pusingan perlawanan sahaja. Ini bermakna, tidak akan ada perlawanan timbal balik.

Pasukan Terengganu FC

Pasukan dari Pantai Timur Semenanjung Malaysia ini kini berada di kedudukan ke-3 CIMB Liga Super 2020 selepas baru mencatatkan kemenangan 2-0 ke atas PJ City FC pada 22 Ogos lepas dalam perlawanan ke-4 mereka di tempat lawan.

Kedudukan terkini CIMB Liga Super 2020.
Kredit: MFL

Kekuatan pasukan dengan jolokan Sang Penyu ini terletak kepada ketajaman serangan mereka yang diketuai oleh pemain import dari Mauritania iaitu Dominique Da Silva. Walaupun beliau kelihatan ‘boroi’ namun penyudah beliau amat efektif. Beliau perlu penjagaan rapi para pemain pertahanan.

Selain itu barisan pemain seperti Lee Andrew Tuck, Faris Ramli, Nasir Basharuddin, Argzim Redzovic dan Sanjar Shaakhmedov juga antara nama yang perlu diberikan perhatian oleh para pemain Sabah.

Dominique kini telah menjaringkan 6 gol daripada 4 perlawanan yang dilalui oleh Terengganu. Jumlah jaringan tersebut sudah pasti bakal menggusarkan mana-mana barisan pertahanan yang berdepan dengan Terengganu, termasuk skuad Sabah sendiri.

Penyerang Terengganu FC dari Mauritania, Dominique Da Silva berbisa dengan 6 gol daripada 4 perlawanan.
Kredit: MFL

Persiapan pasukan Terengganu kendalian Nafuzi Zain ini sudah jelas cukup kemas apabila telah melakukan beberapa perlawanan persahabatan sejurus selepas pasukan bolasepak di Malaysia telah dibenarkan melakukan sesi latihan dalam fasa PKPP. Ini antara kelebihan pasukan TFC dalam perlawanan malam nanti.

Pasukan Sabah

Sehingga setakat ini, Sabah berada di tangga ke-7 CIMB Liga Super 2020 selepas mencatatkan 5 mata hasil 1 kemenangan, 2 seri dan 1 kekalahan dalam 4 perlawanan terakhir mereka.

Menghadapi pasukan TFC di tempat lawan kali ini, Sabah sudah pasti bakal menurunkan barisan terkuat mereka yang dibarisi oleh pemain import seperti Park Taesu, Rodoljub Paunovic, Petrus Shitembi dan Guy Gnabouyou serta ketua pasukan, Rawilson Batuil, Azzizan Nordin, Alto Linus dan sebagainya.

Sharizam Sahar yang sepatutnya berada dalam senarai pemain yang berangkat ke Terengganu tidak dapat berbuat demikian kerana telah mengalami kecederaan serius selepas sesi latihan di Likas sehari sebelumnya. Diharapkan agar beliau pulih dalam kadar yang segera.

Sabah akan turun ke Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin di Gong Badak malam ini dengan hanya berbekalkan semangat dan taktikal daripada Ketua Jurulatih, Kurniawan Dwi Yulianto memandangkan jikalau melihat kepada rekod pertemuan dengan TFC ini tidaklah memihak kepada Sabah dalam 17 tahun kebelakangan ini.

Pastinya sudah ramai yang tidak sabar melihat aksi pemain-pemain ini.

Walaubagaimanapun, perlawanan ini sudah pasti menjadi amat menarik kerana 2 pemain tonggak pasukan Sabah adalah anak jati Terengganu. Pemain tersebut ialah Wan Azraie Wan Teh (Penjaga Gol) dan Zubir Azmi (Bek Kiri).

Menurut Kurniawan Dwi Yulianto dalam akhbar baru-baru ini, beliau yakin akan prestasi pemain yang bakal berhadapan ujian getir menentang TFC malam ini walaupun mereka tidak ada melakukan sebarang perlawanan persahabatan kompetatif selepas diberikan kebenaran untuk meneruskan latihan.

Oleh itu perlawanan ini akan menembungkan 1 pasukan yang telah melakukan banyak perlawanan persahabatan dan pasukan yang belum ada melakukan perlawanan persahabatan kompetatif dalam jangka masa yang lama.