Kesihatan

5 Perkara yang perlu dilakukan oleh pemain bolasepak ketika PKP / MCO ini

Memandangkan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) atau Movement Contol Order (MCO) telah dilanjutkan sehingga 14 April ini, ada baiknya The Rhinos Troops mengongsikan serba sedikit tips untuk mengisi “cuti” buat para pemain bolasepak, khasnya buat para pemain Sabah.

5 Rutin yang boleh dilakukan mereka dan anda semua adalah seperti berikut:

1. Manfaatkan masa bersama keluarga

Para atlit atau pemain bolasepak haruslah memanfaatkan kesempatan ini dengan melakukan aktiviti di rumah bersama keluarga. Dengan melakukan ini maka ikatan silaturahim sesama ahli keluarga akan dapat dieratkan lagi.

Harus diketahui bahawa sokongan keluarga lah yang telah memungkinkan anda berada di mana ada berada ketika ini dan kesempatan ini seharusnya digunakan sepenuhnya untuk membantu ahli keluarga di rumah. Mungkin dengan ini, bebanan mereka boleh diringankan serba sedikit.

Walaubagaimanapun, ini hanya teraplikasi kepada para pemain yang sudah tinggal bersama keluarga sejak awal lagi. Bagi yang berada jauh dengan keluarga, anda dinasihatkan untuk berada di mana anda berada sekarang untuk tidak memungkinkan penyebaran COVID-19.

2. Menetapkan semula matlamat

Para pemain haruslah berfikiran positif bahawa gejala ini akan berakhir dalam kadar yang segera dan harus mengetahui bahawa pertandingan akan bersambung semula dalam masa terdekat. Oleh itu, langkah persediaan harus dilakukan sekarang dan jika tidak, anda akan terlambat.

Pemain mestilah menetapkan matlamat mereka dalam tempoh ini untuk mencapai tahap kecergasan tinggi atau sekurang-kurangnya mengekalkan intensiti kecergasan mereka sebelum liga diberhentikan. Ini bagi memastikan anda tidak bergelut dengan masalah menyesuaikan diri apabila liga kembali diteruskan.

Alto workout PKP hari ke-12…terbaik#steady

Dikirim oleh Cerita Sabah Fa pada Minggu, 29 Maret 2020
Pemain serba boleh Sabah, Alto Linus kelihatan sedang melakukan latihan ringan walaupun berada dalam kondisi PKP/MCO.
Kredit: Cerita Sabah FA

3. Kaji Semula Perlawanan Lepas dan Perbaiki Diri

Jadikan masa “terluang” ini untuk mengkaji semula perlawanan-perlawanan lepas tidak kiralah dengan cara melihat kembali rakaman perlawanan tersebut mahupun membaca analisis-analisis perlawanan yang dilakukan pihak-pihak tertentu. Anda punyai banyak masa, jadi harus melakukan hal ini!

Dengan melakukan perkara ini, para pemain akan menyedari apa yang perlu mereka lakukan untuk menambah baik mutu permainan mereka di samping akan membolehkan mereka beriktihar untuk mengurangkan kesilapan-kesilapan fatal pada perlawanan akan datang.

4. Kawal Diet

Kondisi yang terkurung dan terbatas dari segi pergerakan sudah pasti akan mendedahkan para pemain kepada “godaan” makanan dan jika tidak dikawal dengan baik, ia bakal merosakkan diet para pemain dan memberikan implikasi buruk kepada prestasi fizikal mereka kelak.

Cara terbaik untuk mengelakkan pemain daripada memakan berlebihan ialah dengan menetapkan jadual makan dan cuba disiplinkan diri untuk mengikuti jadual yang telah ditetapkan tadi. Ia adalah hal yang mudah dan tiada alasan untuk tidak mengikutinya.

5. Buat rutin yang mudah

Memandangkan para pemain tidak boleh mengunakan fasiliti seperti gimnasium, padang mahupun trek larian pada masa kini, mereka bolehlah melakukan alternatif lain dengan cara melakukan home workout yang sememangnya terbukti berkesan sebagai cara untuk mengekalkan form mereka.

PKP 13…..WORKOUT #zubirazmi#exmalaysianteam#LBsabahfa#steady

Dikirim oleh Cerita Sabah Fa pada Senin, 30 Maret 2020
Zubi Azmi melakukan latihan ringan yang boleh membantu mengekalkan kecergasan fizikal. Kredit: Cerita Sabah FA

Selain daripada melakukan home workout, para pemain juga boleh melakukan rutin latihan kardio dan kecergasan yang selalunya dilakukan oleh para pemain bolasepak jika terdapat ruang lapang di kawasan rumah. Dinasihatkan agar para pemain merujuk kepada jurulatih fizikal dan kecergasan yang telah dilantik persatuan.

Penulis apapun percaya bahawa semua jurulatih pasukan bolasepak, terutamanya pasukan bolasepak Sabah telah pun memberikan jadual latihan harian yang berpatutan kepada para pemain untuk mereka lakukannya di rumah.

Semoga anda berada dalam keadaan yang baik dalam fasa PKP / MCO ini !