Laporan, Ulasan & Analisis

Lihat kesebelasan utama terbaik Sabah selepas 4 perlawanan

Selepas mengharungi 4 perlawanan, Sabah kini berada di kedudukan ke-5 CIMB Liga Super 2020 dengan 5 mata, menjaringkan 5 gol dan bolos 5 gol menerusi 1 kemenangan, 2 seri dan 1 kalah.

Sabah kini telahpun menjalani 2 perlawanan di tempat lawan dan 2 perlawanan di tempat sendiri. Selepas perlawanan ke-4, Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) telah memutuskan untuk menangguhkan liga sementara waktu berikutan penularan wabak COVID-19.

Kedudukan terkini CIMB Liga Super 2020. Kredit: MFL

Daripada 5 gol yang telah Sabah hasilkan, 1 daripadanya dihasilkan oleh pemain pertahanan (Park Taesu), 2 gol dari penyerang (Guy Gnabouyou dan Rodoljub Paunovic) dan 2 gol lagi daripada pemain tengah (Maxsius Musa dan Azzizan Nordin).

Daripada 4 perlawanan terakhir Sabah, dapatlah penulis senaraikan 11 pemain kesebelasan utama terbaik Sabah setakat ini.

1. Penjaga Gol: Wan Azraie Wan Teh

Penjaga gol yang berasal dari Terengganu ini telah beraksi sebanyak 3 perlawanan dengan menyaksikan beliau sudahpun mendapat 1 clean sheet ketika perlawanan menentang PDRM FA yang berkesudahan seri tanpa jaringan.

Aksi tangkas sering dipamerkan oleh Wan Azraie

Beliau memiliki kecergasan yang lebih baik jika dibandingkan dengan 2 lagi penjaga gol pasukan Sabah yang lain selain mempunyai ketangkasan dan judgement baik sama ada kekal di kawasan D mahupun keluar lebih awal untuk mengeluarkan bola.

Aksi beliau kelihatan memukau pada perlawanan ke-3 Sabah di Stadium Darul Makmur meskipun pada ketika itu mereka tewas 2-0 di tangan Pahang. Dalam perlawanan itu, beliau menyelamatkan sekurang-kurangnya 5 percubaan merbahaya termasuklah 3 situasi 1 lawan 1.

2. Bek Tengah 1: Park Taesu

Beliau merupakan satu-satunya pemain pertahanan ketika ini yang telah mencatatkan nama sebagai penjaring iaitu ketika Sabah menewaskan FELDA United FC 3-1 di Likas pada 7 Mac lepas.

Park Taesu kini sudahpun menghasilkan 1 gol buat Sabah selepas 4 perlawanan.

Beliau sering naik ke atas untuk membantu rakan sepasukan ketika situasi bola mati dan sentiasa mencetuskan keadaan bahaya di dalam kotak penalti lawan.

Kombinasi bersama Rawilson Batuil kelihatan amat baik di dan lebih menarik lagi, beliau mempunyai suara lantang untuk memberikan arahan kepada rakan lain di atas padang.

3. Bek Tengah 2: Rawilson Batuil

Ketua Pasukan dari Kota Marudu ini mempunyai kepimpinan yang baik di samping memiliki komunikasi yang bagus bukan sahaja kepada rakan sepasukan akan tetapi juga kepada barisan kejurulatihan Sabah.

Kekebalan Rawilson Batuil sentiasa menjadi mimpi ngeri buat penyerang pasukan lawan.

Ketenangan dan kekerasan kekangan yang dimiliki beliau merupakan antara faktor mengapa posisi Bek Tengah ini menjadi milik kekal beliau. Kini beliau sudah pun dilayangkan sebanyak 1 kad kuning akibat terjahan keras kepada pemain Perak minggu lepas.

Pemain ini boleh digelar sebagai no non-sense player yang jarang melakukan kesilapan mudah di kawasan kotak penalti Sabah.

4. Bek Kiri: Zubir Azmi

Pemain pertahanan kiri yang lain dilihat perlu bekerja keras untuk mendapatkan tempat Bek Kiri yang kini dimiliki oleh pemain asal Terengganu ini, Zubir Azmi.

Aksi cemerlang Zubir Azmi di bahagian Bek Kiri sentiasa mendapat pujian ramai.

Zubir jelas telah menunjukkan betapa pengalaman beliau bersama skuad kebangsaan, Terengganu dan Pahang itu amat berguna untuk Sabah. Beliau kelihatan begitu selesa berada di Bek Kiri Sabah sehingga sering turun dan naik bagi menjana serangan dan mempertahankan kubu Sabah.

5. Bek Kanan: Randy Baruh

Anak muda dari Sipitang ini diturunkan dalam barisan kesebelasan utama Sabah sejak perlawanan pertama menentang pasukan PDRM FA. Beliau menampakkan kesungguhan dan fokus dalam setiap perlawanan.

Randy Baruh kini menjadi sandaran penting di bahagian Bek Kanan.

Pemain ini sering melakukan larian overlap ke hadapan dan membuat hantaran lintang walaupun sehingga setakat ini masih belum mendapatkan sebarang assist.

Randy bagaimanapun kini sudah memperolehi 2 Kad Kuning dan 1 lagi layangan kad kuning bakal menyaksikan beliau digantung 1 perlawanan secara automatik.

6. Tengah 1: Azzizan Nordin

Pemain ini beraksi mantap di setiap perlawanan. Sentiasa bekerja keras di seluruh sudut padang untuk memenangi perebutan bola walaupun kadang kala terpaksa mengalami kecederaan. Pemain ini sangat bernilai dan jika tidak dijaga dengan rapi, pasukan lain pasti sentiasa mengintai beliau seperti Harimau Selatan yang kelaparan.

Sepakan percuma jarak 30 meter Azzizan terus menerjah jaring Perak dalam perlawanan yang berkesudahan seri 2-2.

Beliau telahpun mencatatkan nama sebagai penjaring gol Sabah walaupun baru 4 perlawanan yang dimainkan. Ia dihasilkan melalui sepakan percuma lencong jarak 30 meter ketika seri 2-2 dengan Perak di Likas pada 14 Mac lepas. Walaupun Azzizan memperagakan aksi mantap musim lepas namun tiada mencetak sebarang jaringan.

7. Tengah 2: Petrus Shitembi

Harus dikatakan bahawa tanpa pemain kebangsaan Namibia ini, Sabah amat sukar untuk mencorakkan serangan dan menguasai bahagian tengah apabila berhadapan dengan pasukan-pasukan elit Liga Super. Ini kerana, Petrus mempunyai kelajuan, hantaran dan kawalan bola yang baik hingga membolehkan Sabah mengatur serangan dengan lebih sistematik.

3 assist daripada Petrus Shitembi dalam perlawanan menentang FELDA United FC telah membolehkan Sabah menang 3-1

Pemain ini belum lagi mencetak sebarang gol namun telahpun berjaya menghasilkan 3 assists dalam 4 perlawanan terakhir Sabah. Kesemua bantuan jaringan tersebut dihasilkan pada perlawanan menentang FELDA United FC yang mana Sabah menang mudah 3-1.

8. Sayap Kiri: Alto Linus

Beliau buat pertama kali diturunkan sebagai pemain kesebelasan utama ketika perlawanan menentang Perak di Likas pada 14 Mac. Namun perlawanan itu sudah cukup untuk menyimpulkan bahawa beliaulah pemain yang paling baik bermain di Sayap Kiri jika dibandingkan dengan Dennis Buschening dan Azwan Fattah.

Alto Linus sentiasa memberikan 200% ketika diberikan kepercayaan bermain di atas padang.

Beliau mempunyai kelajuan, keberanian untuk memasuki kawasan kotak penalti di samping mempunyai kemahiran individu untuk menewaskan pemain pertahanan lawan dalam situasi 1 vs 1.

Alto telah mencipta 1 assist ketika Sabah seri 2-2 dengan Perak dalam perlawanan terakhir mereka. Ia dimulai oleh larian pantas Petrus Shitembi yang seterusnya melakukan lorongan buat Alto yang pada ketika itu membuat larian overlap sebelum melintangkan bola buat Kassy Guy Gnabouyou yang mudah mengegarkan jaring Perak.

9. Sayap Kanan: Maxsius Musa

Maxsius Musa tidak dapat diturunkan sebagai pemain kesebelasan utama Sabah dalam 3 perlawanan awal memandangkan beliau mengalami kecederaan bahu ketika perlawanan pra-musim di Indonesia, awal tahun ini.

Maxsius Musa adalah pemain terbaik di Sayap Kanan setakat ini.

Namun ketika diturunkan sebagai pemain gantian menentang Pahang dan sebagai pemain kesebelasan utama ketika menentang Perak, pemain dari Keningau ini kelihatan jauh lebih baik daripada mana-mana pemain yang beraksi di bahagian Sayap Kanan sebelum ini.

Maxsius Musa memiliki kelajuan, skil individu yang baik di samping mempunyai keupayaan untuk menghidu peluang di dalam kotak penalti lawan. Beliau memiliki 2 peluang terbaik ketika perlawanan menentang Perak namun sedikit kurang bernasib baik kerana bola tidak berhasil menerjah jaring.

10. Penyerang 1: Kassy Guy Gnabouyou

Gnabouyou masuk menggantikan Hector Ramos pada minggu pertama bulan Mac 2020 dan diturunkan buat kali pertama ketika Sabah menjinakkan FELDA United FC 3-1 di Likas pada 7 Mac. Kemasukan beliau ketika itu tidaklah mengecewakan bahkan ramai yang mengatakan beliau jauh lebih baik daripada Pito.

1 Gol berjaya dicetak oleh Kassy Guy Gnabouyou setakat ini selepas menggantikan Hector Ramos sebagai penyerang Sabah.

Pemain yang didatangkan dari Perancis ini sudahpun merekodkan 1 gol untuk Sabah ketika seri 2-2 dengan Perak minggu lepas. Dalam perlawanan tersebut, Guy turut melakukan beberapa percubaan merbahaya ke arah gawang Perak yang jika tidak di-antisipasi dengan baik, sudah pasti menerjah jaring.

Pemain ini memiliki kepantasan, kawalan bola yang kemas dan memiliki kelajuan yang baik sesuai dengan status seorang pemain import dalam kancah Liga Super.

11. Penyerang 2: Rodoljub Paunovic

Pemain ini berada dalam skuad Sabah sejak 2017 lagi dan kini merupakan pemain import yang paling lama berbakti bersama Sabah. Beliau masuk di pertengahan musim 2017 dan berjaya membantu Sabah memperbaiki kedudukan dalam Liga Premier yang pada ketika itu Sabah bergelut dengan penyingkiran ke Piala FAM.

Hasil assist Petrus (kanan), Rodoljub Paunovic kini telah mencatatkan 1 gol selepas 4 perlawanan.

Beliau seterusnya berada dalam skuad 2018 dan 2019 yang mana, dengan kemampuan yang beliau miliki telah membolehkan Sabah menjulang piala Liga Premier 2019 dan melayakkan Sabah beraksi dalam CIMB Liga Super musim ini.

Pemain import dari Serbia ini sudahpun mencetak 1 gol untuk Sabah musim ini menerusi tandukan kilas ketika Sabah menewaskan FELDA United 3-1 di Likas pada 7 Mac lepas. Kombinasi yang beliau miliki dengan pemain sedia ada Sabah juga baik dan amat positif buat pasukan.