Laporan, Ulasan & Analisis

2 Pemain ini harus berada dalam kesebelasan utama Sabah untuk jana permainan mantap

Selepas aksi mantap yang berkesudahan seri 2-2 menentang Perak dalam perlawanan ke-4 CIMB Liga Super 2020 di Likas semalam, didapati bahawa terdapat 2 pemain yang seharusnya berada dalam kesebelasan utama Sabah sejak perlawanan pertama lagi.

Untuk rekod, pasukan Sabah kini menghuni tangga ke-6 liga daripada 12 pasukan selepas mengharungi 4 perlawanan hasil 1 kemenangan, 2 seri dan 1 kalah. Sabah kini menjaringkan 5 gol dan turut dibolosi dengan jumlah jaringan yang sama.

Kedudukan terkini CIMB Liga Super 2020 selepas 4 perlawanan yang diharungi Sabah.
Kredit Gambar: Malaysian Football League

Dalam perlawanan menentang pasukan The Bos Gaurus semalam, pasukan Sabah menghasilkan gol pertama pada minit ke-5 menerusi sepakan percuma lencong daripada Azzizan Nordin.

Sabah menghasilkan gol ke-2 pada minit ke-27 hasil gerakan menarik daripada Petrus Shitembi dan Alto Linus yang membolehkan Guy Gnabouyou mencatatkan gol pertama beliau musim ini bersama Sabah.

2 Pemain yang baru mendapatkan kedudukan kesebelasan utama dalam pasukan Sabah ini beraksi mantap untuk menjana serangan dalam perlawanan menentang Perak semalam. Mari ketahui mereka.

1. Alto Linus

Usia bukan penghalang bagi Alto Linus untuk peragakan aksi bertenaga dalam perlawanan menentang Perak semalam. Larian kencang dan pantas dari sayap kiri banyak mengucar kacirkan pertahanan Perak di bahagian kanan yang dikawal oleh Firdaus Saiyadi dan Amirul Azhan.

Alto Linus pamer kecmerlangan di bahagian Sayap Kiri Sabah dalam perlawanan menentang Perak semalam.

Gol ke-2 Sabah pada minit ke-27 turut terhasil atas sumbangan Alto yang melakukan larian pantas melepasi Firdaus Saiyadi sebelum melintangkan kepada Guy Gnabouyou yang mudah melakukan penyudah tepat.

Alto Linus hanya berada di bangku simpanan dalam 3 aksi pasukan Sabah iaitu ketika menentang PDRM FA, FELDA United FC dan Pahang. Dalam perlawanan tersebut, Azwan Fattah diturunkan namun tidak berjaya melakukan impak yang diinginkan.

Dengan adanya Alto dalam perlawanan menentang Perak semalam telah menyebabkan Sabah kelihatan lebih garang dan bahaya ketika menyerang. Serangan di sebelah kiri turut kelihat sangat berbeza daripada sebelum ini.

2. Maxsius Musa

Difahami bahawa Maxsius Musa telah mengalami kecederaan bahu ketika aksi pra-musim di Indonesia awal tahun ini. Namun ketiadaan beliau telah diisi oleh Ummareng Bacok dalam 3 perlawanan awal CIMB Liga Super 2020.

Maxsius Musa hanya diletakkan di bahagian simpanan Sabah dalam 3 perlawanan terakhir.

Impak kemasukan Ummareng Bacok tidaklah banyak membantu Sabah dalam 3 perlawanan awal Sabah. Namun dalam aksi menentang Perak semalam, beberapa hantaran lintang Maxsius telah berjaya mengganggu gugat pertahanan Perak di sebelah kanan.

Kombinasi antara Maxsius, Petrus dan Azzizan dalam proses untuk menghasilkan hantaran lintang kelihatan amat baik dan jika ia digilap secara terus, Sabah akan mampu menghadapi sesiapa pun dalam CIMB Liga Super 2020 ini.