Laporan, Ulasan & Analisis

Lihat “rating” pemain Sabah dalam pelawanan menentang Pahang semalam

Rentak kemenangan Sabah gagal diteruskan apabila tewas 2-0 kepada Pahang di Stadium Darul Makmur, Kuantan dalam perlawanan ke-3 CIMB Liga Super 2020 semalam.

Gol-gol pasukan Pahang dalam perlawanan itu dihasilkan pada minit ke-21 menerusi Ivan Carlos dan sepakan penalti Herold Goulon pada minit ke-50.

Secara keseluruhan, pasukan Sabah tidaklah bermain pada tahap yang sebenar namun sedikit ketumpulan serangan Pahang juga membantu Sabah untuk tidak dibolosi lebih banyak.

Berikut merupakan “rating” bagi pemain-pemain Sabah yang diturunkan semalam.

Wan Azraie Wan Teh – 9/10.

Wan Azraie telah melakukan sekurang-kurangnya 5 penyelamatan “point blank” daripada percubaan penyerang Pahang yang mengecewakan lebih kurang 4000 penyokong skuad Tok Gajah yang turun menyaksikan perlawanan tersebut.

Sentuhan lambat beliau pada minit ke-48 apapun menyaksikan Ivan Carlos dijatuhkan untuk memberikan sepakan penalti kepada Pahang yang disempurnakan oleh Herold Goulon pada minit ke-50

Park Taesu – 9/10

Pergerakan Ivan Carlos banyak dipatahkan oleh Park Taesu yang mempunyai kombinasi baik bersama dengan Rawilson Batuil.

Beliau sering kali ke hadapan ketika situasi bola mati namun tiada bola baik singgah ke kepala beliau.

Rawilson Batuil – 9/10

Bermain selaku ketua pasukan, beliau banyak mengarahkan rakan secara lisan untuk kembali bangkit dalam perlawanan semalam.

Kombinasi bersama Park sentiasa baik namun sayang beliau sedikit lambat untuk mengeluarkan hantaran lolos Azam Azih pada minit ke-21 yang telah mengakibatkan Sumareh mudah melintangkan bola kepada Ivan Carlos di dalam kotak penalti dan menjaringkan gol melalui “tap-in”.

Zubir Azmi – 9/10

Beraksi di hadapan penyokong sendiri sedikit pun tidak menggetarkan beliau malah beliau beraksi cukup cemerlang menidakkan banyak gerakan yang dilakukan oleh Sumareh dan Faisal Halim di kawasan pertahanan kiri.

Azzizan Nordin – 8/10

Pemain ini sentiasa beraksi baik di bahagian tengah Sabah dengan kombinasi hantaran baik dengan pemain-pemain yang lain.

Hanya hantaran sepakan percuma beliau yang terlalu kuat dan sukar digapai oleh para penyerang pasukan Sabah. Beliau sebenarnya masih boleh melakukan yang lagi baik.

Petrus Shitembi – 9/10

Seperti biasa Petrus Shitembi sentiasa memberikan yang terbaik di atas padang. Larian laju dan skil individu menarik merupakan aset yang dimiliki beliau.

Beberapa kali sepakan percuma dan sudut beliau membahayakan gawang Pahang namun rakan-rakan beliau tidak mampu menjelmakan gol buat Sabah.

Rodoljub Paunovic – 8/10

Rodoljub Paunovic rajin melakukan larian ke atas dan ke bawah untuk mendapatkan bola namun penyudah di hadapan gawang beliau sedikit tidak efektif dalam perlawanan semalam.

Guy Gnabouyou – 8/10

Beliau melakukan 3 percubaan namun tidak “on target”. Apapun ini merupakan suatu yang positif untuk seorang penyerang.

Dengan kelajuan yang beliau miliki, beliau sering mampu lolos di kawasan sayap kanan dan mampu untuk melakukan hantaran lintang.

Azwan Fattah – 5/10

Ketiadaan Dennis Buschening telah memberikan ruang buat Azwan Fattah di posisi Sayap Kiri. Walaubagaimanapun, tiada sebarang hantaran lintang yang beliau hasilkan semalam. Fizikal yang sedikit lembut juga menyebabkan beliau sering kehilangan bola.

Tidak pasti mengapa beliau boleh berada di barisan kesebelasan utama sedangkan terdapat pemain lain seperti Maxsius Musa, Arius Dius dan Hamran Peter. Hanya Kurniawan Dwi Yulianto yang mengetahuinya.

Ummareng Bacok – 6/10

Seorang pemain yang mempunyai kelajuan namun tidak dapat melakukan banyak bantuan dalam perlawanan menentang pasukan Pahang semalam.

Selepas Maxsius Musa menggantikan beliau, serangan di sebelah sayap kanan kelihatan lebih agresif.

Sekian sedikit ulasan terhadap sumbangan setiap pemain kesebelasan utama yang diturunkan oleh Kurniawan Dwi Yulianto semalam. Semoga mereka mampu memenangi perlawanan menentang Perak pada 14 Mac nanti.