Sabah buru kemenangan ke-2 di Stadium Darul Makmur malam esok

Sabah bakal turun mengunjungi pasukan Pahang di Stadium Darul Makmur pukul 9 malam esok bersamaan 10 Mac 2020 dalam perlawanan ke-3 CIMB Liga Super 2020.

Perlawanan ini bakal berlaku cukup sengit dengan kedua-dua pasukan mempunyai misi yang sama iaitu untuk memenangi pertembungan yang cukup dinantikan ramai.

Kenali skuad Pahang

Pasukan Pahang dilihat bakal hadapi tekanan yang lebih tinggi dalam perlawanan ini memandangkan mereka masih belum beroleh kemenangan dalam 2 perlawanan awal yang mereka lalui.

Dalam 2 perlawanan awal yang dihadapi, pasukan dengan gelaran Tok Gajah ini masih belum mengutip sebarang mata bilamana tewas 1-2 kepada Selangor dalam perlawanan pertama dan tunduk 3-2 di tangan PJ City FC di perlawanan ke-2.

Skuad kendalian Dollah Salleh ini bagaimanapun dikuatkan dengan kehadiran Dickson Nwakame dan Ivan Carlos selaku penyerang utama selain bintang lain seperti Muhamadou Sumareh, Adam Reed, Mark Herold dan Khamis Khalil.

Pasukan Pahang juga turut dikuatkan oleh pemain tempatan yang tidak asing lagi iaitu Azam Azih, Faisal Halim, Gopi Rizqi, Muslim Ahmad, Faisal Rosli, Fazly Mazlan dan S. Kumaahran.

3 Gol yang dihasilkan oleh pasukan Pahang setakat ini disumbangkan oleh Ivan Carlos dengan 2 gol dan Dickson Nwakame dengan 1 gol. Kedua-dua penyerang ini wajar diberikan perhatian agar tidak dibolosi.

Pasukan Sabah

Pasukan Sabah kini berada di kedudukan ke-4 CIMB Liga Super 2020 selepas mengasilkan 4 mata menerusi 1 kemenangan dan 1 seri dalam 2 perlawanan terakhir mereka.

Walaupun diikat seri tanpa jaringan oleh PDRM FA pada perlawanan pertama liga, Sabah bangkit garang di Likas dengan menundukkan FELDA United FC (FUFC) 3-1 pada perlawanan ke-2.

Para pemain Sabah meraikan jaringan ketika menewaskan FELDA United FC 3-1 di Likas, Sabtu lalu.

Walaupun nama pemain seperti Rodoljub Paunovic, Park Taesu dan Maxsius Musa dicatat sebagai penjaring buat Sabah dalam perlawanan menentang FUFC Sabtu lepas, Petrus Shitembi tetap merupakan watak yang lebih menonjol selepas memberikan assist buat ketiga-tiga gol tersebut.

Pengurusan Sabah membuat keputusan drastik beberapa hari sebelum perlawanan menentang FUFC bilamana Guy-Kassa Gnabouyou dimasukkan bagi menggantikan Hector Ramos yang bergelut untuk mendapatkan prestasi yang baik.

Guy Gnabouyou menggantikan Hector Ramos untuk memperkuatkan serangan Sabah.

Hasil kemasukan Gnabouyou ini memberikan impak yang positif kepada pasukan Sabah kerana beliau mempunyai kelajuan dan kecergasan yang lebih baik jika dibandingan dengan Ramos.

Tiada hal lain yang perlu dilakukan oleh para pemain Sabah dalam perlawanan menentang Pahang esok selain bermain dengan bermati-matian dan secara 1 unit berpasukan seperti perlawanan menentang FUFC minggu lepas.

Rekod pertemuan Sabah dan Pahang

Kedua-dua pasukan ini bertemu sebanyak dua kali pada saingan Piala Malaysia 2019 yang lepas yang mana menyaksikan pasukan Pahang menang kedua-dua perlawanan tersebut.

Perlawanan di Likas menyaksikan Sabah tewas 1-2 kepada Pahang dan perlawanan di Stadium Darul Makmur pula menyaksikan Sabah sekali lagi tewas tipis 1-0 hasil jaringan tunggal Dickson Nwakame.

Bermain sebagai satu unit bakal menjadikan Sabah sebuah pasukan yang digeruni.

Perlawanan di Kuantan ini sudah pasti terlalu sukar buat anak-anak buah Kurniawan Dwi Yulianto namun dengan semangat di kalangan pemain Sabah saat ini, tidak mustahil bagi mereka untuk membawa pulang 3 mata penuh.