Laporan, Ulasan & Analisis

3 Kunci utama kemenangan 3-1 Sabah ke atas FELDA United FC semalam

Sabah berjaya memanfaatkan kelebihan bermain di hadapan penyokong sendiri apabila menundukkan FELDA United FC dengan jaringan 3-1 di Stadium Likas semalam.

Kemenangan itu melonjakkan Sabah di tangga ke-4, berkongsi 4 mata dengan Perak di tangga ke-3 dan berada 2 mata di belakang pendahulu CIMB Liga Super 2020, Melaka United.

Sabah menurunkan kesebelasan utama yang terdiri daripada Wan Azraie Wan Teh (PG), Rawilson Batuil (KP), Park Taesu, Zubir Azmi, Randy Baruh, Azzizan Nordin, Petrus Shitembi, Ummareng Bacok, Azwan Fattah, Rodoljub Paunovic dan Kassy Guy Mikael Gnabouyou.

Barisan kesebelasan utama Sabah dalam perlawanan menentang FELDA United FC semalam.

Mari ikuti 3 kunci utama kemenangan Sabah pada perlawanan menentang pasukan FELDA United FC semalam.

1. Sabah manfaatkan peluang menerusi set-pieces

Sabah menghasilkan 2 gol menerusi sepakan sudut yang dieksekusi dengan baik oleh pemain import kidal dari Namibia, Petrus Shitembi masing-masing disudahkan dengan baik oleh Rodoljub Paunovic pada minit ke-11 dan Park Taesu pada minit ke-38.

Park Taesu melakukan tandukan jarak dekat hasil sepakan sudut Petrus Shitembi untuk gol ke-2 Sabah pada minit ke-38.

Sepakan sudut dan sepakan percuma berkelas tinggi daripada Petrus Shitembi sering kali mengucar kacirkan benteng pertahanan pasukan pelawat, FELDA United FC yang sentiasa berpotensi untuk menggegarkan jaring.

2. Kesan kemasukan Petrus Shitembi

Kemasukan pemain import dari Namibia, Petrus Shitembi telah memberikan impak yang sangat positif dari segi kualiti serangan, penguasaan bola dan juga kecairan pergerakan bola pasukan Sabah.

Kelincahan dan kemahiran individu Petrus sentiasa berhasil mengucar kacirkan benteng FELDA United FC.

Kelajuan dan kelincahan yang dimiliki oleh Petrus telah memberikan suntikan semangat kepada rakan yang lain untuk turut serta dalam proses menguasai bola dan penjanaan serangan yang bertali arus.

3. Kekebalan rangkaian benteng pertahanan Sabah

4 Pemain pertahanan Sabah yang terdiri daripada Rawilson Batuil, Park Taesu, Randy Baruh dan Zubir Azmi kelihatan begitu ampuh dan amat sukar untuk penyerang FELDA United FC seperti Khairul Amri untuk melepasi kekangan mereka.

Gandingan Park Taesu dan Rawilson Batuil di bahagian Centre Back sentiasa kebal untuk menidakkan serangan FELDA United FC.

Walaupun pasukan FELDA United FC cuba untuk meningkatkan intensiti serangan di separuh masa ke-2, gandingan 4 rangkaian pertahanan ini berjaya menidakkan banyak gerakan mereka. Ia turut menyebabkan bola jarang masuk ke dalam kotak penalti Sabah.

Sabah akan berkunjung ke Stadium Darul Makmur, Kuantan untuk berdepan dengan Pahan dalam perlawanan ke-3 CIMB Liga Super 2020 pada 10 Mac ini.

Barisan pemain akan meneruskan perjuangan mereka pada 10 Mac ini menentang Pahang di Stadium Darul Makmur.