Laporan, Ulasan & Analisis

7 Pemerhatian penting ketika Sabah diikat tanpa jaringan oleh PDRM FA

Sabah memulakan kempen CIMB Liga Super 2020 dengan mengutip 1 mata berharga walaupun hanya sekadar terikat seri tanpa jaringan dengan pasukan PDRM FA di Stadium Bolasepak Cheras, KL pada Ahad lepas.

Dalam perlawanan tersebut, pasukan Sabah menurunkan kesebelasan utama yang terdiri daripada Wan Azrae Wan Teh (Penjaga Gol), Rawilson Batuil (KP), Park Taesu, Randy Baruh, Zubir Azmi, Azzizan Nordin, Petrus Shitembi, Dennis Buschening, Alto Linus, Rodoljub Paunovic dan Hector Ramos.

Kesebelasan utama pasukan Sabah dalam perlawanan menentang PDRM FA pada Ahad lepas.

Mari ikuti 7 pemerhatian sepanjang perlawanan PDRM FA dan Sabah:

1. Gerakaan build-up Sabah dari kawasan defensif

Sabah menyerang dengan gaya serangan yang sama seperti yang dipraktikan ketika saingan Liga Premier musim lepas yang mana gerakan build-up dimulai oleh Park Taesu dan Rawilson batuil dari kawasan pertahan.

Gerakan ini membolehkan Sabah menguasai permainan dengan baik dan membuatkan Wan Azrae tidak berpeluh di sepanjang separuh masa ke-2 permainan.

2. Petrus Shitembi berada di setiap sudut permainan

Pembelian pemain kebangsaan Namibia ini merupakan suatu yang sangat berbaloi memandangkan kehadiran beliau telah memberikan impak yang positif di bahagian tengah pasukan Sabah.

Pemain yang sepatutnya bertindak sebagai attacking midfielder ini kelihatan sering turun ke bawah untuk mendapatkan bola dan berada di posisi yang sama seperti Azzizan Nordin.

Petrus setakat ini boleh dikatakan sebagai all round player yang mempunyai kepantasan larian dan stamina yang tinggi. Beliau merupakan pemain terbaik perlawanan dalam pertembungan dengan The Cops itu.

3. Hantaran lintang ke kotak penalti PDRM FA tidak dapat disudahkan

Mencipta peluang bukan merupakan masalah buat Sabah dalam perlawanan tersebut. Segala bentuk serangan sudah pun dilakukan namun apabila bola tersebut berada di dalam kotak penalti, tindakan penyudah tidak mencukupi.

Hantaran lintang daripada Dennis, Petrus, Roki, Randy dan Alto kesemuanya tidak berjaya disudahkan oleh para pemain Sabah yang berada di dalam kotak penalti PDRM FA.

4. Dennis Buschening digantikan oleh Azwan Fattah di awal separuh masa ke-2

Penggantian ini agak mengejutkan kerana Dennis Buschening tidaklah bermain begitu teruk di separuh masa pertama. Namun jika ia dilakukan kerana kecederaan, maka ia adalah berpatutan.

Dennis digantikan oleh Azwan Fattah di awal babak ke-2.

Dennis sering mengucar kacirkan pertahanan kanan pasukan PDRM FA di separuh masa pertama dan kehadiran beliau sebenarnya memberikan kelebihan fizikal kepada pasukan Sabah di dalam kotak penalti lawan terutama sekali ketika situasi bola mati.

Dennis hanya perlu memperbaiki sepakan sudut beliau yang kelihatan sentiasa terlalu kuat ke arah far post PDRM FA dan sukar digapai oleh mana-mana pemain. Petrus kelihatan lebih baik ketika mengambil sepakan sudut.

5. Alto Linus mempunyai 3 peluang keemasan

Alto Linus mempunyai sekurang-kurangnya 3 peluang keemasan untuk mencipta gol untuk Sabah dalam perlawanan tersebut namun percubaan beliau hanya sama ada tersasar mahupun berjaya diselamatkan oleh penjaga gawang tuan rumah.

Pemain yang meskipun sudah berusia ini mempersembahkan permainan yang bertenaga dan sering berada di mana-mana bahagian padang ketika situasi menyerang mahu pun bertahan.

6. Randy Baruh catatkan nama sebagai penerima Kad Kuning pertama Sabah untuk musim 2020

Pemain yang berperwatakan keras dan ganas dari Sipitang ini sering menjadi halangan buat penyerang sayap PDRM FA untuk melakukan serangan sehingga mengakibatkan beliau terpaksa dilayangkan Kad Kuning pertama oleh pengadil.

7. Kurniawan hanya melakukan 2 pertukaran pemain

Puas hati dengan persembahan kebanyakan pemain kesebelasan utama Sabah telah membuatkan Kurniawan hanya melakukan 2 pertukaran pemain yang mana hanya mengeluarkan Dennis Buschening dan Rodoljub Paunovic untuk memberi laluan buat Azwan Fatah dan Ummareng Bacok beraksi di separuh masa ke-2.

Sekian 7 observasi yang kelihatan ketika perlawanan Sabah dan PDRM pada Ahad lepas.