Jelajah Filipina 2020 buat Sabah kelihatan agak mudah apabila menang 2-0 ke atas Kaya FC-Iloilo dan 2-1 ke atas Stalion Laguna FC. Namun ujian Sabah sebelum memulakan kempen Liga Super 2020 kelihatan lebih getir apabila bakal berentap dengan pasukan terbaik dari Liga 1 Indonesia dalam Piala Gubernur Jawa Timur 2020 yang diadakan di Malang, Indonesia bermula 11 Feb 2020.
Berdasarkan undian yang dilakukan, Sabah akan berada dalam Kumpulan B bersama-sama dengan pasukan Persela Lamongan, Persija Jakarta dan Arema FC.

Perlawanan peringkat kumpulan bagi Kumpulan B ini dijadualkan bermula pada 11, 13 dan 15 Feb 2020. Sementara itu, perlawanan Separuh Akhir dan Akhir akan berlangsung masing-masing pada 17 Feb dan 20 Feb.
Sabah dilihat bakal menghantar barisan pemain terbaik dalam pertandingan ini yang turut menyaksikan 4 orang pemain import iaitu Dennis Buschening (Thailand), Hector Ramos (Puerto Rico), Park Taesu (Korea Selatan) dan Rodoljub Paunovic (Serbia) akan memperkuatkan Sabah.
Terdahulu, 3 pemain tempatan yang baru buat Sabah telah pun diperkenalkan ketika sidang media kemarin. 3 muka tempatan Sabah yang baru tersebut ialah Zubir Azmi (Bek Kiri – Pahang), Wan Azraie Wan Teh (Penjaga Gol – Terengganu FC) dan Sharizam Sahar (Penyerang – KDM Semporna).
Sabah kini telahpun memiliki 26 orang pemain dan hanya memerlukan 1 lagi pemain import untuk melengkapkan kuota pemain asing yang boleh digunakan dalam saingan Liga Super 2020.
Untuk pengetahuan, pasukan Arema FC telah menamatkan saingan Liga 1 Indonesia di kedudukan ke-9, sementara itu Persija Jakarta di tempat ke-10 dan Persela Lamongan di tempat ke-11.
Berdasarkan akhbar Utusan Borneo bertarikh 30 Januari, Datuk Peter Anthony mengatakan “Kita tunggu dan lihat” ketika ditanya sama ada pemain import ke-5 Sabah adalah pemain dari Indonesia.
Walaubagaimanapun, pasukan Sabah difahamkan akan melakukan perlawanan persahabatan dengan pasukan Persebaya Surabaya 3 hari sebelum pertandingan tersebut.
