Laporan, Ulasan & Analisis

IRFAN BACHDIM ke Sabah?! Ketahui juga 5 Pengamatan penting ketika perlawanan persahabatan Sabah di Filipina.

Sebagai persiapan untuk menghadapi saingan Liga Super 2020, kebanyakan pasukan telah pun melakukan persediaan dengan melakukan perlawanan persahabatan iaitu sama ada menentang pasukan domestik mahupun antarabangsa.

Sabah turut tidak ketinggalan dalam melakukan perlawanan persahabatan. Baru-baru ini mereka telahpun menjalani 2 perlawanan menentang pasukan di negara Filipina.

Hasil perlawanan persahabatan tersebut menyaksikan Sabah menang 2-0 ke atas pasukan Kaya FC pada 21 Januari dan seterusnya menang 2-1 ke atas Stalion Laguna FC dua hari berikutnya.

Berdasarkan perlawanan persahabatan tersebut, terdapat 5 pemerhatian penting yang perlu kita ketahui bersama. Mari ikutinya.

1. Dennis Buschening dan Hector ‘Pito’ Ramos kelihatan sedang dalam proses adaptasi.

Terdapat peningkatan dari segi keserasian permainan Dennis dan Pito daripada perlawanan menentang Kaya FC seterusnya ke pelawanan menentang Stalion Laguna FC.

Dennis Buschening, pemain sayap kiri berketurunan Jerman-Thailand kini beradaptasi positif dengan pasukan baru beliau, Sabah.

Kedua-dua pemain ini merupakan pemain yang baru bergabung dengan sebahagian besar pemain Sabah musim lepas. Tidak banyak muka baru di dalam pasukan Sabah musim ini dan ia membolehkan pembentukan keserasian berlaku dengan lebih cepat dan positif.

2. Taktikal Kurniawan Dwi Yulianto perlukan pemain pertahanan kiri dan kanan melakukan gerak overlap.

Gerakan overlap merujuk kepada larian daripada sebelah tepi sama ada kiri dan kanan daripada pemain yang mulanya berada di belakang pemain yang sedang mengawal bola.

Gerakan seumpama ini sering kali dilakukan oleh pemain pertahanan kiri dan kanan untuk menjana serangan sayap yang diakhiri dengan satu hantaran lintang ke dalam kotak penalti lawan.

Pemain yang berkebolehan melakukan gerakan seumpama ini sering digelar wing back. Sudah tentu tugas ini adalah berat dan memerlukan pemain yang punyai kecergasan fizikal yang mantap kerana akan lebih kerap turun dan naik.

Zubir Azmi jelas menunjukkan kemahiran dan pengalaman bermain di posisi wing back kiri ketika sesi perlawanan persahabatan tersebut.

Di sebelah kiri, Zubir Azmi nampaknya sudah menggenggam erat posisi tersebut kerana beliau begitu jelas banyak melakukan hantaran lintang dalam 2 siri perlawanan persahabatan ini.

Di sebelah kanan pula, serangan merbahaya dan hantaran lintang hanya terhasil selepas Randy Baruh dimasukkan kerana pemain yang diturunkan dalam kesebelasan utama di posisi tersebut lebih kerap berada di kawasan bawah untuk bertahan walhal Sabah tidaklah begitu diasak oleh pihak lawan. Penulis TRT tidak perlu menyebut nama pemain tersebut di sini agar tidak memberi implikasi terhadap moral beliau.

3. Corak permainan long ball game sudah tidak diamalkan, sebaliknya short passes game diaplikasi.

Selepas kemasukan semula Pito, ramai yang menjangkakan bahawa Sabah akan melakukan corak permainan bola hantaran jauh yang membosankan. Namun, apa yang terjadi ketika perlawanan persahabatan tersebut adalah sebaliknya yakni Sabah bermain dengan corak hantaran pendek yang menghiburkan.

Kurniawan Dwi Yulianto aplikasikan corak permainan hantaran rendah dan pendek dalam perlawanan persahabatan tersebut.

Dengan corak permainan hantaran pendek, penguasaan bola jelas lebih dimiliki Sabah dengan build up serangan dimulai oleh pertukaran hantaran Park Taesu dan Rawilson Batuil dari kawasan defensive third. Ia dilihat berjaya mengurangkan risiko kehilangan bola yang terlalu mudah jika dibandingkan ketika menggunakan hantaran jauh.

Hantaran jauh sesekali dilakukan namun hanya berbentuk diagonal passes iaitu hantaran jauh yang diarahkan kepada pemain sayap kiri dan kanan iaitu Dennis, Arius dan Maxsius.

4. Ariusdius Jais muncul pemain termuda yang disenaraikan dalam kesebelasan utama Sabah.

Pemain asal Kota Marudu yang berusia 21 tahun ini merupakan pemain termuda yang disenaraikan oleh Kurniawan Dwi Yulianto dalam kesebelasan utama Sabah ketika 2 sesi perlawanan persahabatan tersebut.

Kepercayaan yang telah diberikan kepada beliau itu dibalas sebaiknya dengan menghasilkan 1 gol ketika menewaskan Kaya FC 2-0 melalui gol yang dieksekusi dengan bijak.

Pemain muda harapan Sabah. Tanak Wagu dari kiri: Evan Wensly, Ariusdius Jais dan Hamran Peter.

Kurniawan yang juga merupakan penolong jurulatih U23 Indonesia sudah pasti akan lebih berani untuk mengetengahkan barisan pemain muda yang lain seperti Evan Wensly, Syukri Baharun dan Hamran Peter.

5. Sabah perlukan 1 lagi pemain import sebagai perancang serangan tengah atau playmaker.

Jika anda semua sedar, belum ada lagi pemain yang menyarung jersi nombor 10 sehingga setakat ini. Pemain yang dikurniakan nombor ini sudah pasti milik seorang lagi pemain import.

Dalam 2 perlawanan persahabatan tersebut, Roki kelihatan ditugaskan untuk merencanakan serangan dari arah tengah. Beliau yang kini menggunakan jersi bernombor 20 kelihatan lebih berperanan sebagai playmaker.

Terkini beberapa pemain Attacking Midfielder sedang dikaitkan dengan perpindahan ke pasukan Sabah yakni pemain yang bermain dalam Liga 1 Indonesia. Irfan Bachdim merupakan antara nama yang sedang hangat dikaitkan dengan Sabah.

Pemain Attacking Midfielder kebangsaan Indonesia, Irfan Bachdim dikaitkan dengan pasukan Sabah. Ramai menyifatkan bahawa jika beliau menginginkan 1st 11 yang tetap maka Sabah adalah pilihan yang bijak kerana beliau bakal bersatu dengan Kurniawan Dwi Yulianto.

Bah kita kupi-kupi dululah sambil tunggu perkembangan cerita ini.

LEAVE A RESPONSE

Your email address will not be published. Required fields are marked *