Pemain muda kacukan Papua-Jawa ini diintai pengendali baru Sabah?

Pasti nama Osvaldo Haay ini tidak asing juga buat para penggemar bolasepak tanah air. Kenapa? Apa tidaknya, pemain berusia 19 tahun dari Papua ini telah muncul penjaring terbanyak dalam acara Bolasepak di temasya Sukan SEA 2019 di Filipina baru-baru ini.

Selepas Saddil Ramdani membuat kenyataan ingin bermain di Eropah, hasrat kebanyakan penyokong Sabah untuk menyaksikan persembahan pemain tersebut di Likas tidak kesampaian.

Petikan daripada Indostransfer

Ketua Jurulatih Sabah yang baru dilantik Kurniawan Dwi Yulianto telah cuba membawa masuk Saddil namun terpaksa akur kerana pemain tersebut sendiri berfikir untuk membuat penampilan di liga eropah.

Osvaldo Haay yang berdarah campuran Papua-Jawa ini merupakan pemain muda terbaik Liga Indonesia pada musim 2018 dan turut pernah bersama Kurniawan dalam pasukan Sukan SEA 2019 Indonesia.

Spekulasi ini bakal menjadi lebih menarik memandangkan Osvaldo baru sahaja menamatkan kontrak bersama kelab beliau iaitu Persebaya Surabaya. Apa maksudnya ini? Ini bermakna beliau ketika ini tidak terikat dengan mana-mana pasukan lagi.

Menurut Kurniawan, tawaran daripada SAFA masih belum ada namun beliau berminat untuk mendapatkan pemain lincah tersebut untuk digunakan dalam percaturan beliau dalam saingan Liga Super 2020.

Adakah dengan persefahaman di antara Kurniawan dan Osvaldo bakal menjadikan serangan Sabah lebih mantap musim hadapan? Sama-sama kita nantikan, menarik untuk disaksikan.