Previu Perlawanan

Sabah hadapi Pulau Pinang di Stadium Bandaraya esok untuk teruskan misi mara lebih jauh dalam Piala Malaysia 2019

Sabah akan menentang pasukan Pulau Pinang pada pukul 9 malam esok bersamaan 7 Ogos di Stadium Bandaraya, Pulau Pinang dalam perlawanan ke-2 Piala Malaysia 2019 bagi Kumpulan C.

Pertembungan kedua-dua pasukan ini sudah pasti berlaku amat menarik memandangkan Pulau Pinang dan Sabah merupakan 2 pasukan dari Liga Premier yang layak bermain dalam Piala Malaysia musim ini.

1 lagi perlawanan yang melibatkan pasukan dalam Kumpulan C ini menemukan Pahang dan Perak yang kedua-duanya merupakan pasukan dari Liga Super.

Sabah dan Pulau Pinang tewas dalam perlawanan awal mereka manakala pasukan Perak dan Pahang masing-masing menang.

Rekod pertemuan Sabah dan Pulau Pinang

Kedua-dua pasukan ini bertemu sebanyak dua kali musim ini yang turut menyaksikan Sabah menang sekali dan seri sekali.

Aksi Sabah ketika seri tanpa jaringan dengan pasukan Pulau Pinang di Stadium Bandaraya dalam aksi pusingan ke-2 Liga Premier 2019.

Pada perlawanan pusingan pertama, pasukan Sabah menang mudah 2-0 di Likas hasi 2 gol penting Luiz Carlos Junior. Sementara pertemuan kedua-dua pasukan ini di pusingan ke-2 menyaksikan Sabah dan Pulau Pinang hanya terikat tanpa jaringan di Stadium Bandaraya.

Pemain Tumpuan

Pemain tumpuan buat pasukan tuan rumah sudah pasti terletak pada Casagrande yang banyak merencana kebangkitan Pulau Pinang dalam kancah Liga Premier musim ini.

Pulau Pinang turut memasukkan beberapa pemain baru sebagai langkah untuk perkuatkan pasukan mereka di pertengahan musim. Pemain tersebut termasuklah M. Yoges dari PJ City, Sergio Aguero dari Selangor United dan Zamir Selamat dari Melaka United.

Sudah pasti sentuhan jaringan Rodoljub Paunovic dan Aguinaldo Mendes amat diharapkan oleh kebanyakan penyokong Sabah.

Bagi Sabah pula, tugas untuk menjaringkan gol sudah pasti terletak pada bahu Rodoljub Paunovic dan Aguinaldo Mendes yang beraksi cukup baik dalam saingan Liga Premier musim ini.

Cabaran utama Sabah

Cabaran terkuat buat Sabah dalam perlawanan kali ini sudah tentu untuk melegakan tekanan yang mereka alami setelah tewas 3-0 kepada Perak dalam perlawanan pertama mereka.

Kebanyakan penyokong sudah pun ‘bising’ dengan keputusan tersebut namun mereka harus ingat bahawa pasukan Sabah juga turut tewas dalam perlawanan pertama Liga Premier musim ini namun pada akhirnya mereka muncul juara.

Do not judge too early, itulah mungkin pepatah yang sesuai buat anda yang hanya bersorak ketika Sabah menang dan melatah pabila kalah.

Tewas 3-0 di tangan Perak pada perlawanan pertama telah menyebabkan ramai penyokong mula ‘naik angin’.

Menentang pasukan Pulau Pinang di gelanggang mereka sendiri sudah pasti merupakan tugas yang bukan mudah buat anak-anak buah Jelius Ating kerana perlawanan terakhir pasukan Pulau Mutiara itu di Bandaraya menyaksikan mereka membelasah Sarawak 6-3.

Apapun dengan disiplin dan semangat tidak mengalah serta kemahuan untuk bingkas bangkit kembali dari kekalahan sudah pasti akan memberikan sinar positif kepada Sabah dalam perlawanan esok kelak.

LEAVE A RESPONSE

Your email address will not be published. Required fields are marked *