Laporan, Ulasan & Analisis

Tewas 3-0 di Ipoh semalam harus dijadikan “wake up call” buat Sabah

Sabah mulakan kempen Piala Malaysia 2019 dengan langkah kiri apabila tewas 3-0 di tangan pasukan Perak di Ipoh dalam perlawanan pertama Kumpulan C.

Ia merupakan satu permulaan yang kurang baik namun ia sama seperti apa yang berlaku dalam kempen Liga Premier 2019 apabila Sabah tewas 1-2 pada perlawanan pertama liga di tangan JDT II namun akhirnya Sabah berjaya menjulang piala liga.

Sorotan Perlawanan

Pasukan Perak tidak memandang pasukan Sabah dengan sebelah mata apabila pengendali mereka, Mehmet Durakovic menurunkan 11 pemain terkuat mereka termasuklah Brendan Gan, Rianderson Da Costa Morais, Leandro Dos Santos, Ronaldo Henrique dan El Noor serta pemain tempatan yang juga pemain kebangsaan iaitu Shahrul Saad, Nazirul Naim, J. Partiban dan Norhakim Hassan.

Pasukan Perak mengasak kubu pasukan Sabah dari awal minit permainan namun terpaksa menunggu hingga minit ke-45 untuk membolosi gawang Sabah menerusi sepakan dari luar kotak penalti daripada Brendan Gan yang sukar diduga oleh Rozaimie Rohim.

Lima minit awal di separuh masa ke-2 menyaksikan pasukan Perak menggandakan kelebihan 2-0 selepas penyerang dari Brazil, Rianderson Careca berjaya melakukan satu sepakan half volley kaki kiri dari dalam kotak penalti Sabah.

Careca berjaya menjaringkan gol ke-2 Perak menerusi sepakan half volley pada minit ke-50

Sabah memperbaiki permainan selepas itu namun benteng pasukan Perak sentiasa kebal untuk mengelakkan pasukan Sabah dari menggegarkan jaring mereka. Percubaan menerusi Roki, Mendes dan Atayev kebanyakannya tersasar.

Tatkala permainan kelihatan bakal berkesudahan dengan kedudukan 2-0, Leandro Dos Santos berjaya menjadikan kedudukan 3-0 selepas berjaya menampan masuk bola yang terlucut dari dakapan Rozaimie Rohim di hujung babak permainan.

Dengan kemenangan tersebut, Perak melonjak ke tangga teratas carta Piala Malaysia 2019 bagi Kumpulan C dengan memintas Pahang atas perbezaan jaringan yang lebih baik.

Analisis taktikal perlawanan Perak dan Sabah

Perak jelas menggunakan sepenuhnya kekuatan yang dimiliki oleh para pemain import mereka yang menyerlah dalam kancah Liga Super 2019 seperti Ronaldo, Leandro dan Careca serta tidak dilupakan juga pemain serba boleh, Brendan Gan.

Pasukan Perak bermain dengan defensive line yang tinggi kerana menyedari pasukan Sabah lebih fokus untuk bertahan dan hanya sesekali melakukan serangan balas.

Gandingan Shahrul Saad, Idris, El Noor dan Nazirul Naim terlalu ampuh di barisan terakhir Perak yang menyukarkan Roki dan Mendes untuk melakukan sebarang gerakan.

Gandingan Leandro (kanan) bersama dengan Brendan (tiada dalam gambar) berjaya menidakkan gerakan Sabah sebelum sampai ke kawasan kotak penalti Perak.

Sementara itu pertukaran hantaran-hantaran pendek di kalangan pemain tengah pasukan Perak telah menyebabkan banyak masalah di bahagian pertahanan Sabah selain compactness pemain tengan Perak berjaya menggagalkan usaha Sabah untuk mengawal bola terlalu lama.

Pemain pertahanan kiri dan kanan pasukan Perak pula bertindak cemerlang dengan larian-larian overlap yang sering mengelirukan benteng kiri dan kanan Sabah. Kesemua gol yang dihasilkan pasukan Perak dimulai dari gerakan dari sebelah kiri kawasan Sabah.

Semua gol pasukan Perak sebenarnya boleh dielakkan oleh Sabah jika dapat mengeluarkan bola dari kawasan merbahaya dengan cermat.

Lihat bagaimana Sabah sepatutnya boleh elakkan 3 gol Perak semalam boleh terjadi:

Gol pertama Perak : Gol Brendan Gan ini dihasilkan dari luar kotak penalti akibat clrearance yang kurang cermat oleh para pemain Sabah. Bole tersebut disambar oleh Brendan dan menewaskan Rozaimie Rohim walapun bola tidaklah begitu deras. Namun dengan pandangan Rozaimie yang terhalang, bola berjaya menggegar jaring. Gol ini juga tidak terjadi jika Evan Wensly berjaya melakukan sepakan yang tidak memberikan throw in buat Perak.

Gol ke-2 Perak : Gol ke-2 pasukan Perak sekali lagi berpunca daripada clearance yang tidak sempurna daripada Alto Linus. Bola tandukan keluar beliau jatuh betul-betul di hadapan Careca pada minit ke-50 yang melakukan half volley yang sukar buat mana-mana penjaga gol untuk selamatkan.

Sukar untuk Roki melepaskan diri daripada kekangan pertahanan Perak dalam perlawnan semalam.

Gol ke-3 Perak : Gol ke-3 Perak boleh dielakkan jikalah bola dapat ditangkap dengan kemas dan tidak muntah dari dakapan Rozaimie Rohim.

Kesimpulannya di sini ialah pasukan Perak memenangi perlawanan dengan bantuan kesilapan-kesilapan disiplin bertahan yang dilakukan oleh Sabah. Oleh itu, keputusan ini haruslah dipandang sebagai pengajaran berguna buat semua dan bangkit lebih kuat dalam perlawanan menentang Pulau Pinang pada 7 Ogos nanti.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *