Berita Terkini

Ketahui 5 sebab mengapa Kumpulan C Piala Malaysia 2019 diklasifikasikan sebagai “Group of Death”

Sabah akan menghadapi kempen Piala Malaysia 2019 dengan penuh liku cabaran apabila telah diundi berada dalam Kumpulan C bersama-sama dengan pasukan Pahang, Perak dan Pulau Pinang.

Ternyata keputusan undian tersebut bukanlah yang diidam-idamkan oleh kebanyakan penyokong Sabah mahupun penyokong Pahang, Perak dan Pulau Pinang sendiri. Kenapa?

Sabah ditempatkan dalam Kumpulan C bersama-sama dengan Pahang, Perak dan Pulau Pinang.

Ramai yang menyifatkan bahawa Kumpulan C ini adalah kumpulan maut. Oleh itu mari kita dalami dan lihat kepada 5 faktor mengapa kumpulan ini diklasifikasikan sedemikian.

1. Sabah, Pulau Pinang, Pahang dan Perak sedang dalam prestasi baik ketika ini

Kesemua pasukan dalam Kumpulan C ini menunjukkan prestasi semasa yang mantap dengan rekod baik dalam setiap perlawanan yang mereka lalui.

Persaingan untuk mendapatkan tempat ke perlawanan Suku Akhir dijangka akan berlaku dengan cukup sengit walaupun dua pasukan adalah terdiri daripada pasukan Liga Super dan selebihnya Liga Premier (Sabah & PP).

2. Perak merupakan juara Piala Malaysia 2018

Perak merupakan juara bertahan Piala Malaysia ketika ini selepas baru menjulang piala berprestij itu musim lalu berikutan kemenangan dramatik ke atas pasukan Terengganu FC di pentas akhir.

Perlawanan tersebut berakhir dengan keputusan seri 3-3 selepas berakhir 120 minit permainan yang diheret hingga ke masa tambahan. Perak mudah menewaskan Terengganu FC 4-1 menerusi penentuan sepakan penalti.

Sudah pasti setelah mengecapi kejuaraan tersebut pasukan Perak akan berusaha untuk mempertahankannya sekali lagi tahun ini. Untuk pengetahuan, pasukan Perak juga muncul naib juara Piala FA 2019 setelah tewas tipis 0-1 di tangan pasukan Kedah dalam perlawanan akhir yang berlangsung di Bukit Jalil pada 27 Julai yang lalu.

3. Pahang muncul naib juara Liga Super 2019

Pasukan Pahang muncul naib juara bagi Liga Super 2019 walaupun agak jauh ditinggalkan oleh JDT. Ini sudah pasti jelas menunjukkan bahawa pasukan Pahang merupakan pasukan elit Liga Super yang paling digeruni dalam Kumpulan C ini.

Barisan pemain import dan tempatan yang berkualti merupakan kunci kekuatan pasukan kendalian Dollah Salleh ini. Pemain seperti Herold Goulon, Mathew Davies, Mamadou Sumareh, Azam Azih, Norshahrul Idlan Talaha dan Saadil Ramdani merupakan antara watak besar dalam pasukan Tok Gajah ini.

4. Sabah juara Liga Premier 2019

Anda pun sudah sedia maklum bahawa Sabah merupakan juara Liga Premier 2019 dan bakal beraksi dalam Liga Super 2020 nanti.

Sabah menjuarai Liga Premier 2019

Pasukan kendalian Jelius Ating ini mencatatkan rekod cemerlang sepanjang kempen liga dengan meninggalkan pasukan di tangga ke-2, JDT II dengan jurang 10 mata.

Rodoljub Paunovic muncul penjaring terbanyak buat Sabah dengan catatan 11 gol, hanya 2 gol kurang daripada penyerang UiTM FC, Zarko Korac yang mencetak 13 gol.

5. Pulau Pinang tidak terkalahkan dalam 9 perlawanan terakhir

Setelah Manzoor Azwira mengambil alih pasukan Pulau Pinang, terdapat banyak perubahan ketara yang berlaku terhadap pasukan Harimau Kumbang itu. Ia termasuklah dengan mempamerkan keputusan konsisten selepas Liga Premier masuk ke pusingan ke-2,

Kemasukan Sergio Aguero dari Selangor United, Casagrande dari Melaka United, M. Yoges dari PJ City FC dan beberapa pemain lain telah membolehkan pasukan ini tidak kalah dalam 9 perlawanan terakhir mereka.

Sergio Aguero (kiri) dibawa masuk ke skuad Harimau Kumbang untuk menguatkan serangan mereka.

Dengan memperkatakan kehebatan kesemua 4 pasukan yang berada dalam Kumpulan C ini maka wajarlah dikatakan bahawa kumpulan ini merupakan kumpulan yang paling mencabar. Ia bermakna, tidak mudah untuk menjangkakan pasukan mana yang akan layak ke perlawanan Suku Akhir nanti.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *