Uncategorized

Sabah julang piala Liga Premier 2019 di Likas dengan lebih berseri apabila tumpaskan Kelantan FA 1-0

Sabah menjulang piala Liga Premier 2019 dengan lebih manis apabila menumpaskan pasukan muda lagi energetik Kelantan 1-0 dalam keadaan hujan lebat di Likas semalam.

Perlawanan dan majlis penyampaian pingat serta piala kemenangan telah diserikan lagi dengan kehadiran Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Panglima Haji Shafie Bin Haji Apdal.

Sorotan Perlawanan

Sabah menurunkan barisan kesebelasan utama yang terdiri daripada Rozaimie Rohim, Rawilson Batuil, Dendy Lowa, Mafry Balang, Evan Wensly Wenceslaus, Azzizan Nordin, Ahmet Atayev, Alto Linus, Jenius Karib, Rodoljub Paunovic dan Aguinaldo Mendes.

Kesebelasan utama pasukan Sabah dalam perlawanan menentang Kelantan semalam.

Kedua-dua pasukan memulakan perlawanan dengan lebih berhati-hati memandangkan keadaan cuaca di Likas amat buruk. Namun pasukan Kelantan lebih dahulu mencemaskan gawang Sabah apabila rembatan L’Imam Seydi hampir menerjah jaring pada minit ke-7 yang sempat dikeluarkan oleh Mafry Balang.

Sabah turut mendapat peluang untuk menghasilkan gol menerusi Alto Linus, Roki dan Aguinaldo namu percubaan mereka sama ada tersasar mahupun berjaya diselamatkan oleh penjaga gol pasukan Kelantan.

Babak pertama berakhir dengan kedudukan terikat tanpa jaringan.

Bersambung di babak ke-2 pasukan Sabah dan Kelantan tampil mempamerkan gaya permainan pantas. Walaubagaimanapun pasukan Sabah seharusnya berada 1 gol di hadapan pada minit ke-56 menerusi Roki namun sepakan penalti beliau berjaya ditepis oleh penjaga gol Kelantan.

2 minit kemudian, Ahmet Atayev telah membuatkan penjaga gol Kelantan terkesima apabila sepakan sudut in-swinger kaki kiri beliau melencong masuk ke gawang gol Mohd Fikri Che Soh yang baru seminit telah menepis sepakan penalti Roki.

Jaringan cantik Ahmet Atayev pada minit ke-58 cukup untuk Sabah menewaskan pasukan Kelantan FA 1-0.

Serangan demi serangan yang dilakukan oleh kedua-dua pasukan selepas itu tidak berjaya membuahkan hasil dengan beberapa peluang yang dihasilkan mereka tidak diterjemahkan kepada jaringan.

Sehingga wisel penamat ditiupkan, pasukan Sabah menewaskan Kelantan 1-0 untuk mengekalkan rekod 100% tanpa kalah di pusingan ke-2 Liga Premier 2019 ini.

Dengan kemenangan tersebut Sabah kini telah mengutip 43 mata, 10 mata meninggalkan JDT II yang telahpun menamatkan semua perlawanan liga mereka.

Perlawanan seterusnya buat Sabah adalah pada 19/21 Julai ini apabila akan berkunjung ke Stadium Sultan Ismail Nasiruddin Shah di Kuala Terengganu bertemu Terengganu FC II.

Tahniah sekali lagi diucapkan kepada pasukan Sabah atas kejayaan menjulang piala Liga Premier selepas kali terakhir melakukannya pada tahun 1996.

Kami di The Rhinos Troops dengan rendah hati mengucapkan tahniah dan selamat maju jaya buat pasukan Sabah.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *