Previu Perlawanan Uncategorized

Sabah akan julang Piala Liga Premier 2019 di Likas malam ini sambil akan layani kunjungan Kelantan FA.

Sabah yang sudahpun menjuarai Liga Premier 2019 akan melayani kunjungan pasukan Kelantan dalam perlawanan ke-19 mereka di Stadium Likas, pukul 9 malam ini bersamaan 13 Mei. 

Perlawanan ini juga hanya merupakan perlawanan pelengkap jadual buat pasukan Sabah yang turut menjadi hari di mana piala Liga Premier 2019 diserahkan kepada skuad kendalian Jelius Ating ini.

Perlawanan ini sepatutnya dijadualkan pada pukul 8.15 malam namun oleh kerana terdapat beberapa atur cara istemewa di Likas, perlawanan hanya akan dimulakan pada pukul 9 malam.

Perlawanan ini turut bakal diserikan dengan kehadiran TYT Sabah, Tuan Yang Terutama Tun Datuk Serii Panglima (Dr.) Haji Juhar Bin Datuk Haji Mahiruddin dan Ketua Menteri Sabah, YAB Datuk Seri Panglima Haji Mohd Shafie Bin Haji Apdal.

Prestasi Kelantan dan Sabah

Tiada apa lagi yang boleh diperkatakan untuk pasukan Sabah memandangkan mereka sudah bergelar juara. Oleh itu mari kita ulas lebih lanjut berkenaan pasukan Kelantan ini.

Kedudukan terkini Liga Premier 2019 yang mana Sabah sudah pun menjuarainya walaupun mereka masih mempunyai 2 perlawanan untuk dihadapi.

Pasukan Kelantan ketika ini berada di kedudukan ke-10 liga dengan 14 mata yang dikumpul selepas mengharungi 18 perlawanan. Perlawanan terakhir menyaksikan mereka tewas 3-1 di tangan pasukan PDRM FA di Stadium Hang Jebat.

Konflik dalaman yang dihadapi oleh pasukan Kelantan ketika liga menghampiri pertengahan musim banyak memberikan kesan yang kurang baik terhadap pasukan The Red Warriors itu sehingga mengalami pemotongan 3 mata atas arahan FIFA.

Akibat hal yang sama, pasukan Kelantan juga kehilangan pemain import yang baik seperti Raul Taraggona dari Uruguay dan pemain tengah dari Brazil, Flavio Beck Junior yang berhijrah ke pasukan Bhayangkara FC di Indonesia.

Kelantan kini hanya bergantung kepada ramai tenaga muda yang tidak kurang baiknya seperti Nik Akif Syahiran, Nik Azli Alias, Danial Haqim Draman, Azwan Arifin serta ketua pasukan berpengalaman, Zairul Fitri Ishak.

Rekod Pertemuan Sabah dan Kelantan

Perlawanan terakhir kedua-dua pasukan ini menyaksikan mereka terikat 3-3 ketika perlawanan pusingan pertama liga di Kota Bharu awal musim ini. Jaringan Sabah dihasilkan oleh Luka Milunovic dan Maxsius Musa (2 gol) ketika itu sementara pasukan Kelantan menyamakan kedudukan di minit-minit akhir menerusi Danial Haqim.

Kedua-dua pasukan turut bertemu dalam perlawanan Suku Akhir Piala Malaysia musim lepas di mana Sabah tewas 2-1 di Kota Bharu sebelum menewaskan pasukan The Red Warriors ini 1-0 di Likas untuk menempah tiket ke perlawanan Separuh Akhir.

Latihan giat dijalankan oleh para pemain Sabah meskipun sudah menjuarai liga.

Apakah Sabah mengekalkan kekebalan dan kekuatan mereka bermain di Stadium Likas malam ini? Sama-sama kita saksikan.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *