Sabah sah bergelar juara Liga Premier 2019 selepas mencatatkan kemenangan 2-1 ke atas UiTM FC di Stadium UiTM , Shah Alam semalam. Ia juga merupakan kejuaraan yang dicipta Sabah selepas 23 tahun.
Dengan baki 2 perlawanan buat Sabah, mereka kini unggul di tangga teratas dengan 40 mata, 7 mata meninggalkan JDT II di tangga ke-2 yang tewas 3-1 di tangan pasukan Negeri Sembilan di Paroi.

Sorotan Perlawanan
Pasukan Sabah turun dalam perlawanan ini tanpa 3 tonggak utama iaitu tanpa Park Taesu, Ahmet Atayev dan Randy Baruh. Walaubagaimanapun, kekosongan tersebut diisi oleh Mafry Balang, Dendy Lowa dan Azzizan Nordin.
Pemain lain buat Sabah dalam perlawanan ini termasuklah ketua pasukan yang juga merupakan pemain terbaik Liga Premier 2019 bagi edisi Mei, Rawilson Batuil, Evan Wensly Wenceslaus, Ricco Nigel Milus, Alto Linus, Jenius Karib, Rodoljub Paunovic dan Aguinaldo Mendes.

Sabah mengasak kubu pertahanan pasukan UiTM FC sejak dari tiupan wisel permulaan pengadil dengan menghasilkan 16 percubaan ke arah gawang tuan rumah namun tidak membuahkan hasil.
Sabah paling hampir menjaringkan gol menerusi Alto Linus pada minit ke-19 namun sepakan kaki kiri jarak dekat beliau sedikit tersasar. 2 minit kemudian menyaksikan sepakan percuma Rodoljub Paunovic hanya sekadar singgah di tiang gol UiTM FC.
UiTM FC yang lebih banyak bertahan dengan tidak disangka-sangka berjaya membolosi gawang Sabah selepas sepakan percuma Zarko Korac di garisan kotak penalti berjaya menewaskan Rozaimie Rohim pada minit ke-31.
Tersentak dengan gol tersebut, Sabah menambah intensiti serangan namun sehingga tamat separuh masa pertama, kedudukan kekal dengan UiTM FC mendahului 1-0.
Bersambung babak ke-2, pasukan Sabah melipat gandakan asakan dan berhasil menyamakan kedudukan pada minit ke-57 selepas Rodoljub Paunovic berjaya menyempurnakan sepakan penalti yang dihadiahkan pengadil selepas pemain UiTM FC melakukan handball di dalam kotak penalti.

9 minit kemudian, Aguinaldo Mendes muncul wira kemenangan Sabah selepas menanduk masuk sepakan sudut in-swinger daripada Ricco Nigel Milus untuk menjadikan kedudukan Sabah 2 dan UiTM FC 1.
Sabah memiliki beberapa peluang untuk menggandakan kelebihan sebelum perlawanan berakhir namun tidak berjaya disudahkan kepada jaringan dan perlawanan sepenuh masa tamat dengan Sabah menang 2-1.
7 Fakta Menarik Perlawanan
1. Sabah turun tanpa 3 tonggak utama iaitu Randy Baruh Samson, Ahmet Atayev dan Park Taesu
2. Azzizan Nordin kembali beraksi selepas berehat berikutan menerima kecederaan.
3. Maxsius Musa masuk menggantikan Alto Linus.
4. Majlis penyampaian anugerah pemain terbaik Liga Premier bagi bulan Mei 2019 kepada ketua pasukan Sabah, Rawilson Batuil.
5. Sabah memperolehi sepakan penalti pertama mereka musim ini dan ia disempurnakan dengan baik oleh Rodoljub Paunovic.
6. Rodoljub Paunovic mencetak gol ke-11 beliau musim ini, hanya 2 gol memisahkan beliau dengan penjaring terbanyak UiTM FC, Zarko Korac dengan 13 gol.

7. SABAH JUARA LIGA PREMIER 2019