Previu Perlawanan

Sabah akan juarai Liga Premier 2019 jika menang ke atas UiTM FC di Shah Alam esok

Sabah akan menentang pasukan UiTM FC di Stadium UiTM, Shah Alam pada pukul 9 malam esok bersamaan 9 Julai dalam perlawanan ke-18 Liga Premier 2019 yang juga merupakan perlawanan yang cukup penting buat kedua-dua pasukan.

Perlawanan ini penting buat UiTM FC kerana mereka ingin memastikan mereka mengiringi Sabah ke Liga Super 2020 memandangkan Negeri Sembilan kini mengekori mereka dengan sangat rapat.

Buat Sabah pula, perlawanan ini umpama perlawanan akhir buat mereka kerana kemenangan bertemu UiTM FC ini bakal mengangkat mereka sebagai juara Liga Premier 2019.

Kedudukan terkini Liga Premier 2019

Dari segi kedudukan, pasukan Sabah kekal di tangga teratas liga dengan 37 mata, 4 mata di hadapan JDT II yang bakal menerima ujian getir bertemu Negeri Sembilan yang juga turut mengintai peluang beraksi di Liga Super 2020.

Prestasi Sabah dan UiTM FC

Pasukan Sabah beraksi cukup konsisten dan cemerlang dalam 9 perlawanan terakhir mereka dengan berjaya merekodkan sebanyak 7 kemenangan dan 2 seri.

UiTM FC pula hanya merekodkan sebanyak 3 kemenangan, 3 seri dan 3 kalah dalam 9 perlawanan terakhir mereka. Pasukan The Lions ini bagaimanapun gagal menang dalam 5 perlawanan terakhir mereka.

Gambar yang dirakamkan ketika Sabah menewaskan Sarawak 4-1 di Likas dalam perlawanan ke-16 mereka.

Sabah kini berjaya menjaringkan sebanyak 29 gol dan dibolosi hanya 14 gol. UiTM FC pula berjaya menghasilkan 31 gol namun dibolosi dengan 22 gol. Ini bermakna mesin gol untuk kedua-dua pasukan adalah amat efektif.

Secara keseluruhan, prestasi pasukan UiTM FC merundum selepas pertengahan musim dengan perginya pemain berkualiti seperti Robert Lopez Mendy dan Adi Said.

Buat pasukan Sabah pula, kemasukan Ahmet Atayev dan Aguinaldo Mendes pula sedikit sebanyak mampu menampal ketiadaan Luka Milunovic dan Luiz Junior yang meninggalkan Sabah selepas pertengahan musim.

Pemain Tumpuan Sabah dan UiTM FC

Buat Sabah, kerjasama setiap pemain dalam menghasilkan kemenangan adalah kunci kejayaan dan konsistensi mereka setakat ini.

Walaubagaimanpun, Rodoljub Paunovic ketika ini mencuri tumpuan ramai apabila berjaya meledak gol ke-10 beliau ketika menewaskan JDT II di Pasir Gudang, Jumaat lepas.

Park, Roki dan Atayev merupakan antara tunjang yang menguatkan pasukan Sabah setakat ini.

Buat pasukan UiTM FC pula, kekosongan yang ditinggalkan oleh Robert Lopez Mendy akibat kecederaan telah diisi oleh Maycon Caliguri yang setakat ini sudah pun menjaringkan sebanyak 3 gol buat pasukan UiTM FC.

Harus diingat juga bahawa pasukan UiTM FC mempunyai penyerang berbisa yang kini telah menghasilkan 12 gol iaitu Zarko Korac. Pemain ini harus diberikan perhatian sepenuhnya jika tidak ingin dibolosi.

Sabah apapun bakal tidak mendapat khidmat Park Taesu dalam perlawanan esok kerana mengalami penggantungan 2 perlawanan selepas mengutip kad kuning ke-6 beliau pada perlawanan menentang JDT II yang lalu.

Rekod pertemuan Sabah vs UiTM FC

2 musim kebelakangan ini pasukan Sabah tidak pernah tewas apabila bertemu pasukan UiTM FC. Musim lepas, pasukan Sabah menewaskan UiTM FC sebanyak 2 kali iaitu dengan jaringan 3-1 di Likas dan menang 3-0 di Stadium UiTM Shah Alam.

Awal musim ini pula menyaksikan pasukan Sabah hanya sekadar seri 1-1 di Likas menerusi jaringan Roki dan gol penyamaan minit-minit akhir oleh Robert Lopez Mendy menerusi sepakan percuma.

Rekod buruk pasukan UiTM FC apabila bermain di tempat sendiri merupakan suatu yang harus digunakan sepenuhnya oleh pasukan Sabah malam esok.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *