Sabah akan menentang pasukan JDT II pada pukul 9 malam esok, bersamaan 5 Julai di Stadium Majlis Perbandaran Pasir Gudang dalam perlawanan ke-17 Liga Premier 2019 yang juga bakal menyaksikan pertembungan 2 pasukan teratas liga.
Kemenangan buat Sabah dalam perlawanan ini bakal menempatkan mereka 4 mata di atas JDT II dan kemenangan pasukan JDT II pula bakal menghantar mereka ke tangga teratas dengan kelebihan 2 mata.
Keputusan seri pula bagaimanapun tidak akan mengubah kedudukan liga yang mana Sabah akan terus berada di tangga teratas dengan defisit 1 mata.
Prestasi Sabah dan JDT II
Prestasi kedua-dua pasukan ini ternyata baik sepanjang musim ini. Jikalau tidak, mana mungkin mereka berada di puncak liga. Rekod permainan kedua-dua pasukan juga menunjukkan corak konsisten.

Pasukan Sabah menang 6 kali dan seri 2 kali dalam 8 perlawanan terakhir mereka dengan catatan rekod S-M-M-M-S-M-M-M.
Sementara pasukan JDT II pula menang 3 kali, seri 3 kali dan tewas 2 kali dalam 8 perlawanan terakhir mereka dengan catatan rekod M-K-S-K-S-M-S-M.
Jika dirumuskan berdasarkan prestasi semasa ini, pasukan Sabah dilihat mempunyai tahap konsistensi yang lebih baik berbanding dengan pasukan JDT II.
Berdasarkan statistik, winning rate Sabah adalah sebanyak 63% yakni 10% lebih tinggi berbanding JDT II dengan kadar kemenangan 53%.
Walaubagaimanapun, harus diakui bahawa pasukan JDT II merupakan pasukan yang mempunyai pertahanan terbaik setakat ini iaitu dengan dibolosi hanya 12 gol berbanding Sabah yang telah melepaskan 14 gol.
Tapi jika melihat kepada jumlah jaringan yang dihasilkan, ternyata kedua-dua pasukan ini mempunyai serangan mantap dengan masing-masing telah menyumbat 28 gol. Namun harus diingat bahawa Sabah bermain kurang 1 perlawanan berbanding JDT II.
Pemain Tumpuan
Pasukan JDT II dibarisi oleh rata-rata pemain tempatan yang pernah atau sedang tersenarai dalam pasukan kebangsaan Malaysia. Sudah pasti ini merupakan satu kelebihan yang ketara buat mereka.

Nama-nama seperti Syamer Kutty Abba, Fazly Mazlan, Izam Tarmizi, Rozaimi Abdul Rahman dan Syazwan Andik merupakan antara nama yang harus diberikan perhatian khusus oleh para pemain Sabah.
Nicholas Fernandez yang berjaya mencatat hatrik ketika menewaskan Terengganu FC II 5-0 pada 14 Jun lepas merupakan pemain import yang harus diberikan perhatian khusus. Dia licik seperti Sergio Aguero (bekas pemain Selangor United FC, kini bersama Pulau Pinang).
Bagi pasukan Sabah, pemain tumpuan sudah pasti terarah kepada Rodoljub Paunovic yang telah menjaringkan 9 gol setakat ini. Beliau hanya perlukan hantaran dan lorongan yang baik untuk beliau melakukan penyudah jaringan.

Fokus para pemain JDT II esok sudah pasti lebih terarah kepada Roki namun harus diingat bahawa Sabah mempunyai Aguinaldo Mendes dan Alto Linus yang boleh menjaringkan gol jika dibiarkan bebas.
Kehadiran semula Rawilson Batuil dan Azzizan Nordin pada perlawanan esok pula sudah pasti akan dapat menguatkan lagi pasukan Sabah.
Rekod Pertemuan Sabah dan JDT II
Rekod pertemuan kedua-dua pasukan ini nampaknya tidaklah begitu menyebelahi Sabah. Ini kerana Sabah tewas 1-2 di Likas dalam perlawanan pertama liga pada bulan Febuari tahun ini.
Musim lepas, Sabah dan JDT II terikat 1-1 di Likas dan sekali lagi terikat seri 2-2 di Pasir Gudang.
Apakah kedua-dua pasukan akan terikat seri sekali lagi? Atau adakah Sabah terus garang di persada liga?